Wednesday, October 6, 2010

Tudung cantik sepadan baju


Manis digayakan ke majlis atau ke pejabat.


PERMINTAAN pelanggan terhadap tudung eksklusif bagi dipadankan dengan baju yang dibeli membuka ruang kepada Hayati Muslim, pemilik Butik T & T untuk menghasilkan tudung sedemikian.

Menurutnya, ramai pelanggan yang menyatakan sukar untuk mencari tudung yang cantik dan sepadan dengan baju yang dibeli di butiknya. Kata mereka, baju yang elegan dan eksklusif haruslah dipadankan dengan tudung yang eksklusif juga.

Walaupun telah memulakan perniagaan butik pakaian sejak 13 tahun lalu namun perniagaan tudung baru sahaja dimulakan oleh Hayati pada tahun ini. Ini katanya, pada mulanya dia mahu menumpukan pada rekaan fesyen sahaja.

Namun kerana ramai yang meminta dan menaruh kepercayaan pada ilhamnya dalam menghasilkan sesuatu rekaan yang mudah menarik perhatian pelanggan, Hayati memberanikan diri untuk menghasilkan tudung.

Tudung pasang siap atau tudung ‘segera’ menjadi pilihan ramai pelanggan. Namun keistimewaan tudung T & T ialah dibuat daripada fabrik bermutu seperti lycra dan syifon dan ditambah dengan jahitan manik kecil dan kristal tiruan dengan corak menarik pada bahagian tepi tudung.

Tudung manik bercorak eksklusif ini amat sesuai untuk dipakai pada majlis istimewa seperti ke majlis perkahwinan, makan malam, ke istana dan sebagainya.

Selain itu, tudung seperti ini juga cantik jika digayakan oleh golongan wanita VIP, pengantin atau si gadis yang akan mengikat tali pertunangan.

Pilihan tudung lain seperti selendang syifon, tudung Siti yang sarat dengan jahitan manik atau tudung bawal bersulam dan dijahit dengan kristal.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: