Tuesday, October 26, 2010

Bantahan pilihan calon suami


Ramai di kalangan wanita Arab masa kini masih terikat dengan jodoh pilihan keluarga.


SEJAK turun-temurun, sudah menjadi kelaziman bagi kabilah-kabilah di Arab Saudi memberikan hak mutlak kepada bapa atau wali lelaki untuk menentukan calon suami anak perempuan mereka. Tetapi tradisi tersebut kini dicabar oleh golongan wanitanya.

Setelah sekian lama tertekan, semakin ramai wanita Arab Saudi terutamanya lepasan universiti yang bekerjaya kini tampil ke mahkamah untuk mencabar keengganan bapa masing-masing mewalikan pernikahan mereka.

Dalam satu kes berkaitan pada Julai lalu, sebuah mahkamah di Madinah menolak petisyen seorang doktor wanita yang berusia 42 tahun untuk mengetepikan bantahan bapa dan adik-beradik lelakinya yang enggan membenarkan dia berkahwin.

Mereka membantah kerana wanita tersebut mahu berkahwin dengan rakan sekerjanya yang merupakan seorang doktor bedah semata-mata kerana dia berasal dari kabilah lain.

Namun, mahkamah kemudian memutuskan bahawa si ayah berhak berbuat demikian, manakala pengadu dianggap seorang anak yang tidak taat kerana memilih lelaki di luar kabilah mereka sebagai suami.

"Malangnya, kami memiliki paradoks aneh dalam masyarakat kerana gadis mentah seawal umur 10 tahun dibenarkan berkahwin, tetapi seorang wanita dewasa pula ditegah berumah tangga," kata aktivis Persatuan Nasional bagi Hak Asasi Manusia (NSHR), Suhaila Zainal Abidin.

Seorang profesor universiti tempatan, Amal Saleh bersetuju dengan pendapat tersebut.

"Kami mahu menghapuskan fenomena kejahilan ini. Pada zaman sebelum kedatangan Islam mereka membunuh anak perempuan yang tidak dikehendaki. Sekarang 'membunuhnya' sebagai orang dewasa," ujar Amal yang berkempen di laman sosial Facebook bagi menyokong hak wanita Arab Saudi untuk berkahwin.

Ajaran Islam menyatakan, seorang ayah perlu membenarkan anak perempuannya berkahwin sekiranya calon suami merupakan seorang lelaki yang beriman dan berakhlak.

Bagaimanapun, di Arab Saudi, gabungan undang-undang syariah dan adat resam kabilah memberikan lelaki kuasa mutlak ke atas anak-anak perempuan mereka sehinggalah mereka berkahwin.

Kesannya cukup jelas kerana para pegawai kerajaan dan hakim tidak akan membiarkan seorang wanita berkahwin tanpa izin daripada lelaki yang menjadi walinya yang sah, sama ada bapa, saudara lelaki atau bapa saudara jika bapanya telah meninggal dunia.


Beberapa aktivis mengedarkan risalah yang menentang bahawa hak perkahwinan wanita ditentukan keluarga.


Alasan yang paling kerap digunakan untuk membantah sesuatu perkahwinan adalah masalah kabilah. Dilema itu menyebabkan ramai wanita di negara tersebut bergelar anak dara lanjut usia.

Kabilah membentuk struktur sosial di Arab Saudi. Kabilah yang kuat memiliki kuasa ekonomi dan pengaruh politik.

"Ada bapa yang berkahwin di luar kabilah tetapi pada masa yang sama enggan membenarkan anak perempuan mereka berbuat demikian," tambah Suhaila.

Kadangkala, seseorang anak perempuan tidak dibenarkan berkahwin dengan lelaki yang disukainya disebabkan dia telah dijodohkan dengan orang lain sejak kanak-kanak. Antaranya perkahwinan sesama sepupu.

Maha, seorang wanita yang dihubungi melalui e-mel menghadapi masalah yang serupa.

Mencari calon suami

Ketika berusia 26 tahun, Maha menolak perkahwinan sesama kabilah yang diatur oleh sanak saudara dan seorang broker perkahwinan kerana dia menganggap calon suaminya tidak layak sama sekali.

Sejak itu, ahli keluarganya berusaha mencari beberapa orang calon suami daripada kabilah lain, tetapi semuanya ditolak oleh bapa dan adik-beradik lelakinya.

"Kini, apabila usia saya mencecah 38 tahun mereka mendesak saya berkahwin dengan seorang lelaki pertengahan usia yang merupakan seorang penagih dadah," kata Maha yang meminta supaya nama bapanya dirahsiakan.

Menurut NSHR, sepanjang tempoh enam tahun lalu, 86 wanita menggunakan saluran mahkamah untuk berumah tangga berikutan keengganan wali membenarkan mereka berkahwin, termasuk 13 kes pada tahun 2010.

Namun, kes-kes tersebut cuma sebahagian kecil daripada jumlah yang sebenar kerana kebanyakan mangsa hanya mendiamkan diri daripada mencabar keluarga sendiri.

"Hakikatnya, punca utama permasalahan ini adalah kejahilan dalam masyarakat berhubung ajaran agama," tegasnya.

Wanita itu merujuk kepada fatwa seorang ulama berpengaruh di Arab Saudi, Sheikh Abdullah Jibreen yang meninggal dunia tahun lalu.

Ulama berkenaan menyatakan, para bapa tidak boleh menghalang anak perempuan mereka berkahwin.

"Kami cuma mahu fatwa ini dikuatkuasakan," katanya mengharap.


DI ARAB SAUDI wanita yang ingin mengahwini lelaki daripada kabilah berbeza mendapat tentangan keluarga.


Sementara itu, Aziza yang merupakan seorang profesor universiti tempatan berkata, ayahnya menolak mentah-mentah sesiapa sahaja yang mahu melamarnya.

"Bapa saya enggan membenarkan saya berkahwin dengan alasan tiada siapa yang layak untuk saya. Sebagai anak, saya terpaksa menghormati keputusannya," tutur Aziza.

Bagaimanapun, selepas dia berusia 30 tahun, ayahnya masih enggan membenarkannya berkahwin tetapi kali ini dengan alasan yang berbeza dengan mendakwa anak perempuannya bersikap jual mahal. Lantaran itu, dia meletakkan syarat-syarat yang tidak munasabah.

"Situasi itu menyebabkan saya malu dengan teman lelaki. Namun, saya cuba bersemuka dengannya untuk membincangkan masalah ini tetapi ia menyebabkan bapa saya marah," jelas wanita itu.

Bapanya kemudian bertindak mengugut dan mengurungnya di bilik untuk menjauhkan dirinya daripada saudara-mara. Menurut Aziza keadaan itu membuatkan dia pernah cuba untuk membunuh diri.

"Sekarang, saya sudah berumur 39 tahun dan masih belum berkahwin," kata Aziza dalam nada kecewa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: