![]() |
| Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi oleh Zull Design dan Utusan Malaysia antara program yang menjadi tumpuan. |
Kemeriahan karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010) bakal dirasai oleh warga Sarawak, apabila negeri berkenaan menjadi tuan rumah penganjuran karnival tersebut pada 23 hingga 24 Oktober ini.
Karnival MI 2010 Zon Sarawak bakal menyaksikan sedikit kelainan seperti aktiviti pertandingan perahu berhias, Kek lapis Sarawak Inovatif Terpanjang di Malaysia dan Malam Kreativiti Muzikal.
Selaras dengan tema Meraikan Kreativiti, pelbagai aktiviti telah disusun untuk semua lapisan masyarakat seperti pertandingan inovasi peringkat Zon Sarawak, pameran produk inovasi, ceramah interaktif, bengkel inovatif, Sarawak Creative Talent dan pelbagai lagi.
Seperti biasa, penganjuran karnival MI2010 bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemikiran yang kreatif serta memupuk budaya inovasi di kalangan rakyat Sarawak.
Ia sekali gus meningkatkan penjanaan ilmu, kekayaan dan kesejahteraan rakyat dengan matlamat melahirkan satu negara berinovatif.
Menyasarkan segenap lapisan masyarakat Sarawak iaitu golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia, pelajar sekolah, komuniti, penduduk bandar serta luar bandar, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pihak swasta.
Sebanyak tujuh siri ceramah interaktif dan empat bengkel inovatif akan diadakan bagi tujuan membuka minda serta daya kreativiti peserta.
Manakala, pada malam 23 Oktober akan diadakan program Malam Kreativiti Muzikal bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bertujuan menonjolkan bakat kreatif dalam bidang seni terutama di kalangan anak-anak muda Sarawak.
Pertandingan tersebut akan menyaksikan persaingan hebat antara kumpulan-kumpulan yang telah terpilih sebagai finalis.
Juara bagi pertandingan tersebut akan mewakili Sarawak bagi pertandingan akhir yang akan berlangsung di Festival MI 2010 di Bukit Jalil pada November ini.
Di samping itu, Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi yang dikendalikan oleh Zull Design Autotronic (ZDA) dengan kerjasama Utusan Malaysia turut dijangkakan mendapat sambutan hangat.
Ia berdasarkan maklum balas orang ramai yang amat berminat untuk menyertainya pada siri bengkel yang lepas.
Pada kali ini, bilangan penyertaan bengkel tersebut telah dipertingkatkan agar lebih ramai rakyat Sarawak menyertainya.
Bengkel tersebut akan diadakan pada 24 Oktober dan bagi yang berminat boleh mengisi borang penyertaan yang disertakan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: