Sunday, October 10, 2010

Masjid dalam gua

MENGAIT pelancongan di Indonesia, majoriti kita terbayangkan Jakarta, Bandung, Bali atau Medan. Maklum saja jarang kita mendengar syarikat pelanco­ngan menyediakan perkhidmatan ke destinasi lain di republik itu seperti Palembang, Jogjakarta, Acheh dan Makassar, apatah lagi Surabaya.

UNIK...bahagian depan (pintu masuk) masjid di dalam gua menyejukkan hati.
UNIK...bahagian depan (pintu masuk) masjid di dalam gua menyejukkan hati.

TERUJA...seni ukir bersulam ayat suci di dinding masjid yang terletak di dalam gua. TERUJA...seni ukir bersulam ayat suci di dinding masjid yang terletak di dalam gua. ABADI...penulis dan isteri bergambar kenangan di depan pintu masuk ke Masjid Laksamana Cheng Ho. ABADI...penulis dan isteri bergambar kenangan di depan pintu masuk ke Masjid Laksamana Cheng Ho. KREATIF...hiasan berwarna warni dalaman masjid di dalam gua di Surabaya. KREATIF...hiasan berwarna warni dalaman masjid di dalam gua di Surabaya. MUDAH...jambatan Suramadu yang menghubungkan Surabaya dan Madura. MUDAH...jambatan Suramadu yang menghubungkan Surabaya dan Madura. TEGUH...Masjid Agung Tuban. TEGUH...Masjid Agung Tuban. JINAK...haiwan liar, termasuk unta ini, menghampiri kenderaan pelawat di Taman Safari di Surabaya (taman safari kedua terbesar di Indonesia). JINAK...haiwan liar, termasuk unta ini, menghampiri kenderaan pelawat di Taman Safari di Surabaya (taman safari kedua terbesar di Indonesia).

TERUJA...seni ukir bersulam ayat suci di dinding masjid yang terletak di dalam gua.


Hakikatnya, Surabaya mempunyai keunikan tersendiri yang pasti meninggalkan kenangan indah kepada mereka yang melawat wilayah berkenaan meskipun ia tidak semoden kota Jakarta atau sepopular pusat pelancongan antarabangsa Bali, sehebat Danau Toba (Medan) atau sedingin Bandung yang terkenal sebagai ‘Kota Fesyen Indonesia’.

Sebaliknya, Surabaya menawarkan pelancongan dengan keindahan semulajadi yang mengasyikkan, diserikan pula dengan seni bina Islam unik seperti masjid dalam gua, sungai mengalir di dalam masjid selain ladang epal terbesar dan zoo ala safari.


Sebaik tiba di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, debaran terasa di kalangan kami seramai tujuh orang. Siapa yang akan menjemput sebagai jurupandu, terutama apabila beberapa supir (pemandu kereta sewa) mula bertanya kepada kami destinasi yang ingin pergi, tetapi kami sendiri tidak pasti kerana belum pernah ke Surabaya dan hanya bersandarkan kepada nombor telefon diberi seorang rakan di Malaysia.

Saya terus mendail nombor diberi dan debaran terjawab apabila seorang pemuda berjubah menjawab telefon serta melambaikan tangan.

“Saya Azam dan bapak ini Pak Ishak ya?” Ustaz Mohd Abdullah Azam Termizi al-Hafiz memperkenalkan dirinya dan kemudian menunjukkan kepada kami yakni supir yang akan membawa kami sepanjang empat hari di Surabaya.

Kami kemudian diberi penerangan mengenai kembara kali ini. Yang kami mahu ialah kepuasan melihat keindahan di sekitar Surabaya.

Destinasi pertama kami menuju ke Batu melalui Lapindo, kawasan tanah tinggi yang nyaman. Hampir dua jam perjalanan, kami tiba di Batu.

Selepas solat Maghrib, kami menikmati nasi Arab berlauk kambing di sebuah restoran Arab. Terasa lazat sekali, maklumlah kami lapar kerana sejak tengah hari belum menjamah apa-apa.

Setelah meninjau dan mencari tempat penginapan, akhirnya kami tertarik hati untuk menginap di sebuah banglo di Singgoriti. Kawasan ini memang banyak banglo yang boleh disewa. Harganya juga tidak terlalu mahal.

Banglo di sini dimiliki orang berada yang tinggal di bandar. Mereka datang pada hujung minggu untuk berehat bersama keluarga.

Kami tidur dengan nyenyak, maklumlah cuaca sejuk yang tidak perlu pendingin hawa. Selepas solat Subuh, kami dibawa ke pusat pengajian Nurul Haromain di Pojon, Malang iaitu maahad pengembangan Islam dan dakwah. Sempat juga kami mengikuti kuliah Subuh Ustaz Ihya Ullumud­din bersama kumpulan pelajar yang bakal menjadi pendakwah.

Di sini kami teruja dengan teknologi tahi lembu bagi menghasilkan gas untuk memasak. Daripada enam lembu peliharaan di kandang dapat melahirkan gas untuk memasak di dalam kawasan pesantren ini. Satu teknologi yang sudah lama tetapi baru kami ketahui.

Kami kemudian bertolak ke kawasan Agrovisata Apple, Kusuma Argowisata. Ia kawasan perladangan epal terbesar di Indonesia. Satu pengalaman baru bagi kami dapat memasuki ladang epal, makan percuma sepuas hati. Kami hanya membeli epal di sini hasil petikan tangan kami. Memilih yang terbaik saja.

Kami kemudian ke Taman Safari Pandaan. Bayaran dikenakan untuk masuk ke kawasan ini. Kami tidak dibenarkan keluar daripada mobil yang kami naiki.

Pelbagai jenis binatang dapat kami saksikan, termasuk harimau dan singa yang bebas berkeliaran. Kami di sini kesuntukan masa kerana cuaca hampir gelap selain hujan renyai-renyai.

Pergerakan kami diikuti kereta peronda taman safari dengan tujuan menjaga keselamatan kami. Kami difahamkan, taman safari ini yang kedua terbesar di Indonesia.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di kawasan yang berlaku tragedi lumpur panas yang memusnahkan kawasan luas. Kami terkejut dengan penera­ngan Ustaz Azam. Kawasan yang berlaku peristiwa pahit pada 22 November 2006. Peristiwa hemburan lumpur panas daripada perut bumi masih berlaku sehingga sekarang.

Untuk mengawal kawasan daripada limpahan banjir lumpur panas ini, kerajaan Indonesia menambak setinggi 10 meter. Kami menaiki kawasan ditambak itu dan melihat saujana mata memandang kawasan lumpur ini.

Kami difahamkan, tragedi ini menenggelamkan kawasan seluas lebih 71,000 hektar membabitkan 353 kampung, memusnahkan kawasan padi seluas 142 hektar, ladang tebu seluas 24 hektar termasuk sekolah, pejabat, lebih 15 kilang termasuk gedung perniagaan.

Peristiwa ini berpunca daripada penggerudian gas dari perut bumi. Subhanallah, ini yang dapat kami lafazkan apabila memandang ke arah asap panas yang masih memuntahkan lumpur.

Kami kemudian mencari tempat penginapan baru dan memilih kawasan Ampel. Kawasan ini terkenal dengan sejarahnya yang tersendiri. Malam itu malam Jumaat, dan ramai penduduk keluar membeli-belah sekitar masjid yang terkenal di situ.

Di Masjid Ampel ada Makam Wali Sunan Ampel. Keesokannya kami pergi ke rumah penterjemah kitab terkenal di Jawa iaitu Ustaz Yunus Al Mudhor. Beliau menterjemahkan hampir 100 kitab bahasa Arab ke Bahasa Indonesia. Beliau sekarang uzur kerana penyakit kencing manis.

Beliau mendapat pendidikan di India bersama Dato’ Syeikh Baderuddin Ahmad yang kini Mufti Kedah.

Selepas menikmati jamuan ri­ngan di rumah Ustaz Yunus, kami menuju ke Tuban. Sepanjang jalan, keindahan dapat dilihat dengan kawasan pertanian yang subur. Kawasan Surabaya tanahnya pamah, tidak ada gunung berapi, walaupun begitu tanahnya subur dengan banyak tanaman padi secara tradisional.

Kami tiba di Tuban tepat masuknya waktu Jumaat. Kami bersyukur kerana sempat solat Jumaat di masjid Agung Tuban, sebuah masjid daerah yang indah daripada segi seni dan reka bentuk ukirannya.

Dalam perhatian saya, boleh dikatakan rata-rata masjid di Indonesia mempunyai laluan air atau takungan air yang perlu dilintasi oleh sesiapa saja untuk ke bilik air. Tujuannya jelas sekali sebagai basuhan kaki. Apatah lagi kalau masjid itu berhampiran laluan anak sungai yang jernih dan sejuk.

Lepas solat Jumaat kami dibawa ke kawasan tidak jauh dari situ yang pada mulanya saya fikirkan kawasan ukiran batu. Menghampiri ke kawasan di depan, ternampak pintu gerbang yang diukir dengan ayat al-Quran.

Kami masuk selepas mendapat­kan kebenaran. Berdebar-debar kami memasuki lorong di bawah tanah. Rupa-rupanya ia adalah gua bawah tanah. Bukan gua dalam bukit seperti di Malaysia. Permukaan tanah atasnya rata saja. Dalam gua ni ada kemudahan bekalan elektrik. Pelbagai hiasan ukiran ayat al-Quran pada dinding batu di dalamnya. Ada juga ruang untuk solat dan mimbar tempat membaca khutbah.

Lantai dihiasi dengan jubin dan lampu daripada kristal menambah lagi keharmonian keadaan di dalamnya. Kami ditunjukkan dalamnya juga ada bilik memasak, bertapa, mandi, rehat untuk beradu dan lain-lain. Kami rasa kagum sekali kerana pengalaman baru yang belum pernah dilihat.

Sebelum bertolak balik ke Surabaya, kami dibawa ke penghujung semenanjung Pulau Jawa. Kami menaiki jambatan panjang yang menghubungkan Pulau Jawa dengan Pulau Madura diberi nama Jambatan Suramadu (hasil gabungan Surabaya dengan Madura).

Pada hari terakhir ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Juanda untuk pulang ke Malaysia, kami singgah di sebuah masjid masyarakat Cina Islam. Masjid ini diberi nama Masjid Mohamad Cheng Ho dan mengikut penerangan pentadbir masjid ini, ia ada kaitan dengan sejarah Kesultanan Kerajaan Melayu Melaka.

Lawatan kami kali ini ke Indonesia puas rasanya. Jelas sekali kebesaran Allah yang mentadbir alam ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: