Saturday, October 9, 2010

Nicol kota janji

RATU skuasy negara, Datuk Nicol David membuktikan keunggulannya sebagai pemain nombor satu dunia apabila merangkul pingat emas pada temasya Sukan Komanwel New Delhi selepas menewaskan pemain England, Jenny Duncalf, 3-0.

TAHNIAH...Nicol dipeluk Sharon Wee (kiri) jurulatihnya, Liz Irving selepas tamat final, semalam.
TAHNIAH...Nicol dipeluk Sharon Wee (kiri) jurulatihnya, Liz Irving selepas tamat final, semalam.
Kejayaan itu sekali gus mengubati kegagalan empat tahun lalu di Melbourne apabila gagal menyempurnakan misi membawa pulang pingat buat negara ketika diletakkan sebagai pemain pilihan.


Juara dunia itu menggunakan segala pengalamannya untuk mencatatkan kemenangan 11-3, 11-5, 11-7 di Pusat Sukan Shri Fort, semalam.


Nicol kelihatan begitu selesa memulakan rentak perlawanan untuk menang mudah di set pertama 11-3 dan terus mengemudi perlawanan apabila memasuki set kedua dengan kemenangan 11-5.


Bagaimanapun di set ketiga, Nicol mula menerima tentangan dari Jenny yang mengejar mata demi mata namun kepantasan Nicol gagal dikekang Jenny membolehkan Nicol mencatatkan sejarah tersendiri menghadiahkan emas pertama dalam acara skuasy buat negara.


Kemenangan itu membolehkan pemain berusia 27 tahun kelahiran Pulau Pinang menghadiahkan emas keempat negara di temasya Sukan Komanwel ke-19 di New Delhi, India selepas Amirul Hamizan Ibrahim, Aricco Jumith (angkat berat) dan Josiah Ng (Basikal).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: