Tuesday, October 19, 2010

Beratur panjang untuk iPhone 4


KUMPULAN pengguna ini begitu seronok apabila menjadi antara 60 orang pemilik iPhone 4 terawal di Malaysia.


SELEPAS versi 3GS, tidak dinafikan bahawa telefon pintar iPhone 4 keluaran Apple Inc. (Apple) meneruskan legasi 'kegilaan' penggemar gajet di seluruh dunia.

Populariti jenama Apple sering mencetuskan fenomena kerana setiap kali pelancaran telefon pintar berkenaan diadakan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, ia mendapat sambutan di luar biasa dari peminatnya.

Bukti tersebut jelas terlihat di ibu negara baru-baru ini apabila ribuan peminat setia iPhone sanggup berbaris panjang semata-mata untuk memiliki telefon pintar generasi keempat itu.

Respons pengguna tempatan yang memberangsangkan terhadap iPhone 4 itu jelas mendapat perhatian gergasi telekomunikasi negara, Maxis Bhd., untuk mengadakan majlis pelancaran dan penjualan iPhone 4 seawal pukul 12 tengah malam pada 24 September lalu di Hotel The Gardens, Kuala Lumpur.

Lebih 3,000 peminat setia iPhone telah membanjiri hotel terkemuka berkenaan untuk melihat sendiri secara eksklusif telefon pintar iPhone 4.

Peminat gajet itu sanggup berbaris panjang sejak pukul 10 malam sehingga lebih 1 pagi bagi membuat tempahan dan memiliki gajet canggih itu.

Dalam acara yang dimulakan Maxis tepat pukul 12 tengah malam itu, sebanyak 60 pelanggan pertama berjaya menerima telefon pintar masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das, berkata, telefon pintar iPhone membuka pengalaman baru kepada pelanggannya.

"Kami berasa berbangga kerana telah memperkenalkan iPhone secara rasmi di Malaysia pada tahun lalu dan kali ini kami membawa iPhone 4 yang ditunggu-tunggu oleh pelanggan.

"Kami menawarkan pelbagai jenis pelan untuk dinikmati oleh orang ramai termasuk tawaran perniagaan tukar beli telefon lama mereka," katanya.

Maxis menawarkan empat pelan baru iValue bagi pelanggannya iaitu iValue 1, iValue 2, iValue 3 dan iValue 4. Pelan tersebut masing-masing ditawarkan pada harga komitmen bulanan sebanyak RM100, RM155, RM250 dan RM375.

Penggemar iPhone 4 boleh mendapatkan dua kategori telefon pintar terbaru itu iaitu model yang berkapasiti 16 gigabait (GB) ataupun 32 GB. Ia ditawarkan pada pakej harga bermula RM490 sehingga RM1,990.

Keterangan lanjut mengenai pelan dan pakej yang ditawarkan boleh melayari laman web www.maxis.com.my/iphone.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: