![]() |
| PASANGAN suami isteri popular, Siti Nurhaliza dan Khalid Mohammad Jiwa tidak pernah ketinggalan memenuhi undangan Kumpulan Utusan setiap kali Syawal. |
TRADISI menyambut Syawal di Malaysia sungguh menyeronokkan. Acara rumah terbuka pula menjadi kelaziman.
Sepanjang bulan Syawal, kemeriahan rumah terbuka dapat dirasakan. Di sana sini, kebanyakan daripada kita tidak mahu melepaskan peluang meraikan tetamu.
Kumpulan Utusan tidak ketinggalan untuk sama-sama meraikan hari penuh kegembiraan ini.
Bahagian pengurusan korporat syarikat media itu misalnya mengadakan majlis rumah terbuka meraikan para pelanggannya dan rakan-rakan perniagaan serta selebriti.
Acara yang berlangsung penuh gemilang itu di Hotel Nikko, Kuala Lumpur dihadiri oleh lebih 5,000 orang.
Hadir sama memenuhi jemputan Kumpulan Utusan ialah artis-artis ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Rozita Che Wan, Sofea Jane, Erma Fatima, Didie Alias, Haiza, Fasha Sandha, Fazli Zainal, Roslan Shah dan ramai lagi.
Sementara tokoh-tokoh politik, ahli-ahli perniagaan, tokoh koporat, pengamal media dan lain-lain juga hadir memeriahkan majlis yang berlangsung sehingga pukul 7 malam itu.
Selain daripada majlis yang dianjurkan oleh pengurusan korporat Kumpulan Utusan itu, sidang editorial akhbar Utusan Malaysia juga mengadakan majlis rumah terbuka.
Acara yang diadakan pada Rabu lalu menghimpunkan lebih 1,000 tetamu biarpun ketika hujan turun dengan lebatnya.
Sidang editorial Utusan Malaysia mengadakan majlis itu di pekarangan ibu pejabat akhbar itu di Jalan Lima, Off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Dengan pelbagai hidangan hari raya termasuk lemang, rendang dan sebagainya, sebanyak tiga ekor kambing panggang turut menjadi perhatian tetamu.
Selain para petugas di akhbar itu, majlis turut dihadiri oleh rakan-rakan artis serta kenalan-kenalan yang selama ini memberi sokongan padu terhadap akhbar yang menjadi kebanggaan ramai ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: