1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) dan Mubadala Development Company (Mubadala) dari Abu Dhabi, semalam memeterai dua perjanjian kerjasama strategik yang bakal membuka laluan bagi pelaburan bernilai berbilion ringgit oleh Mubadala di Malaysia.
KERJASAMA...Najib bersama Khaldoon (dua dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Shahrol Azral (kanan) dan Waleed. NSTP
Projek KLIFD dengan jangkaan kos kira-kira RM26 bilion membabitkan pembangunan hartanah di kawasan seluas 34 hektar yang akan dilaksanakan pertengahan tahun depan. Mubadala juga melabur RM21.7 bilion dalam projek pembinaan jangka panjang di Score terutama dalam sektor aluminium.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkata, KLIFD satu projek pembangunan yang dinamik dan sektor kewangan kompetitif di peringkat antarabangsa yang mempromosi pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) serta mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
“Ia komponen utama dalam inisiatif kerajaan untuk mempengaruhi perkhidmatan kewangan sebagai sektor pertumbuhan dan pemudah cara untuk pertumbuhan sektor lain.
“Perancangan utama adalah mempunyai penyelaras utama dan institusi secara bersama dengan bank utama dan firma perkhidmatan profesional termasuk pakar syariah,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian strategik antara 1MDB dan Mubadala di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.
Pada majlis itu, 1MDB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrol Azral Ibrahim Halmi manakala Mubadala diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Waleed Al Mokarrab Al Muhairi.
Hadir sama Pengarah Urusan Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak; Ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Najib berkata, pembangunan itu juga bertujuan merapatkan kluster perbankan yang penting dan entiti kewangan dalam satu kawasan.
“Kami menjemput, menggalakkan dan memujuk komuniti perbankan tempatan dan antarabangsa untuk bersama-sama kami, bukan hanya menjadikan Kuala Lumpur pusat kewangan global, tetapi juga menikmati faedah yang ditawarkan KLIFD,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: