Sunday, October 24, 2010

Sorok dalam ‘lubang tikus’

SEREMBAN - Beberapa wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan karaoke dekat Rahang Kecil, di sini sanggup berhimpit-himpit dalam lubang rahsia bagi mengelakkan diri dicekup pihak berkuasa, malam kelmarin.

Mereka juga dikatakan bertempiaran lari menyelamatkan diri sebaik saja menyedari kehadiran sepasukan polis yang melancarkan Ops Noda di pusat hiburan berkenaan.

Akibat terlalu panik, ada antara mereka bertindak nekad merempuh anggota polis, selain bergegas menyembunyikan diri dalam ‘lubang-lubang tikus’ di premis berkenaan supaya tidak diberkas.

Malangnya, cubaan itu bukan sahaja gagal malah ia mengakibatkan pihak berkuasa menemui lebih ramai wanita dipercayai GRO dalam keadaan berhimpit-himpit dalam tempat persembunyian berkenaan.

Serbuan mulai kira-kira jam 9.30 malam hingga 12.30 malam itu dijalankan sepasukan dua pegawai dan 11 anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Pegawai Operasinya, Asisten Superintendan Khairi Anuar Rusly.

Turut serta sepasukan pegawai dan anggota D7 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri.

Menurut Khairi Anuar, siasatan awal mendapati semua wanita berkenaan, berumur antara 20 hingga 30-an, memiliki dokumen perjalanan sah selain permit kerja dalam pelbagai bidang.

"Namun mereka disyaki menyalah gunakan permit berkenaan dan seterusnya ditahan di bawah Peraturan Imigresen 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk siasatan lanjut.

"Di samping itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berumur sekitar 40-an dipercayai penjaga premis bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pusat hiburan di premis dua tingkat dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan dipercayai mula beroperasi sejak beberapa tahun lalu.

"Setiap pelanggan perlu membayar RM50 sejam untuk khidmat GRO menemani mereka semasa berhibur di pusat hiburan terbabit,” katanya.

Khairi Anuar berkata, kira-kira 50 pelanggan berumur antara 20 hingga 40-an serta 10 pekerja berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan.

Menurut beliau, ujian air kencing mendapati empat pelanggan berumur antara 20 hingga 30-an positif dadah.

"Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: