Tuesday, October 26, 2010

Budaya membaca anggota tentera


RANGKAIAN kedai runcit Pernama turut menawarkan koleksi bahan bacaan.


TERSOHOR sebagai rangkaian kedai runcit dalam kem-kem angkatan tentera di seluruh negara, Perwira Niaga Malaysia (Pernama) kini berusaha mempelbagaikan barangan untuk dijual.

Terbaru, melalui kerjasama dengan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D), Pernama menawarkan koleksi bahan bacaan di rangkaian kedainya.

Menurut Pengurus Besar Pernama, Datuk Ab. Wahab Khalil, 61, penjualan buku-buku tersebut bertujuan untuk menggalakkan budaya membaca di kalangan anggota tentera.

“Melalui usaha ini, kami sebenarnya membuka ruang kepada sesiapa yang berminat untuk meletakkan buku-buku mereka di rangkaian kedai runcit kami.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, kami mencapai kata sepakat terhadap kerjasama ini,” ujar Ab. Wahab sambil menambah untuk permulaan terdapat tujuh buah kedai runcit Pernama yang terlibat dalam penjualan buku berkenaan.

Respons

Antaranya di Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur; Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor; Pangkalan TUDM Kem Batu 10, Kuantan, Pahang; Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak; Kem Mahkota Kluang, Johor dan Kem Terendak di Melaka.

Koleksi buku terbitan UP&D itu mula dijual sejak bulan Ogos lalu. Bagaimanapun, Ab. Wahab mengakui sambutan terhadap buku-buku yang dijual kurang menggalakkan kerana banyak pihak belum menyedari penglibatan Pernama dalam perniagaan buku.

Namun, ujarnya, penjualan tetap ada terutama buku-buku berkaitan wanita seperti buku resipi, masakan dan jahitan.


AB. WAHAB berharap kerjasama dengan UP&D mampu meningkatkan minat membaca di kalangan anggota tentera.


“Sebagai projek perintis, respons yang kami terima belum begitu ketara. Situasi ini mungkin disebabkan minat membaca yang masih rendah di kalangan anggota tentera.

“Dari semasa ke semasa, kami akan melihat minat mereka terhadap bahan bacaan yang digemari. Dari situ, baru kami boleh meletakkan buku-buku yang mampu menarik perhatian mereka,” jelas Ab. Wahab yang sudah 20 tahun memegang jawatan Pengurus Besar di Pernama.

Ditubuhkan pada bulan Mac 1983, Pernama merupakan perbadanan milik penuh Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang menguruskan kedai-kedai di dalam kem tentera bagi pihak kerajaan.

Keistimewaan cawangan kedai Pernama ialah ia berkonsep bebas cukai. Justeru, semua barangan ruji yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Ini salah satu komitmen kami untuk meringankan beban anggota tentera ketika harga minyak di pasaran dunia melambung tinggi satu ketika dahulu.

“Alhamdulillah, ia menerima sambutan yang sangat memberangsangkan,” kata Ab. Wahab. Pernama turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain seperti kedai gunting rambut, siber kafe dan medan selera.

Selain itu, Pernama juga menyediakan perkhidmatan jualan gajet-gajet terkini seperti telefon bimbit, komputer, peralatan elektrik dan motosikal menerusi skim bayaran ansuran tanpa faedah yang tinggi.

Sehingga kini Pernama mempunyai kakitangan seramai 300 orang dan mempunyai 70 cawangan kedai runcit di seluruh Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: