![]() |
| SELEPAS album Anak, Aishah akan tampil dengan album yang berkonsepkan lagu-lagu klasik tahun depan. |
APABILA penyanyi bersuara hebat bernama Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, 45, mendirikan rumah tangga secara senyap pada 30 April lalu, ia sedikit sebanyak mengundang pelbagai spekulasi.
Lebih-lebih lagi, apabila perkahwinan ketiganya bersama Faizal Sazali Zulkifli, 44, itu berlangsung di Narathiwat, Thailand yang menguatkan lagi khabar angin yang kurang enak terhadap Aishah.
Mengapa perlu berkahwin sehingga ke negara jiran seandainya tiada apa yang hendak disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai?
Tidak cukup dengan itu, perkenalan singkat selama sebulan antara Aishah dan Faizal Sazali sebelum mengambil keputusan berkahwin juga menjadi perbualan ramai.
Kata-kata sinis juga mula bertebaran apabila ada yang mendakwa Aishah menjadi punca perceraian Faizal Sazali yang memiliki enam orang cahaya mata menerusi perkahwinan pertamanya.
Dengan tenang, penyanyi tersohor ini memberikan jawapannya sambil meningkah pantas terhadap dakwaan yang disifatkannya tidak berasas itu.
Faizal Sazali yang turut berada di sebelahnya ketika itu juga menafikan Aishah adalah insan ketiga yang menjadi punca kepada perceraiannya.
"Soal perampas mahupun poligami langsung tidak wujud dalam perkahwinan kami dan semuanya itu tidak benar sama sekali.
"Ketika saya bertemu dengan suami saya, dia sudah pun bercerai dan sedang dalam proses untuk menyelesaikannya di mahkamah.
"Saya faham apabila timbul isu saya berkahwin dengan senyap dan gambar kami berdua mula tersebar di alam maya, pelbagai cerita kurang enak mula diperkatakan.
"Kami berdua mempunyai rasional sendiri mengapa kami mengambil tindakan untuk merahsiakan perkahwinan kami daripada pengetahuan umum," jelas Aishah panjang lebar ketika disoal mengenai kontroversi perkahwinan ketiganya itu.
Penyanyi tersohor itu berkata demikian pada majlis pelancaran album terbarunya, Anak di ibu pejabat Nasyeed.Com di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir naib juara Imam Muda, Hizbur Rahman Omar Zuhdi dan Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Nasyeed.Com, Muhamad Razin Che Mud.
Tidak ketinggalan Pengarah Pemasaran Sony Music, Aziana Ali dan penerbit album Anak, Azmee Abdul Manap atau lebih dikenali sebagai Dakmie.
Menyambung perbualan, Aishah memberitahu bukannya dia sengaja mahu merahsiakan perkahwinan atau cuba menyembunyikannya atas sebab-sebab tertentu.
Tetapi, baginya dalam usianya sekarang, kehidupan peribadi bukan lagi menjadi agenda utama dalam kariernya sebagai seorang anak seni.
Baginya, cerita kehidupannya tidak perlu digembar-gemburkan kerana dia lebih selesa untuk menghebahkan mengenai kerjaya seninya dan apa jua bidang berkaitan dengannya.
"Sewaktu mengambil keputusan hendak berkahwin, kami perlu memikirkan banyak perkara dan memikirkan juga hati beberapa pihak yang perlu dijaga.
"Selepas menyenaraikan apa yang perlu hendak dilakukan, saya dan suami sepakat hanya melaksanakan yang wajib sahaja.
"Sudah pasti, kami memberitahu keluarga masing-masing tentang perkahwinan ini dan kami sama sekali tidak akan cuba menyembunyikannya daripada pengetahuan keluarga kerana itu lebih penting," kata Aishah sambil dipersetujui Faizal Sazali yang merupakan seorang usahawan itu.
Pada masa yang sama, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Janji Manismu dan Cinta Beralih Arah itu berkata, dia langsung tidak berniat untuk menipu sesiapa tentang perkahwinannya itu.
Aishah sedar dia sudah terlepas cakap kepada pihak media ketika sidang akhbar persembahan Hari Ibu bersama Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekitar bulan Mei lalu.
Pada ketika itu, dia sudah pun sah menjadi isteri kepada Faizal Sazali.
"Memang saya ada mengatakan saya akan mengumumkan bila tiba masa yang sesuai namun masa memang tidak mengizinkan dan ada beberapa perkara yang membuatkan saya tidak boleh mengumumkannya.
"Tetapi, selepas sahaja saya bergelar isteri, ke mana sahaja saya pergi bersama suami, saya pasti akan memperkenalkannya kepada mereka yang bertanya kepada saya.
"Jadi, memang ada yang tahu saya sudah berkahwin cuma tidak dihebahkan sahaja. Selepas gambar kami tersebar, saya juga tidak menafikannya," cerita ibu kepada dua cahaya mata ini lagi.
Menjelaskan pernikahannya yang berlangsung di Narathiwat pula, Aishah berkata, ia adalah kerana ketika itu Faizal Sazali masih belum mendapat surai cerai dari mahkamah.
"Memandangkan proses perceraian mengambil masa yang lama, kami menyegerakan perkahwinan kami kerana mahu mengelak fitnah. Jadi, jalan paling mudah adalah untuk bernikah di sana," katanya yang mula berkenalan dengan suaminya di sebuah laman web sosial.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: