Tuesday, October 5, 2010

Keunikan 'rumah bumi' Hua-An


BINAAN tulou yang kukuh, kalis api dan tahan bencana alam seperti gempa bumi.


PERJALANAN menaiki bas selama lebih empat jam dari bandar Quanzhou, Fujian, China untuk sampai ke kawasan pergunungan Hua-An agak memenatkan. Selain jalan yang berbengkang-bengkok, sungai besar yang mengalir di sebelah kanan tebing jalan membuatkan hati penulis sedikit gusar.

Mujurlah, laluan itu tidak banyak kenderaan. Maka, bas yang membawa penulis bersama rombongan yang terdiri daripada wakil ejen pelancongan berdaftar di bawah Bumitra Malaysia tiba tepat seperti yang dijanjikan.

Turun dari bas, kedatangan kami disambut bayu panas yang berpuput lembut. Walaupun cuaca terik (suhu sekitar 39 C hingga 40 C ketika itu), ia langsung tidak menghalang semangat penulis yang berkobar-kobar untuk menjelajah perkampungan unik di situ.

Malah, sebelum bertolak ke China lagi, penulis sudah melakukan sedikit penyelidikan mengenai keistimewaan tempat itu bagi memudahkan penulisan kelak.

Perjalanan panjang membuat perut semua ahli rombongan berkeroncong. Perkara pertama yang kami lakukan adalah menikmati hidangan di Tourist Restaurant, satu-satunya restoran sempurna (yang lain mungkin bertaraf gerai) yang terdapat di situ.

Disebabkan restoran tersebut bukan berstatus halal, ketua rombongan dari Concept Holidays, Vincent Wong membawa makanan dalam tin sebagai persediaan tambahan. Malah beliau sendiri turun ke dapur untuk memastikan hidangan kami tidak meragukan. Selain makanan laut dan sayur-sayuran yang disediakan pihak restoran, kami turut dijamu dengan kari ayam dan daging masak kicap dalam tin air tangan Vincent!

Selepas menikmati hidangan tengah hari, rombongan kami dibawa melawat tempat yang dijanjikan, King of Tulou.




Tulou merupakan jenis kediaman lama masyarakat Hakka yang hanya terdapat di Fujian, wilayah tenggara China. Tulou bermaksud rumah lumpur kerana struktur asasnya yang dibina daripada batu-batu bukit dan tanah liat.

Selain itu, ada juga yang menyebutnya sebagai rumah bumi kerana ciri-ciri yang mesra alam, tidak menggunakan paku dan tahan bencana seperti gempa bumi.

Selain bulat, terdapat juga tulou berbentuk empat segi. Biasanya tulou setinggi tiga hingga lima tingkat dan ia mampu memuatkan hingga 80 keluarga.

King of Tulou terdiri daripada tiga buah tulou iaitu Eryi Tulou, Nanyang Tulou dan Dongyang Tulou.

Rumah bumi paling besar di situ, Eryi Tulou dibina setinggi tiga tingkat. Ia dibangunkan lebih kurang 300 tahun lalu oleh seorang pedagang Hakka yang kaya. Pedagang tersebut menjalankan perniagaan hingga ke luar negara.

Menurut sejarah, Eryi Tulou mengambil masa tiga puluh tahun untuk siap. Selepas tiga tahun pembinaan, pedagang tersebut meninggal dunia dan usaha pembinaan diteruskan oleh isteri beliau.

Struktur luar tulou yang kukuh diperbuat daripada tanah liat yang dicampur dengan batu-batu bukit, buluh, kayu dan material semula jadi yang lain. Ia dibina kadangkala hingga dua meter tebal. Ranting-ranting, cebisan kayu dan buluh kadangkala dibiar pada dinding sebagai pertahanan tambahan.

Penggunaan tanah liat merupakan satu cara untuk melindungi kawasan dalam tulou daripada suhu melampau. Menurut penerangan jurupandu di situ, ketika cuaca sejuk keadaan di dalam tulou tidak terlalu sejuk, begitu juga dalam cuaca panas, ia tidak terlalu panas.

Tulou biasanya hanya mempunyai satu atau dua pintu sahaja. Pintu utamanya diperbuat daripada kayu dan dibalut kepingan besi sebagai satu cara menghalang api. Selain itu, ia juga dilengkapi sistem khas bagi mengelak kebakaran. Menurut jurupandu, andai berlaku kebakaran, plat besi pada pintu tersebut akan menjadi panas lalu bekas berpasir yang diletak pada bahagian atas pintu akan terjatuh serta-merta.

Pada dinding bahagian paling atas, dibina tingkap-tingkap kecil yang digunakan untuk meletakkan senapang bagi mempertahankan tulou daripada serangan musuh. Melihat kepada struktur bangunan itu, tidak hairanlah jika dikatakan tulou ibarat sebuah bandar pertahanan kecil yang selamat daripada serangan musuh.

Tulou lengkap dengan dewan upacara tertentu, setor, perigi, ruang tamu, tempat belajar, dapur dan bilik-bilik kecil. Tangga atau lorong-lorong kecil menghubungkan antara satu ruang dengan ruang yang lain.

Pada sesetengah tempat seperti dewan berhimpun, terdapat lukisan-lukisan yang menceritakan kehidupan keluarga pemilik tulou yang sangat menghormati orang dewasa. Juga terdapat satu lukisan wanita berkulit putih berkemungkinan bangsa Itali terdapat pada satu pintu dengan tulisan Steve Lulu. Menurut jurupandu di situ, ia mungkin kenalan pemilik tulou yang biasa berhubung dengan dunia luar ketika menjalankan perniagaan.

Tepat dengan gelaran rumah bumi, binaan tulou sangat mengagumkan. Pada kawasan lapang di tengah-tengah tulou, anda boleh berdiri dan membuat pengumuman dengan jelas kerana bunyi seakan bergema secara semula jadi. Dikatakan tempat itu sememangnya digunakan oleh ketua tulou untuk menyampaikan sesuatu atau memanggil seluruh isi tulou.

Menyaksikan kehebatan tulou, terlintas dalam fikiran betapa hebatnya seni bina Cina lama yang masih kukuh hingga kini. Walau tanpa kemudahan dan terletak jauh dari pelabuhan, mereka mampu mencipta satu bangunan yang sangat mengagumkan.

Berjalan-jalan di sekitar rumah bumi itu, pengunjung boleh membeli cenderahati yang dijual, antaranya arca tulou, batu berukir, kacang tanah dan teh istimewa masyarakat di pergunungan itu.

Seperti mana kukuhnya tulou, begitu juga dengan masyarakatnya yang masih menjalankan pertanian yang menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Di lembah yang subur itu, mereka menanam teh gunung, kacang tanah, ginseng dan pokok-pokok herba lain. Malah teh di pergunungan Fujian merupakan antara teh terbaik yang pernah dihasilkan. Cuba teh musim sejuk yang penuh aroma, saat menghirupnya kesegaran sungguh terasa.

Pada akhir lawatan, kami dibawa menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat di situ yang tidak jauh beza dengan petani di Malaysia. Cara mereka bermain buluh, menampi hasil tanaman dan gerak tari, boleh dikatakan hampir sama.

Sehingga kini setiap tulou masih lagi didiami oleh waris keluarga berkenaan. Pada tahun 2008, ketiga-tiga tulou itu mendapat pengiktirafan Unesco sebagai tapak warisan dunia. Menurut fakta, terdapat 46 buah tulou di sekitar Fujian yang masih kukuh hingga kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: