Tuesday, October 19, 2010

Super Light gemparkan peserta


Demonstrasi menyalakan Super light oleh zulkifli Haron pada akhir bengkel menyebabkan ramai peserta terpegun.


Kehidupan kita sentiasa dikelilingi oleh masalah dan jalan penyelesaian bagi mengatasinya adalah melalui inovasi serta reka cipta.

"Malah setiap alatan serta teknologi yang kita gunakan kini adalah hasil kreativiti orang-orang terdahulu yang sentiasa mencari jalan untuk memudahkan perjalanan hidup kita seharian,'' ujar ikon inovasi, Zulkifli Haron.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan demonstrasi rekaan terbaru iaitu Super Light pada akhir Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) bagi Zon Selatan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Zulkifli yang lebih dikenali sebagai McGyver Malaysia berjaya menyebabkan peserta bengkel terpegun apabila rekaan Super Light tersebut berjaya memancarkan cahaya yang amat terang walaupun hanya menggunakan bateri voltan rendah.

Malah, ada peserta pada peringkat awalnya tidak mempercayai apabila diberitahu bahawa ciptaan yang hanya sebesar syiling 50 sen tersebut dapat mengeluarkan cahaya hingga mampu menerangi sebuah bilik.

Pada peringkat awalnya, rata-rata di antara mereka hanya tertawa sinis kerana menyangka demonstrasi tersebut hanya gurauan semata-mata.

Tidak kurang juga ada yang langsung tidak mempercayai ia akan bercahaya.

Namun, hampir semua peserta kelihatan terpegun apabila kilauan cahaya putih menyinari dewan apabila Zulkifli berjaya menyalakannya.

Demonstrasi Super Light tersebut merupakan antara kejutan yang dilakukan oleh Zulkifli sendiri pada sesi akhir bengkel itu. Selain itu, beliau juga memperkenalkan mesin terbarunya iaitu 'robot' membuat roti jala.

Pengisian Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi sempena adalah sama seperti bengkel yang diadakan sebelum ini, namun setiap bengkel pasti diwarnai dengan pelbagai insiden yang menarik dan tersendiri.

Bengkel tersebut merupakan siri kelima diadakan dan yang ketiga di bawah payung MI2010, iaitu program sempena tahun inovasi yang menghimpunkan lebih 220 acara sepanjang 2010 diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Bengkel berkenaan pula merupakan sebahagian program inovatif yang dianjurkan melibatkan Utusan Malaysia dan Zull Design Autotronic (ZDA) yang diterajui Zulkifli.

Bengkel tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya menghidupkan lampu menggunakan air, sentuhan tangan dan sebagainya.

Pada bengkel kali ini, hampir seratus peserta daripada pelbagai kaum teruja dengan pengisian aktiviti inovasi yang jarang mereka temui terutama berkaitan pelbagai jenis suis dan kegunaannya.

Sementara itu, pada peringkat awal sesi pengenalan Pengarah Latihan ZDA, Zulfadli Haron memberitahu, rata-rata peserta kelihatan agak keliru terhadap penerangan yang diberi.

Beliau menjelaskan, aktiviti yang menekankan kepada penggunaan suis penting kerana dalam mana-mana teknologi berkaitan elektrik dan elektronik pasti membabitkan suis.

Sebab itu, perkara asas dalam penggunaan suis diberi keutamaan sebelum mereka mencipta atau menghasilkan inovasi berteknologi tinggi.

"Selama ini ramai di kalangan peserta hanya mengetahui hanya satu jenis suis sahaja,'' katanya.

Malah, ada juga yang langsung tidak pernah memegang alatan tangan untuk kegunaan elektronik seperti pemotong wajar, pen uji elektrik dan pelbagai jenis suis.

Namun, setelah memasuki sesi praktikal bersama alatan seperti suis, suis bermagnet, suis geganti, mentol dan penggera, peserta kelihatan semakin memahami setiap fungsi alatan tersebut serta bersemangat.

Setiap peserta akan diberikan tugasan untuk disiapkan berdasarkan penerangan yang telah diberikan.

Ia bertujuan memberikan pemahaman yang lebih baik terhadap teori asas yang diberikan.

Malah, insiden litar terbakar serta berasap juga turut berlaku yang mana seolah-olah menjadi rutin setiap kali bengkel tersebut diadakan.

Kejadian tersebut pada awalnya diwarnai dengan jeritan peserta serta ada yang berlari meninggalkan meja akibat terkejut kemudian di akhiri dengan hilai tawa rakan-rakan yang lain.

Hal demikian kerana peserta secara tidak sengaja telah 'mencantumkan' wayar positif dan negatif tanpa melalui load atau beban seperti mentol, penggera dan sebagainya.

Ia menyebabkan wayar tersebut terbakar dan mengeluarkan asap putih yang berbau tengik dan lebih mudah dikenali sebagai litar pintas.

Apa yang menarik, ia sedikit pun tidak menyebabkan peserta lain menjadi takut atau berganjak daripada tempat duduk.

Menurut Zulkifli lagi , Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi kali ini memperlihatkan peningkatan dari segi minat peserta.

"Saya juga turut mendapat tahu bahawa bengkel pada kali ini turut disertai sebuah keluarga.

"Hampir keseluruhan ahli keluarga yang terdiri daripada ibu, bapa serta anak menyertainya dan ia memberi isyarat bahawa program sebegini adalah amat baik," katanya.

Pemahaman masyarakat terutamanya ibu bapa semakin jelas terhadap peri pentingnya budaya inovasi tersebut perlu dipupuk sejak dari usia muda.

Malah usaha sepasang suami isteri yang turut menyertai bengkel bersama-sama anak-anak mereka merupakan suatu petanda bahawa bengkel ini telah diterima ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: