Wednesday, October 13, 2010

Evco alternatif untuk rawat ternakan


Penyakit puru yang banyak menyerang ternakan kambing dan biri-biri.


Industri penternakan kambing dan biri-biri boleh terjejas jika ternakan terdedah kepada serangan penyakit. Di antara penyakit utama yang boleh menyebabkan kematian tinggi ternakan ruminan khususnya kambing dan biri-biri ialah penyakit pneumonia (radang paru-paru).

Penyakit tersebut disebabkan oleh serangan bakteria Pasturella haemolytica dan serangan cacing.

Jangkitan penyakit lain seperti penyakit seperti puru (Contagious ecthyma), jangkitan tali pusat (navel infection), busuk kaki (foot rot) serta luka misalnya selepas ekor dipotong (docking) dan penyakit kulit juga penting dan perlu dikawal.

Walaupun penyakit tersebut tidak boleh membawa kepada kematian tetapi ia memberi kesan rasa tidak selesa kepada haiwan serta menjejaskan kesihatan.

Jangkitan penyakit akan mempengaruhi pengambilan pemakanan dan seterusnya akan menjejaskan produktiviti.

Rawatan penyakit kulit tersebut selalunya menggunakan bahan kimia seperti larutan iodin, potassium permanganate, formalin dan sebagainya.

Walaupun rawatan dengan cara itu boleh menyembuhkan penyakit tetapi ia mengambil masa yang lama. Dalam banyak keadaan akan memberi kesan sampingan.

Kajian terbaru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati Enhanced Virgin Coconut Oil atau minyak kelapa dara ditambah nilai (Evco) berpotensi untuk digunakan bagi merawat serta mencegah penyakit kulit pada haiwan ternakan.

Evco adalah produk yang berpotensi untuk digunakan dalam industri penjagaan kesihatan dan bahan pengawet.

Produk itu mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai monolaurin, moncaprin dan monocaprilin dan telah mendapat hak cipta di Malaysia (MY 140578-A) pada Disember tahun lalu .

Terkini, Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan MARDI, Dr. Kamariah Long, yang juga pencipta Evco telah mempelbagaikan kegunaan produk berkenaan untuk diuji sebagai bahan alternatif untuk mencegah penyakit pada haiwan.

Evco telah diuji bersama pakar penyakit haiwan, Dr. Mohmad Mustafa, juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan MARDI dalam menangani masalah penyakit ternakan kambing dan biri-biri.

Penyakit-penyakit tersebut termasuk puru , jangkitan tali pusat , busuk kaki dan luka selepas prosedur pemotongan ekor.

Menurut Dr. Mohmad, dengan menggunakan Evco, penyakit tersebut cepat sembuh jika dibandingkan dengan menggunakan rawatan cara biasa seperti semburan iodin, crystal violet atau penggunaan bahan kimia lain.

Bahan sebatian bioaktif dalam Evco telah menyebabkan luka kering dengan lebih cepat serta saiz luka mengecut, tidak membengkak dan seterusnya menghalang jangkitan kuman.

"Biasanya semburan komersial mengambil masa lebih dari tiga hari untuk menyembuhkan luka, kesan docking dan puru manakala semburan Evco pula mengambil masa yang lebih singkat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: