|
|
SEMAKIN banyak kejohanan sepak takraw yang muncul bertalu-talu ekoran Kejohanan KFC-Utusan Malaysia 2010 pada 1 hingga 3 Oktober lalu, membuktikan sukan warisan budaya bangsa ini sudah kembali mengisi hati masyarakat pencinta sukan yang memang mahukannya kembali ke martabat segemilang era 80-an.
Selepas berjaya menarik hampir 200 regu ke Kompleks Rakan Muda, Puchong dan The Curve, Mutiara Damansara dalam kejohanan itu, Karnival Sepak Takraw Kebangsaan Universiti Teknologi Mara (UiTM)-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak ketinggalan dengan mampu menggamit 104 regu pada edisi keduanya, minggu lalu.
Sebuah universiti awam di Lembah Klang, cuba bersaing pada minggu itu menerusi format pertandingan terbukanya selain menawarkan ganjaran yang tidak kurang lumayan manakala satu lagi kejohanan mirip peringkat kebangsaan, Majlis Sukan dan Kebajikan Anggota Kerajaan (Maksak) bakal menyusul dari 22 hingga 24 Oktober ini di Paroi, Seremban.
Lebih banyak pertandingan tempatan bererti lebih ramai pemain khususnya bakat baru dapat dicungkil dan digilap yang sekali gus bakal menjanjikan semula masa depan yang cerah buat sukan sepak takraw di sebalik godaan pelbagai sukan lain yang lebih komersial dan gajet komunikasi moden pujaan golongan muda kini.
Soalnya, sejauh manakah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan 17 ahli gabungannya menyedari dan memanfaatkan kehadiran aneka kejohanan tempatan ini dalam memajukan sukan berkenaan selagi tiada seorang pegawai Jawatankuasa Pertandingan, Teknik dan Pembangunan mahupun Kejurulatihannya yang dihantar memantaunya.
Kini bukan masanya lagi untuk mereka sekadar berpeluk tubuh dan memanaskan kerusi pejabat lalu menanti 13 persatuan negeri, dua Wilayah Persekutuan, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, membekalkan pemain ke skuad negara atau hanya berharapkannya menerusi Piala Emas Khir Johari dan Kejohanan Belia Kebangsaan serta Sukan Malaysia (Sukma).
Usaha gigih UiTM-KPT dengan mewujudkan tiga kategori pencungkil bakat khususnya dari kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi dan pelajar sekolah, sewajarnya disokong padu malah disusuli langkah proaktif PSM dan ahli gabungannya yang sebelum ini seringkali memberikan alasan kewangan untuk melaksanakan pembangunan peringkat akar umbi.
Kekalahan mengejut skuad elit kepada Laos dan Korea Selatan, menuntut kerja lebih keras PSM untuk mencuci arang yang terpalit dalam Sukan SEA 2009 dan Piala Raja Thai, Julai lalu itu malah bayangkan bagaimana masa depan sepak takraw kita apabila regu remaja negara ditewaskan Indonesia dalam acara antara regu Kejohanan Sekolah-sekolah ASEAN di Putrajaya?
Kejohanan KFC-Utusan mewujudkan kategori Bawah 18 Tahun manakala UiTM menampilkan kategori IPTA-S (institusi pengajian tinggi awam-swasta), Bawah 15 dan 18 Tahun tetapi ke manakah hala tuju juara dan naib juaranya seperti Chandik, Malaysia Muda, Majlis Sukan Politeknik 'B', Politeknik Kota Bharu 'B', Sekolah Sukan Bandar Penawar dan Banting selepas kedua-dua pertandingan itu?
Malah alangkah menariknya jika sebuah kategori khas buat bukan Melayu diwujudkan dalam sebarang kejohanan berkenaan khususnya bagi peringkat sekolah kerana ada kemungkinan besar bahawa bakat baru yang lahir daripadanya memiliki kelainan istimewa yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Tempoh lima tahun kebelakangan ini telah membuktikan bahawa negara daripada rumpun Melayu tidak boleh mendabik dada lagi bahawa merekalah jagoan sepak takraw selama-lamanya atau terus bermegah selaku perintis sukan ini kerana Myanmar, Laos, Vietnam, China, Korea Selatan dan Jepun sudah semakin meningkat dan menyaingi posisi kedua di belakang Thailand itu sambil cuba meninggalkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: