Tuesday, October 5, 2010

Selesai sudah majlis pernikahan dan persandingan kedua mempelai ini. Jimmy Shanley dan Nursuhaila Eliani selamat dijabkabulkan pada 1 Oktober lalu di rumah pengantin perempuan dengan hantaran sebanyak RM31,186.

Kedua-dua mempelai nyata kelihatan anggun dan menawan dengan persalinan tona putih dan perak yang direka oleh pereka tempatan iaitu Rizman Ruzaini dan pereka dari Jakarta iaitu Prestige by Inar.


Majlis persandingan berlangsung pada 2 Oktober di Kuala Lumpur Convention Centre dan dihadiri lebih 900 tetamu termasuk YAM Tengku Puteri Seri Bongsu Pahang Tengku Hajjah Shahariah binti Sultan Hj Ahmad Shah, Datuk Seri Mohd Khalid Muhammad Jiwa, Datuk Siti Nurhaliza dan ramai lagi.

Menurut Jimmy, hajatnya selepas sah bergelar suami kepada anak pengasas produk kecantikan Natasya adalah ingin menunaikan umrah bersama isteri tercinta.

"Kami belum memikirkan lokasi untuk berbulan madu namun apa yang pasti saya ingin menunaikan umrah bersama isteri. Mungkin bulan dua tahun depan kami akan berangkat ke sana," ujarnya ketika ditemui selepas majlis persandingan.

Bagi Jimmy lagi, perkahwinan ini membawa makna dan perubahan besar dalam hidupnya. Mengekalkan sikap toleransi dan saling mempercayai, Jimmy berharap dapat menjadi pasangan contoh dan mengekalkan hubungan mereka hingga ke akhir hayat.

"Hubungan kami mengajar saya menjadi lebih penyabar dan bertolak ansur. Cabaran yang datang dihadapi bersama dan ia membantu menguatkan lagi percintaan kami. Apa yang penting, isteri perlu percayakan saya dan jangan mudah percaya kepada gosip.

"Saya akan berusaha untuk menjadi suami yang baik dan kurangkan kontroversi," katanya yang merancang mendapatkan lima anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: