Tuesday, October 19, 2010

Penuntut IBM-UniKL berkampung di Mersing


PROGRAM Operasi Khidmat Masyarakat memupuk semangat muhibah antara pelajar Institut British-Malaysia, UniKL penduduk Kampung Sungai Mengkuang, Endau, Mersing.


BAGI mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat setempat, seramai 33 penuntut Institut British-Malaysia (IBM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berkampung di Kampung Sungai Mengkuang dan Kampung Teriang, Mersing baru-baru ini.

Menerusi program Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim), pelajar pelbagai jurusan dari universiti tersebut melakukan aktiviti gotong-royong termasuk memasak beramai-ramai.

Program selama sehari itu turut memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi.

“Selain bertemu masyarakat desa, program tersebut merupakan aktiviti wajib setiap semester yang dikendalikan sepenuhnya oleh para penuntut IBM-UniKL.

“Di samping itu para pelajar dapat memupuk semangat muhibah dengan penduduk kampung dan memberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat,” kata penyelaras program tersebut, Mohd. Fairul Riduan Chek, 21, ketika ditemui baru-baru ini.

Antara aktiviti yang diadakan ialah membersihkan persekitaran, mengecat balai raya dan masjid Kampung Sungai Mengkuang serta surau Al-Hidayah, Kampung Teriang Kecil.


PARA pelajar bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar balai raya.


“Walaupun keletihan, rata-rata mahasiswa berasa seronok kerana semua program dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar sambil dipantau oleh dua kakitangan UniKL,” katanya.

Sementara itu rata-rata peserta program yang ditemui berpuas hati dan seronok kerana dapat menyertai Opkim itu.

“Walaupun penat kerana aktiviti ini padat, namun saya bangga kerana dapat menabur bakti kepada penduduk kampung,” kata Najmi Zahir, 22, pelajar semester dua, kursus elektrikal universiti berkenaan.

Penuntut yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu berkata, mereka terpaksa pulang ke Kuala Lumpur kerana akan menghadapi peperiksaan semester keesokan harinya.

Bagi kakitangan UniKL, Farahana Zepari, selain khidmat masyarakat, penuntut juga telah mengadakan kunjungan ke rumah-rumah anak yatim bagi menghulurkan bantuan dan menyampaikan sumbangan.

“Saya berharap para pelajar tidak jemu untuk menyertai program ini kerana mereka tentu berasa seronok mengenali penduduk di sini dan sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan belajar,” katanya.

Rakannya, Fitrianengsih Zardasti, 27, berkata, sebagai penasihat program, dia sentiasa memastikan Opkim yang dilaksanakan oleh para pelajar memberi manfaat dan keseronokan.

“Ini adalah modul kokurikulum yang menjadi sebahagian daripada keperluan wajib kursus bagi setiap pelajar,” katanya.

Semangat muhibah


ZAINAL Abidin (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada Fitrianengsih pada majlis penutup Operasi Khidmat Masyarakat, Institut British-Malaysia, UniKL, di Kampung Sungai Mengkuang, Endau, Mersing baru-baru ini.


Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Mengkuang, Husin Awang Da, 44, berharap, penuntut IBM-UniKL akan berkunjung semula ke kampungnya jika berkesempatan.

“Saya dapati penduduk kampung seronok melayan para pelajar ini dan berharap mereka juga begitu,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan isteri, Datin Nor Izzah Mansor.

Zainal yang ditemui selepas program berkenaan berasa bangga kerana program berkenaan berjaya memupuk semangat muhibbah antara mereka.

“Saya berharap hubungan UniKL dan penduduk kampung di Mersing dapat diteruskan serta para mahasiswa mendapat manfaat daripadanya.

“Tidak ramai orang yang mahu terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan, justeru, usaha IBM-UniKL ini wajar dipuji dicontohi,” katanya yang berharap UniKL akan terus maju. Zainal juga mengingatkan para penuntut yang mencapai umur layak mengundi agar segera mendaftar bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

Zainal Abidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau turut berkenan merasmikan majlis penutup program tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: