Wednesday, October 13, 2010

Pelopor kajian hidraulik air


Kemudahan untuk ujian hempasan ombak yang terdapat di makmal NAHRIM mampu memastikan setiap kajian yang dilakukan akan menghasilkan keputusan yang tepat serta mampu menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan air di negara ini.


ika di sebut tentang air, sungai, laut mahu pun terusan sawah padi, rata-rata orang ramai pasti lebih mengenali Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Jabatan tersebut yang sebelum ini banyak menjalankan kajian serta perlaksanaan projek berkenaan bekalan air kini tidak lagi sendirian dalam melaksanakan tugas tersebut.

Kini JPS 'ditemani' Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi menyempurnakan tugas dan tanggungjawab pelbagai jenis kajian berkaitan air.

Di tubuhkan sejak tahun 1995, fungsi NAHRIM telah diperluaskan kepada apa jua keadaan, kepenggunaan serta kajian berkenaan air.

Ketua Pengarahnya, Ahmad Jamalluddin Shaaban berkata, hasil kajian Tetuan Deff Haydraulic pada tahun 1990 telah memperakukan keperluan penubuhan sebuah pusat penyelidikan air di negara ini.

"Pusat tersebut mesti memiliki keupayaan untuk menjalankan kajian, simulasi makmal dan analisis hidrodinamik secara numerik.

"Malah ia juga melibatkan proses marfologi, ekologi serta interaksi air terhadap aktiviti manusia," jelas beliau ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Memiliki makmal model yang terbesar di negara, NAHRIM lebih menumpukan perhatian terhadap penyelidikan asas dan gunaan dalam sektor air seperti sumber air, sungai, pantai, geohidrologi dan kualiti air.

Selain itu, pusat penyelidikan ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan kepada semua pihak khasnya sektor awam dan swasta.

Kerjasama yang diberikan adalah dalam menangani masalah berkaitan air dan persekitarannya.

Kini hampir 10 tahun penubuhannya, NAHRIM telah berjaya memainkan peranannya sebagai sebuah Pusat Fokal Kebangsaan dalam pelbagai penyelidikan terhadap air.

Sama ada di dalam negara mahu pun luar, institut ini sering berperanan sebagai penyelaras dalam semua penyelidikan berkaitan serta turut mengambil bahagian dalam penyelidikan antarabangsa.

Terbahagi kepada beberapa pusat dan bahagian, setiap satunya memainkan peranan masing-masing.

Antaranya Pusat Kajian Pantai, Pusat Kajian Sungai, Pusat Kajian Sumber Air, Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar dan Pusat Kajian Geohidrologi.

Seterusnya Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi, bahagian Perancangan dan Penilaian, Bahagian Khidmat Pengurusan serta Makmal Hidraulik dan Instrumentasi.

Setiap satu bahagian mahu pun pusat memiliki kelebihan serta keupayaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah serta kajian berkenaan air.

Jelas Ahmad Jamalluddin, kajian-kajian yang dilakukan bagi menyelesaikan masalah seperti hakisan air yang banyak melanda kawasan pantai mahu pun tebing sungai.

"Seterusnya melalui data kajian yang diperoleh akan menentukan tindakan lanjut yang akan diambil oleh kerajaan dalam menangani setiap permasalahan membabitkan air," katanya.

Sebagai contoh, pihak NAHRIM telah berjaya membangunkan Model Tindak Balas Nutrien di kebanyakan tasik di negara ini melalui Indeks Keadaan Trofik Carlson (TSI).

Melalui kaedah tersebut, penyelidik dapat mengenal pasti keadaan yang dikenali sebagai eutrofik (keadaan yang menandakan berlakunya pencemaran air).

Menurut Ahmad Jamalluddin, keadaan eutrofik secara amnya boleh ditafsirkan sebagai kandungan nutrien yang berlebihan di dalam air tasik.

"Keadaan ini boleh menyebabkan penurunan kualiti air melalui pengurangan kandungan oksigen yang diperlukan oleh kehidupan akuatik sekali gus menjejaskan ekosistem sesebuah kawasan sumber air.

"Keadaan tersebut juga boleh mencetuskan fenomena algae bloom iaitu pertumbuhan alga yang berlebihan di dalam air," katanya.

Justeru, kajian demi kajian perlu dilakukan oleh NAHRIM bagi mengenal pasti jalan penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

Selain memiliki tenaga pakar yang terdiri daripada penyelidik yang berpengalaman, institusi itu turut dilengkapi dengan kemudahan makmal kajian air yang tercanggih.

Agensi tersebut juga memiliki fasiliti model pelabuhan dan pangkalan yang terbesar di negara ini terdiri daripada kolam takungan seluas 1080 meter padu (30 meter lebar, 30 meter panjang dan 1.2 meter tinggi ).

Kolam takungan tersebut merupakan sebuah makmal untuk mengkaji pergerakan serta kekuatan hempasan model pelabuhan yang akan direka.

Dilengkapi dengan sistem kekuatan penambat kapal dengan empat kekuatan penghadang pemindah arus (tranduser) serta sistem pergerakan kepada dengan enam pengesan laser.

Ia juga memiliki 32 pendayung dengan empat jenis modul bagi meniru atau sebagai simulasi kekuatan hempasan ombak, tepat bagi setiap kawasan pantai yang di kaji.

Penjanaan ombak adalah berdasarkan data yang diperolehi daripada sesebuah kawasan menggunakan HR DAQ dan dikawal oleh aplikasi HR Wave Maker.

Ia bertujuan untuk menjalankan kajian permodelan fizikal terhadap struktur samudera, seperti pemecah ombak, terumbu tiruan, benteng hakisan dan pelbagai lagi.

Makmal tersebut turut memiliki kemudahan model pasang surut, model sungai (untuk kajian hakisan tebing), kolam takungan pantai, FLUM 2D (kajian kesan ombak di pesisir pantai, FLUM Tilting yang boleh menjana pelbagai corak dan kekerapan gelombang ombak.

Namun, apa yang lebih menarik institut ini juga tidak hanya tertumpu kepada bidang kajian sahaja, malah ia turut menghasilkan beberapa jenis produk bagi menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan air dan marin.

Antaranya penciptaan terumbu tiruan khas bagi memulihkan ekosistem kawasan pantai dan mewujudkan persekitaran kondusif kepada pertumbuhan hidupan marin.

Malah, antara produk terbaru NAHRIM seperti Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) juga merupakan satu kajian penyelesaian terhadap permasalahan sumber air yang sering berlaku.

Pelbagai lagi produk sedang dibangunkan oleh NAHRIM dan semuanya berasaskan untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan air serta sumbernya.

Kini NAHRIM bukan sahaja menjalankan kajian semata-mata malah sering mengadakan kolaborasi serta bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada awam dan swasta dalam memperolehi maklumat serta data yang terkini.

NAHRIM juga merupakan hab pengetahuan air serantau bagi adaptasi perubahan iklim (WKHCCA) di peringkat antarabangsa.

Sesungguhnya, cita-cita Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 pastinya menjadi kenyataan dengan adanya institusi-institusi penyelidikan yang benar-benar komited untuk membangunkan negara seperti NAHRIM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: