GADIS ini pernah menggemparkan masyarakat apabila gambar kontroversinya ‘bercumbuan dengan wanita’ di kelab hiburan sekitar Kuala Lumpur tersebar tatkala dia menyertai program Gadis Melayu Musim 2, tahun lalu.
Sudut kamar hatinya menyedari mungkin tiada lagi peluang untuknya mengejar cita-cita di pentas pengacaraan walaupun keinginan memburu impian tidak pernah padam walaupun maruah diaibkan.
Akhirnya, kesabaran gadis mesra disapa Jasmine ini berbaloi apabila diterima TV3, sekali gus diberi kepercayaan mengendalikan program baru mengenai permotoran, Auto.
Sama sekali tidak menyangka terpilih, sekali gus mengetepikan peserta lain yang turut menghadiri uji bakat program itu tidak lama dulu yang turut disertai peserta Gadis Melayu.
Jasmine berjanji dengan peluang diberikan stesen hebat berkenaan, dia akan lebih berhati-hati dengan segala tindak- tanduk serta aturan hidupnya.“Segala yang pernah tercetus, saya anggap itu kisah lama dan memberi pengajaran bermakna dalam hidup saya. Kini, saya lebih berhati-hati dengan segala tindak-tanduk dan cuba mengelak terbabit dengan insiden seumpama itu lagi.
“Sekarang ini saya mahu fokus dengan kerjaya pengacaraan yang baru bermula dan komited dengan tanggungjawab yang digalas. Sememangnya saya tidak menyangka terpilih mengendalikan program ini kerana proses pemilihan dibuat menerusi uji bakat yang turut disertai peserta Gadis Melayu musim lalu. Alhamdulillah, mungkin rezeki sudah tertulis buat saya,” katanya.Untuk bangkit daripada sebuah kegagalan bukan perjalanan yang mudah untuk ditempuhi. Namun, Jasmine bersyukur kerana ibu bapa dan mereka yang layak dipanggil sahabat sentiasa berada di sampingnya saat susah dan senang selain memberi sokongan tidak berbelah bagi.
“Merekalah sumber kekuatan saya. Selain sokongan keluarga, ramai kawan sentiasa berada di samping tatkala melalui saat sukar itu.
“Tidak dinafikan apabila sendirian dalam bilik, saya menjadi emosional. Bagaimanapun, daripada terbawa-bawa dek perasaan yang tidak membawa sebarang penyelesaian, saya akhirnya menguatkan hati untuk berfikiran positif dan pandang ke depan.
“Bagi saya, semua orang melakukan kesilapan dan masih ada ruang untuk mereka berubah. Lagipun, takkan saya harus mengalah dan membiarkan cita-cita berkubur hanya kerana kesilapan silam saya dan cakap-cakap orang.
“Saya bangkit semula dengan semangat baru untuk membuktikan saya punya kualiti untuk menjadi pengacara yang baik suatu hari nanti,” katanya.
Ditanya, apakah dia tidak bimbang kisah silamnya kembali diungkit apabila mengacarakan program Auto ini, Jasmine berkata, dia tidak mampu menghalang kata-kata atau tindakan mereka yang ingin menghangatkan kembali cerita lama.
“Itu kisah lama dan saya sudah mengakui kesilapan saya dengan permohonan maaf. Kalau ada yang mahu mengungkit atau mensensasikan kembali cerita ini, terserah kerana saya langsung tidak kisah dengan perbuatan mereka.
“Apatah lagi sekarang ini ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan dan didahulukan. Bagi saya, orang seperti itu tiada kerja lain nak buat,” katanya.
Masih menuntut dalam jurusan Komunikasi dan Pengurusan Media di Kolej Antarabangsa Taylors, Jasmine juga memaklumkan dia merancang menyambung pengajian dalam bidang sama di University of South Australia, tahun depan.
Tenang menjawab setiap pertanyaan, wajah cantiknya bertukar ceria apabila diajak berbual mengenai Auto, program automotif yang memaparkan maklumat terkini dan segar yang menemui penonton setiap Ahad, jam 5 petang sejak 3 Oktober lalu.
Akui Jasmine, mengacarakan program ini ibarat impian jadi kenyataan kerana selain dapat melunaskan cita-cita, program automotif antara yang sememangnya ingin dilakukan.
“Bapa saya seorang juruterbang dan dia sering membawa pulang model kapal terbang atau kenderaan yang unik setiap kali pulang bertugas. Di rumah juga bapa memang suka menonton rancangan sukan permotoran, selain rajin membeli majalah berkaitan kereta.
“Jadi sejak kecil saya memang sudah didedahkan serba sedikit mengenai dunia permotoran. Apabila ditawarkan mengendalikan program ini, saya tidak rasa begitu kekok kerana minat memang sudah ada.
“Paling menyeronokkan, dapat memandu kereta mewah yang tidak pernah termimpi mampu memilikinya. Menariknya program ini, ia menceritakan secara terperinci mengenai penjagaan dan kelebihan sesebuah kereta.
“Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa ada kalanya harga sebuah kereta mencecah jutaan ringgit. Apa kelebihan kereta itu berbanding kereta lain dan semuanya akan didedahkan dalam Auto,” katanya.
Setiap episod mempunyai tema berlainan, bergantung kepada kenderaan yang di paparkan seperti kereta sedan, ‘sports car’, hybrid, MPV, SUV dan banyak lagi. Bukan hanya soal kereta, Auto juga memfokuskan kenderaan lain seperti motosikal.
Pelbagai tip dan panduan yang pastinya berguna buat penonton khasnya pemilik dan penggemar automotif. Terdapat lima segmen khusus sepanjang 13 episod yang bakal ditayangkan iaitu ‘Test Drive’, ‘Hobi’, ‘Maintenance’, ‘Personaliti’ dan ‘Event’.
Dalam segmen ‘Test Drive’ penonton boleh merasai pengalaman memandu pelbagai jenis kereta seperti Porsche Panamera (model pertama jenis Sedan oleh Porsche), Hummer H3 dan banyak lagi.
Dengan itu, penonton mampu membandingkan kereta mana yang memenuhi cita rasa mereka. Segmen kedua, Hobi memaparkan aksesori tambahan seperti gadget (Global Positioning System atau GPS, LCD Monitor dan banyak lagi) serta kecanggihan sistem bunyi yang pasti akan menarik minat penonton.
Segmen seterusnya ialah Maintenance, di sini penonton akan diberi panduan bagaimana hendak menjaga kereta yang merangkumi bahagian enjin, tayar dan lain-lain.
Segmen Personaliti pula menjemput selebriti bersama kenderaan mereka seperti Fauziah Latiff dengan motosikal Ducati Hypermotard 769 dan Puteri Ay Jasmin dari Redbull Racing Team dengan kereta Subaru Impreza WRX STI.
Program Auto hasil idea Mohd Said Abdullah Thani selaku Penerbit Eksekutif dan Mohd Fareed Sharif selaku Penerbit daripada Primeworks Studios.
PROFIL
NAMA: Sharifah Jasmine Soraya
PANGGILAN: Jasmine, Soraya
TARIKH LAHIR: 14 Januari 1988
TEMPAT LAHIR: Subang Jaya
UMUR: 22 tahun
ANAK: Kedua daripada tiga beradik
SUKA: Aktiviti lasak, bersukan, muzik dan melepak dengan kawan-kawan dan membeli-belah
TIDAK SUKA: Hipokrit, orang yang suka jaga tepi kain orang dan orang yang suka memandang rendah orang lain
KERJAYA: Pengacara dan pelajar
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: