![]() |
| Mohd. Faiz Abdul Rahman menerima ciuman tahniah daripada ibunya, Jamilah Karim sambil diperhatikan oleh adiknya, Mohd. Rahim di Johor Bahru, baru-baru ini. |
JOHOR BAHRU 5 Okt. - Memikul tanggungjawab sebagai Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tidak menjadi penghalang bagi Mohd. Faiz Abdul Rahman untuk cemerlang dalam pelajaran.
Malah, beliau muncul sebagai penerima Pingat Emas Menteri Besar Johor pada Majlis Konvokesyen Ke-13, Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) di Pusat Islam Iskandar di sini, Sabtu lalu.
Mohd. Faiz, 21, yang merupakan graduan Diploma Perbankan Islam berkata, tanggungjawabnya sebagai Presiden MPP Kolej Islam Johor (KIJ) tidak sesekali membuatkannya alpa kepada pelajaran malah perlu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan kokurikulum.
Selain aktif dalam MPP, beliau turut menjadi Pengerusi Kelab Eko Bank KIJ, Pengerusi Hari Perintisan Usahawan 2009 dan bergiat aktif di dalam kelab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPAM) dan Angkatan Wira Malaysia Cawangan KIJ.
''Tanggungjawab sebagai Presiden MPP, pengerusi kelab dan aktiviti kokurikulum lain banyak mendorong saya untuk menjadi seorang pelajar yang berdisiplin.
''Ini kerana untuk menjadi seorang pemimpin, kita haruslah menjadi contoh yang baik kepada semua dan itulah yang menjadi pendorong kepada saya untuk berjaya dalam pelajaran," katanya kepada pemberita selepas tamat majlis konvokesyen berkenaan di sini, baru-baru ini.
Majlis penyampaian anugerah berupa sebuah loket emas, plak dan wang tunai RM1,000 kepada Mohd. Faiz telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah KPYPJ.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Abdul Alim Abdul Shukor.
Menurut Mohd. Faiz, sebaik menamatkan pengajian April lalu, beliau telah menimba pengalaman sebagai Penyelia Banci dan bakal menyambungkan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Perbankan Islam di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sementara itu, Abdul Ghani dalam ucapannya mengalu-alukan inisiatif KPYPJ menaik taraf prasarana dan kemudahan kolej berkenaan mengikut spesifikasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.
Beliau berkata, perkembangan itu adalah selaras dengan kedudukan negeri Johor sebagai hab pendidikan serantau di mana lebih banyak institusi pendidikan tinggi dan penyelidikan bertaraf antarabangsa sama ada dari dalam dan luar negara akan bertapak di Iskandar Malaysia.
Pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 493 graduan kolej-kolej KPYPJ menerima diploma dan sijil masing-masing.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: