
PERIHAL fesyen tudung tidak semestinya dipelopori golongan wanita sahaja. Barangkali, orang lelaki lebih tahu mengenainya apabila sudah mempunyai minat atau mampu menjadikannya sebagai perniagaan yang menguntungkan.
Itulah yang dilakukan Ahmad Azri Ahmad Zaini, 30-an yang selesa menjalankan perniagaan tudung, malah mengembangkannya menjadi perniagaan Internet sesuai dengan trend dan perkembangan semasa.
Berkolaborasi dengan rakannya, Ahmad Hazik Mohd. Amin, Azri memberitahu perniagaan tudung yang dijalankan di kedai dan di blog secara serentak memberi pulangan yang berganda.
"Perjualan tudung melalui blog baru beberapa bulan dijalankan tetapi ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Justeru, ia menjadi perniagaan yang menguntungkan walaupun saya tidak pernah mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan," katanya.
Menurut Azri, sebagai lelaki pada awalnya dia tidak tahu langsung mengenai fesyen tudung tetapi selepas berkecimpung di dalam perniagaan tersebut dia belajar perlahan-lahan.
"Kini kalau ada pelanggan meminta pendapat mengenai tudung yang sesuai digayakan saya dapat memberi pandangan sendiri serta mencadangkan tudung-tudung yang mungkin sesuai dipadankan dengan pakaian atau acara pelanggan," katanya.
Bercerita mengenai blog berkenaan iaitu tudung-iman.blogspot.com yang diuruskan rakan perniagaannya Hazik, Azri memberitahu, dia membekalkan tudung tanpa corak dengan awning manakala Hazik menjual tudung bercorak dengan awning.
"Kami berkongsi ruang jualan di blog dan di kedai. Oleh itu, masing-masing menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan stok sentiasa mencukupi dan memenuhi permintaan pelanggan.
"Pelanggan yang mahu melihat tudung-tudung yang kami jual di blog boleh datang ke kedai jualan saya iaitu Amani Couture yang terletak di Metropoint Business Centre, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur," jelasnya.
Berkenaan harga pula katanya, harga pasaran tudung bercorak adalah sekitar RM50 sehelai manakala tudung polos pula dijual pada harga RM25 sehelai atau bergantung kepada jenis kain yang digunakan.
"Tudung dengan awning kini banyak dijual di mana-mana tetapi kami menjual tudung berkualiti tinggi dengan jahitan kemas. Oleh itu, harganya lebih tinggi berbanding tudung-tudung potongan sama di pasaran.

"Mereka yang mahu membeli secara pukal pula boleh menghubungi ejen-ejen kami yang berada di sekitar Kuala Lumpur, Selayang, Gombak, Bangsar, Kajang, Serdang, Bangi, Putrajaya, Sepang dan Nilai. Nombor telefon boleh didapati di blog," katanya.
Azri memberitahu, Amani Couture pada awalnya dikenali sebagai Che Mah Aneka Sulam kerana menjual tudung bawal yang popular digayakan beberapa tahun lalu.
"Kini, namanya telah ditukar supaya lebih sesuai dengan peredaran masa dan supaya tudung-tudung yang dijual mendapat sambutan pelanggan yang kebanyakannya daripada golongan pertengahan.
"Kedai ini juga tidak lagi menjual tudung bawal tetapi menjual tudung bercorak dan tanpa corak dengan lycra kerana ia paling mendapat sambutan ketika ini," jelasnya.
Tambah Azri, pada masa hadapan, seiring permintaan yang berubah-ubah, jualan fesyen tudung di blog dan di kedai juga mungkin mengalami transformasi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: