Wednesday, October 6, 2010

Tiga ikon seni


Dr. Mahathir Mohamad dan Dr. Siti Hasmah bersama pemenang tiga ikon MASIF 2010 iaitu Khatijah Ibrahim (dua dari kanan), Lat (tiga dari kanan) dan Sharifah Kirana (empat dari kiri).


KETIKA rakyat Malaysia berpesta dalam suasana harmoni meraikan Hari Malaysia pada 16 September lalu, tiga anak telah tempatan dinobatkan sebagai ikon dalam industri dan genre seni yang diwakili masing-masing.

Pengiktirafan tersebut diberikan demi menghargai usaha mereka mengharumkan nama Malaysia serta kejayaan mereka.

Pada malam sambutan Hari Malaysia, Music Arts and Style International, Festival Kuala Lumpur 2010 (MASIF 2010), yang dinaungi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menganugerahkan penghormatan kepada tiga tokoh seni; Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih terkenal dengan nama penanya, Lat sebagai Ikon Seni Halus MASIF2010; Datuk Khatijah Ibrahim penyanyi kesayangan atau diva bersuara merdu yang muncul pada tahun 80-an dengan lagu-lagu evergreen kegemaran ramai sebagai Ikon Dunia Muzik Tempatan; dan Datin Sharifah Kirana sebagai Ikon Industri Fesyen.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Sementara itu orang penting di sebalik kejayaan MASIF2010, Adam Saleh, berkata, sebagai salah satu acara yang diterajui oleh masyarakat seni sudah tiba masa bagi MASIF2010 memberikan penghormatan kepada golongan tersebut yang turut membantu menjana pembangunan dan membentuk budaya masyarakat Malaysia melalui bakat dan bidang yang mereka ceburi.

Katanya, seni adalah satu cabang kehidupan yang sangat unik dan mempunya impak yang sangat besar kepada masyarakat.

Sifat global dan universal setiap genre seni mempunyai daya untuk menarik orang ramai berkumpul dan berseronok dalam suasana harmoni dan aman.

"Atas sebab-sebab tersebut maka MASIF2010 merasakan amat tepat untuk menobatkan ikon-ikon ini sebagai satu penghargaan terhadap sumbangan yang diberikan," katanya.

Menurut beliau, pemilihan Sharifah Kirana adalah bagi mengiktiraf rekaannya yang eksklusif dan unik, sementara Khatijah Ibrahim pula telah mengharumkan nama Malaysia di luar negara bukan sahaja dalam bidang seni suara bahkan 'menjual' negara melalui hidangan-hidangan enaknya.

Sementara itu, sebagai kartunis tersohor, Lat telah meletakkan Malaysia di peta dunia apabila komik 'Kampung Boy dibaca di luar negara dan diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain serta menjadi satu siri kartun TV yang diminati dalam dan luar negara.

"Mereka telah mengharumkan nama Malaysia dan membuat negara berbangga dengan anak Malaysia yang mempunyai daya kreativiti, kegigihan dan sifat daya saing yang tinggi.

"Inilah anak seni yang kita mahu menjadi contoh kepada generasi muda dan dapat menyumbang kepada negara," tambah Adam lagi

Acara yang dianjurkan oleh Saphire Screen Sdn. Bhd. dan diterajui bersama oleh empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Bumiputra Designer Association, Malaysia Music Council, YOUTH Malaysia dan Yayasan Basmi kemiskinan itu, berlangsung selama lima hari bermula 15 hingga 19 September lalu.

Ia berlangsung dengan gemilang serta mendapat sambutan yang di luar dugaan hingga menjadi tajuk keenam paling dilayari di laman Google tempatan.

Selain acara pertunjukan fesyen dan persembahan muzik daripada penyanyi dan pemuzik tempatan, MASIF2010 turut membawa masuk selebriti terkenal dari negara ASEAN seperti Ruth Sahanaya dari Indonesia, Mint (Thailand), Rachelle Ann Go (Filipina) dan pemain biola terkenal dari Indonesia, Tengku Ryo.

Pada malam pelancaran yang dirasmikan oleh perdana menteri, MASIF2010 telah berjaya menarik lebih 10,000 penonton dan pengunjung luar negara.

Sepanjang acara berlangsung selama lima hari MASIF2010 telah melibatkan kira-kira 1,000 masyarakat seni termasuk pemuzik, pereka fesyen, peragawati, peserta pertunjukan silat dan seni kebudayaan daripada semua bangsa yang bergelar rakyat Malaysia.

Menariknya tentang MASIF2010, ia telah mempertontonkan kepada semua bahawa seni dapat menjadi satu jaringan yang cukup berkesan untuk menyatupadukan rakyat dalam erti kata tersendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: