Sama ada mampu, kurang mampu, sudah atau belum menunaikan ibadat haji, atas sedikit pertolongan yang anda berikan telah membolehkan seseorang itu akhirnya memperolehi rezeki untuk menunaikan haji di Mekah.
Maka bayangkan ganjaran dan pahala yang diterima oleh tangan yang memberi itu, adakah sama ada menyamai ganjaran dan pahala haji itu sendiri?
Apatah lagi jika pemberian itu ikhlas daripada sanubari dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran dunia kecuali diserahkan kepada Allah sebagai sebaik-baik pemberi balasan.
Dalam aspek individu, masing-masing menyedari akan keperluan para jemaah lalu dihulur apa sahaja untuk meringankan beban.
Tetapi kini tugas tersebut seolah-olah diambil alih oleh pihak syarikat atau korporat yang prihatin dan dermawan supaya hampir kesemua jemaah dapat dibantu.
Selain menghulurkan wang tunai, syarikat-syarikat korporat ini juga mengeluarkan belanja yang banyak bagi menyediakan pelbagai jenis barangan yang dapat digunakan para jemaah.
Dengan lain perkataan, para jemaah kini tidak perlu terlalu memikirkan setiap perkara daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besar barangan untuk di bawa ke sana.
Maka tumpuan sepenuhnya boleh diberikan terhadap aspek ibadah itu sendiri!
Waima daripada sebiji pil panadol, ubat gigi, kain ihram mahupun uncang batu itu sendiri. Semuanya bakal diberi percuma kepada para jemaah kerana banyak keperluan seperti produk-produk jagaan diri, makanan (selain yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji) dan kesihatan diberi percuma oleh syarikat korporat tersebut.
Ia melalui suatu program yang dikenali ‘Sahabat Korporat TH’, yang bermula sejak 1980-an lagi dengan syarikat pengeluar makanan, minuman dan tenusu terkenal, Nestle Sdn. Bhd mula-mula tampil menghulurkan sumbangan.
Ketika itu menurut Pengurus Besar Pengurus Besar Hal Ehwal Awam & Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji (LTH), Abdul Rashid Hussein, sumbangan itu dikenali sebagai ‘Sumbangan Barang Hadiah Jemaah Haji’.
Sehinggalah pada tahun 2005 ia dikenali ‘Program Sahabat Korporat Tabung Haji’ dengan moto yang sangat bermakna, iaitu ‘Berkongsi Barakah’.
Kata beliau, daripada setahun ke setahun, jumlah syarikat korporat yang menyertai program ini semakin bertambah malah yang uniknya ia seolah-olah menyahut seruan Gagasan 1Malaysia.
“Ini apabila tanpa mengira syarikat sama ada berentiti Islam mahupun tidak, masing-masing menunjukkan minat dan kesungguhan yang tinggi dalam menjayakan program ini.
“Ini kerana yang penting sumbangan dan produk yang dihulurkan itu adalah halal atau menepati konsep halalan wa toyibban,” katanya.
Persoalannya, apakah faedah yang diperolehi oleh pihak korporat ini dengan menyertai program itu atau semata-mata bagi tujuan promosi atau iklan secara tidak langsung yang dipercayai memberikan impak atau pulangan yang besar kepada syarikat-syarikat tersebut?
Abdul Rashid berkata, tidak dinafikan penyertaan mereka dalam program itu ada memberikan faedah besar termasuk promosi produk dan sebagainya kerana sehingga kini tidak ada lagi mana-mana syarikat yang menarik diri.
Namun, beliau percaya, yang lebih penting adalah keprihatinan dan keikhlasan mereka dalam menghulurkan sumbangan-sumbangan tersebut.
“Malah TH sendiri tidak memberikan sebarang imbal balas terhadap semua sumbangan itu, hanya mampu berterima kasih dan mengharapkan agar Allah sahaja dapat memberikan sebaik-baik balasan kepada mereka.
“Tetapi saya percaya, semua ini tidak lebih dari tanggungjawab sosial korporat mereka terhadap masyarakat tanpa mengira masa, tempat dan keperluan,” tambahnya.
Abdul Rashid juga menolak tanggapan segala pemberian wang tunai dan pelbagai produk ini sama sekali bukan tujuan untuk ‘diserap’ dalam kos haji yang terpaksa dibayar oleh para jemaah.
“Segala pemberian ini adalah hadiah kepada para jemaah yang kosnya di luar tanggungan TH apatah lagi para jemaah,” katanya.
Malah sumbangan tersebut tiada kaitan dengan kos sebenar haji iaitu RM13,060 bagi setiap individu jemaah berbanding tambang RM9,980 setiap jemaah.
Sebagai menghargai sumbangan mereka, baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, meraikan mereka pada jamuan Aidil Fitri di Dewan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Lebih-lebih lagi sumbangan kali ini meningkat kepada RM8.4 juta berbanding RM6.9 juta tahun lalu yang disumbangkan oleh 34 syarikat untuk jemaah haji 1431 Hijrah.
Jamil Khir dalam ucapannya berkata, pihaknya amat mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat menyertai program tersebut.
“Walaupun ada menyumbang kain ihram pada tahun ini tetapi sumbangan tersebut tidak mencukupi untuk 26,000 para jemaah haji negara ini.
“Ia boleh dicukupkan oleh syarikat lain dan apabila ini berlaku ia menjadi satu perkongsian yang sangat bijak sama ada untuk dunia mahupun di akhirat kelak.
“Lebih ramai yang menyumbang adalah lebih baik dan semua ini sangat dihargai oleh para jemaah itu sendiri” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: