![]() |
| Para tetamu pada sesi pembukaan butik Charles & Keith di Fahrenheit88 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
JENAMA Charles & Keith pastinya cukup sinonim dengan wanita yang menggemari fesyen kasut, beg dan aksesori.
Ini kerana, jenama itu bukan sahaja mengetengahkan koleksi unik, cantik, menarik, terkini dan berkualiti untuk kaum hawa tetapi juga berbaloi dengan harga yang dibayar.
Ditubuhkan pada 1996, jenama itu sehingga kini ditempatkan di lebih 25 buah negara dengan memiliki lebih 180 cawangan butik.
Terbaru, ia mengembangkan perniagaannya dengan membuka cawangan terkini yang juga butik ketujuhnya di Malaysia bertempat di pusat membeli-belah terkemuka, Fahrenheit88.
Bertepatan dengan lokasi Fahrenheit88 yang baru dibina di tengah-tengah ibu negara iaitu di Jalan Bukit Bintang yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai, pengurusan Charles & Keith yakin cawangannya itu pasti menerima sambutan.
Pengarah Charles & Keith dan Pedro West Malaysia, Lavina Melwani Valiram berkata, jenama itu menerima permintaan daripada penggemarnya di Malaysia supaya membuka cawangan di sekitar Bukit Bintang yang sememangnya terkenal dengan barisan butik terkemuka.
"Cawangan terbaru ini dibuka bertujuan meluaskan empayar perniagaan kami dan memperkenalkan produk terbaik kami kepada orang ramai.
"Kami juga membukanya di Fahrenheit88 bagi menghargai pelanggan dan pengguna setia produk kami yang sentiasa menyokong sehingga jenama Charles & Keith popular.
"Dengan pembukaan butik itu, orang ramai berpeluang membeli pelbagai produk kami termasuk kasut, beg dan aksesori seperti tali pinggang serta cermin mata," katanya.
Beliau berkata demikian pada Pelancaran Butik Charles & Keith di Fahrenheit88, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menariknya mengenai butik berkeluasan 1,669 kaki persegi itu, ia dibina menggunakan dinding kaca serta cermin yang mana membuatkan dekorasinya bertambah unik, selain produknya boleh kelihatan dari luar.
Sementara itu, pada pelancaran berkenaan, Charles & Keith turut memperkenalkan kempen koleksi 'edisi merah jambu terhad' bagi menyokong Persatuan Tindakan Reben Merah Jambu (Pride).
Badan bukan kerajaan itu diasaskan pada 2005 sebagai penghargaan kepada Allahyarham Tun Endon Mahmood yang meninggal dunia akibat kanser payu dara di atas keberanian, kekuatan dan semangat jitunya dalam melawan penyakit itu sehingga ke akhir hayat.
PRIDE juga diasaskan bagi membantu masyarakat terutama golongan wanita meningkatkan kesedaran berhubung kanser payudara, langkah rawatan pemulihan, menyediakan sokongan kepada rawatan serta supaya mereka memberikan perhatian terhadap kanser payu dara.
Lavina Melwani berkata, kempen itu adalah pertama kali seumpamanya dijalankan Charles & Keith Malaysia bagi melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta menunjukkan jenama berkenaan amat prihatin dengan perjuangan Pride.
Katanya, koleksi itu akan mula berada di seluruh cawangan Charles & Keith di Malaysia mulai 23 September 2010 dan sebahagian daripada jualannya akan disalurkan kepada persatuan berkenaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: