Tuesday, October 19, 2010

Cipta sendiri inkubator untuk penetasan


MOHD. Azhar menunjukkan telur-telur itik yang dieram menggunakan inkubator ciptaannya.


MENYELUSURI laluan kawasan sawah padi menghijau di Kampung Kuar, Mukim Tajar, Alor Setar, Kedah, pandangan pasti tertumpu kepada sebuah rumah kampung yang dikelilingi banyak haiwan seperti itik, angsa dan beberapa spesies ayam unik.

Kelihatan persis taman haiwan. Namun lokasi tersebut sebenarnya merupakan pusat penternakan dan pengeluaran produk berasaskan itik yang mengetengahkan konsep reban terbuka.

Menurut pengusahanya, Mohd. Azhar Muthalib, 29, perusahaan itu diwarisi daripada ayah mertuanya yang telah memulakan projek penternakan itik sejak tahun 1985.

''Ketika itu, ayah mertua saya hanya menternak itik secara kecil-kecilan sebagai sumber makanan untuk keluarga.

''Melihat sambutan menggalakkan daging itik di pasaran, pada tahun 2004 saya cuba menjalankan beberapa kajian dan tinjauan mengenai potensi perniagaan haiwan ternakan ini.

''Dengan tiada pengalaman dalam aktiviti penternakan itik, saya mengambil risiko berhenti kerja sebagai konsultan bank dan perlahan-lahan mempelajari teknik pemeliharaan itik daripada ayah mertua saya,'' katanya ketika di temui di rumahnya di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

Beliau yang merupakan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam pengajian Ijazah Perniagaan pada mulanya hanya bertindak membantu ayah mertuanya dalam urusan pemasaran daging itik.

Pada peringkat awal pengkomersialan perniagaannya, hanya terdapat kira-kira 600 hingga 700 ekor itik yang dipelihara di kawasan sekitar rumahnya seluas satu ekar.

Sehingga pada tahun 2007, Mohd. Azhar membuat pinjaman modal sebanyak RM20,000 daripada Agrobank untuk memperkembangkan projek ternakan itiknya.

Antara jenis itik yang dipelihara adalah daripada spesies Moscovi untuk pengeluaran daging, itik telur dan juga angsa daripada jenis Chamble.

Kini, perusahaannya telah mempunyai lebih 2,000 ekor itik dan angsa termasuk beberapa spesies induk untuk tujuan pembiakbakaan.

Bercerita mengenai proses pembiakan, Azhar memberitahu, dia ada mencipta sendiri kotak inkubator untuk memudahkan proses penetasan telur itik.

Binaan kotak tersebut mempunyai termometer untuk tujuan kawalan suhu sementara mentol lampu dan air berfungsi memberi kesan kepanasan dan kelembapan lebih sekata.

Kotak tersebut turut dijual kepada mereka yang berminat dengan tawaran harga RM350 seunit.

Untuk menggunakan kotak inkubator itu, telur-telur yang telah dikenal pasti mempunyai baka bersesuaian akan dipilih dan dimasukkan ke dalamnya.

Telur-telur itu kemudian dibiarkan di dalam kotak berkenaan dengan kawalan rapi sehingga menetaskan anak itik.

Telur yang didapati tidak mempunyai baka pula akan diguna untuk menghasilkan telur masin.

Dalam memastikan reban itiknya sentiasa kekal bersih dan tidak berbau, setiap hari Mohd. Azhar akan menyembur campuran ubat khas di kawasan persekitarannya.

Malah, dia juga ada menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Ia merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menambah pengetahuan mengenai teknik penternakan itik dan sebagai persediaan menghadapi sebarang masalah dalam operasi penternakannya.

'Dari segi pasaran, itik-itik yang diternak ini biasanya boleh dijual selepas melepasi tahap matang iaitu berusia sekitar 80 hari atau apabila beratnya sudah mencecah lima kilogram (kg) untuk itik jantan dan tiga kg untuk itik betina

'' Bagi itik hidup, ia dijual pada harga pasaran RM7.80 sekilogram sementara yang telah diproses, harganya boleh mencecah antara RM12 hingga RM14 sekilogram,'' jelas bapa kepada seorang anak itu.

Mohd. Azhar memberitahu, itik-itiknya menerima permintaan tinggi daripada restoran-restoran di sekitar kawasan rumahnya selain dibeli oleh penduduk-penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: