
HILAI tawa para penuntut Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat (FPTP) memecah hening pagi di Puncak Alam Sentral, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam, Selangor.
Bermesra bersama rakan-rakan lain dari fakulti yang sama, mereka menyertai pelbagai sukaneka yang menggamit memori pada zaman kanak-kanak.
Dibahagikan kepada lima kumpulan mengikut tema warna, para pelajar dari empat jurusan iaitu Pengurusan Sistem Pejabat, Pengurusan Pelanggan, Pentadbiran Kesihatan dan Pengurusan Acara daripada fakulti itu menyertai pelbagai aktiviti.
Namun di sebalik senyuman mereka, tidak ramai yang tahu pihak penganjur berdepan dengan keadaan getir pada saat akhir sebelum program itu berlangsung.
Pengurus Projek, Abdul Azim Adnan, 24, ketika ditemui berkata, segala persiapan yang telah disiapkan dua hari sebelum program yang dinamakan sebagai I Love OM itu berlangsung musnah kerana hujan lebat.
“Bayangkan semua persiapan yang dilakukan oleh kumpulan kami ranap begitu sahaja. Semua khemah dan pentas terbang akibat ribut yang kuat.

“Ia berlaku semalam (menjelang program) iaitu lima jam sebelum program ini berlangsung,” katanya.
Namun kerana semangat berpasukan yang oleh pasukan penganjur iaitu pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara dari kelas OEB 55B itu, mereka bertungkus-lumus menyiapkan persiapan yang telah musnah pada malam itu.
“Dengan kelancaran aktiviti ini, ramai yang tidak menyedari bahawa kami melalui saat sukar malam sebelum berlangsungnya acara.
“Ini sebenarnya yang kami mahukan. Memberi sumbangan dengan sepenuh hati untuk mengeratkan warga fakulti tanpa mengira penat lelah,” katanya yang masih belum sempat berehat beberapa hari sebelum program itu berlangsung.
Semangat sayang menyayang
![]() |
| ACARA menyambut telur yang gamat dengan gelak ketawa. |
Aktiviti yang dianjurkan itu adalah antara sukatan pelajaran yang harus dilaksanakan oleh pelajar jurusan tersebut.
Aturcara yang bermula seawal pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 7 petang itu diserikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti pertandingan sukaneka, gerai jualan, perlawanan futsal dan persembahan hiburan.
“Kami mengangkat tema cinta dalam setiap aktiviti sukaneka yang dijalankan seperti love pull (tarik tali), loving lanes (boling kelapa) dan catch the love (sambut telur).
Mengangkat konsep hari keluarga, objektif utama program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kerjasama antara pasukan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan yang kian longgar antara rakan-rakan sefakulti.
“Ia adalah sebagai usaha untuk memupuk semangat sayang menyayangi antara warga fakulti,” kata Abdul Azim.
![]() |
| PASUKAN hijau menunjukkan semangat berpasukan. |
Menurut Abdul Azim, aktiviti yang berjaya dilangsungkan pada 3 Oktober lalu tersebut telah melalui pelbagai fasa. Tugasan itu telah diberikan kepada mereka sejak dua tahun lalu iaitu ketika mula mendaftarkan diri di dalam kursus tersebut.
Dalam tempoh itu mereka diberi masa untuk berbincang dan mengumpul bahan bagi menjayakan sebuah program besar yang mampu meninggalkan impak kepada mereka.
“Walaupun perancangan telah dibuat sejak sekian lama, program yang berlangsung pada hari ini telah diputuskan secara rasmi pada Julai lalu.
“Bermula pada tarikh itu juga, seramai 23 orang ahli atas nama Kaizen Productions telah bertungkus-lumus mencari penaja dan merancang program secara terperinci,” katanya.
Dengan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan yang lain, semangat beliau semakin membara apatah lagi mereka berikrar untuk sentiasa komited kepada pasukan.

“Ikrar akan dibacakan pada setiap hari Isnin di hadapan pensyarah penasihat kami iaitu Azzura Nordin.
“Ia adalah sebagai usaha untuk menumpahkan sepenuh usaha kepada Kaizen Productions demi kejayaan bersama,” katanya.
Program tersebut turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada pihak Pertubuhan Belia Wilayah Persekutuan (Youth), Persatuan Pelajar Pengurusan dan Teknologi Pejabat (OMSA) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM.
Sementara itu, Exco Komunikasi Korporat MPP UiTM, Iqmal Ul Izhar Zainee, 22, menyambut baik program tersebut dan menyokong aktiviti yang dilakukan oleh pelajar universiti itu.
Menguji kekuatan mental
“Kami di MPP akan memberi sokongan penuh bagi setiap aktiviti yang dijalankan. Bukan saja sokongan moral, kami juga akan turun padang bagi membantu secara fizikal.
“Saya melihat aktiviti pada hari ini mampu mengeratkan ukhwah dengan menjemput pelajar daripada fakulti lain, staf-staf UiTM dan para pensyarah selain orang awam,” katanya.
Turut memberi sokongan kepada penganjuran program itu, Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Rudzi Munap, memuji Kaizen Productions kerana kejayaan penganjuran aktiviti besar tersebut.
“Selain mengeratkan hubungan silaturahim antara warga fakulti, program ini juga sebenarnya memberi manfaat yang besar kepada mereka selaku penganjur.

“Ia mampu memupuk sikap toleransi dan kerjasama berpasukan. Selain itu ia menguji kekuatan fizikal dan mental sebelum menempuhi dunia kerjaya yang lebih mencabar,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas merasmikan program itu.
Sebanyak 2,000 naskhah akhbar Kosmo! diedarkan kepada pengunjung sepanjang program sehari yang berlangsung itu. Selain Kosmo! yang menjadi media rasmi, Kaizen Productions turut menerima penajaan daripada Youth, Celcom dan Karangkraf.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: