![]() |
| SHEILA juga berjaya menyuntik emosi audiens dengan lagu-lagu sentimental. |
IMPIAN yang dipendam sekian lama sejak menjadi anak seni 25 tahun adalah untuk beraksi di pentas prestij sambil lagu-lagu dendangannya dialunkan oleh sekumpulan pemuzik orkestra.
Bagi Datuk Sheila Majid, sebagai anak seni, dia mahu menjadikan momen itu antara detik terpenting dalam direktori seninya yang dapat dikenang oleh para peminatnya.
Lalu, apabila perancangan selama setahun untuk menampilkan Sheila di pentas Dewan Filharmonik Petronas (DFP) itu menjadi kenyataan, tiada lain yang mampu diluahkannya hanyalah mengucapkan syukur.
Apatah lagi, persembahannya akan diiringi oleh pemuzik orkestra dari Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang sudah termaktub sebagai salah sebuah kumpulan orkestra terbaik di rantau ini.
Hujung minggu lalu, selama dua malam berturut-turut bermula 1 Oktober, Sheila membuat persembahan solo pentas penuh gah itu di bawah siri DFP Showcase.
Sebetulnya, ini bukanlah kali pertama wanita genit ini membuat persembahan di sana. Sebelum ini, dia pernah mengalunkan lagu-lagunya dalam siri Jazz & World Music di DFP pada tahun 2000.
Eksklusif
Cuma bezanya ketika itu, persembahan Sheila tidak diiringi orkestra tetapi oleh barisan pemuzik profesional yang sering mengiringi persembahannya sebelum ini.
Sememangnya penantian untuk menonton persembahan eksklusif Sheila di DFP sudah begitu lama dan akhirnya, ia dimakbulkan juga.
Kegembiraan itu bukan hanya disambut oleh Sheila tetap juga para peminat tegar yang tidak pernah jemu menikmati alunan indahnya selama 25 tahun.
Percaya atau tidak, kesemua tiket untuk persembahan tersebut habis dijual hanya dalam tempoh 48 jam sebaik sahaja kaunter dibuka pada 23 Ogos lalu.
Lebih menakjubkan apabila ada peminat yang sanggup beratur seawal pukul 6.30 pagi semata-mata mahu mendapat tempat duduk terbaik.
Memang ia kerja gila tetapi siapa yang mahu melepaskan peluang menonton persembahan Sheila di DFP yang sekian lama diingini oleh tuan punya badan dan juga peminatnya.
Untuk anak seni sehebat Sheila, memang sudah layak dia diangkat ke taraf setinggi itu dengan mengadakan konsert di DFP.
Barangkali, selepas Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, belum ada lagi penghibur yang mampu menyatukan semua bangsa tanpa kira warna kulit, agama dan kedudukan dalam menikmati muzik mereka.
Dan, Sheila sepatutnya berasa bangga kerana dia adalah antara penghibur yang berjaya merentasi sempadan itu bukan hanya di Malaysia tetapi juga di negara jiran, Indonesia.
Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran penonton yang hadir pada malam pembukaan konsertnya pada 1 Oktober lalu yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ia termasuklah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman; Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said serta artis-artis popular seperti Tan Sri S.M. Salim, Syafinaz Selamat, Vanidah Imran dan Rashidi Ishak.
Konsert yang diberi nama MPO Celebrates 25 Years of Sheila Majid itu dimulakan dengan lagu instrumental, Prelude D'Legenda yang digubah oleh Jenny Chin.
Sebaik sahaja Sheila muncul dengan gaun labuh merah jambu rekaan Michael Ong, penonton dengan pantas menyambut kehadiran Sheila dengan tepukan gemuruh.
Memilih lagu Aduh Sayang sebagai lagu pembukaan, Sheila tidak perlu menunggu lama untuk terus memastikan penonton melekat di kerusi masing-masing.
"Lagu seterusnya ini adalah gambaran jelas tentang kerjaya saya selama 25 tahun dan anda (peminat) yang telah meletakkan saya di puncak tertinggi ini," kata pemilik nama penuh Shaheila Abdul Majid ini sebelum menyampaikan lagu Gemilang.
Meneruskan persembahan, Sheila memilih lagu Percayalah dan Cobalah Bertahan yang sememangnya bukan lagu hits Sheila.
Namun penyandang gelaran Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 1997 ini ada rasionalnya.
"Saya memilih dua lagu ini kerana merasakan ia mampu menjadi sebuah karya yang hebat seandainya dimainkan dengan iringan orkestra," ujarnya seraya memberikan senyuman kepada konduktor MPO malam itu, Kevin Field.
Sememangnya percaturan Sheila memilih dua lagu tersebut memang tepat kerana ia menjadi begitu gah dan dramatik sekali apabila dimainkan oleh orkestra.
Untuk itu pujian harus diberikan kepada Jenny Chin dan Ahmad Muriz Che Rose yang telah menggubah susunan muziknya dan menjadikannya ia begitu indah sekali.
Begitu juga dengan lagu Jeritan Batinku yang dibawa dengan begitu baik sekali oleh Sheila dengan interpretasinya sendiri sehingga seluruh dewan menjadi senyap seketika.
Walaupun sudah lama berkecimpung dalam seni suara, Sheila tidak mampu mengelak dirinya daripada mengalami darah gemuruh.
Ada kalanya bahasa tubuh Sheila menampakkan dia sedikit gementar dan itu bukanlah satu kesalahan besar.
Untuk mana-mana artis yang menyanyi bersama orkestra, pastinya akan mengalami perasaan tersebut dan Sheila juga tidak terkecuali.
Mujurlah Sheila bijak mengatasinya dengan skil komunikasinya yang memang sudah menjadi identitinya di atas pentas.
Lagu Kerinduan dan Embun juga menjadi pilihan Sheila dalam konsert tersebut yang pastinya mengubat kerinduan peminatnya yang sudah lama tidak mendengar lagu-lagu itu disampaikan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: