Wednesday, October 13, 2010

Pengupas nanas automatik


Ciptaan mesin mengupas nanas secara automatik dijangka memberi impak kepada industri tanaman nanas.


Hanya pengambil masa kurang daripada 10 saat anda sudah boleh menikmati keenakan isi nanas siap di potong kecil. Mudah bukan, malah anda tidak perlu lagi terkial-kial serta membuang masa untuk membuang kulit buah tersebut dengan menggunakan pisau.

Mesin pengupas nanas automatik dicipta khas oleh Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Batu Pahat adalah untuk kegunaan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Selain itu, ia juga sesuai untuk kegunaan syarikat yang mengusahakan makanan berasaskan nanas selain hotel serta pasar raya besar.

Menurut Penolong Pegawai Latihan Vokasional ADTEC, Asziman Sukran, mesin tersebut berfungsi menggunakan kuasa pneumatik yang direka khas menggunakan kaedah terbaru.

"Keberkesanan mesin tersebut telah terbukti berupaya untuk memperbaiki dan mempercepatkan proses mengupas nanas.

"Apabila proses tersebut boleh dipercepatkan maka kos buruh juga secara automatik turut berkurangan," ujarnya ketika ditemui pada pameran Pertandingan Inovasi sempenan Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010) bagi Zon Selatan di Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

Tambah beliau, sebanyak empat tan nanas dapat dikupas dengan mudah dalam masa sehari bagi setiap mesin yang dihasilkan.

Ini kerana mesin tersebut amat mudah untuk dikendalikan dan sesuai untuk semua jenis golongan serta peringkat usia.

Mesin tersebut mampu mengupas dan mengasingkan empulur nanas pada masa yang sama dan proses pengupasan tersebut hanya memerlukan seorang sahaja pengendali.

Ia juga mudah untuk dibersihkan, tidak memerlukan pengendali yang begitu mahir malah boleh melaksanakan proses pengupasan secara berterusan.

Kepantasan proses mengupas nanas menggunakan mesin tersebut adalah pada kadar 300 biji bagi sejam berbanding 60 biji sejam jika dikendalikan secara manual.

Jelas Asziman, sehingga kini terdapat tiga spesifikasi mesin pengupas nanas automatik telah dipasarkan dan harga bagi sebuah mesin bergantung kepada spesifikasi yang dikehendaki pengusaha.

Bagi pengusaha makanan berasaskan nanas yang berminat untuk mendapatkan mesin tersebut, tempahan boleh dibuat melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment