Wednesday, October 6, 2010

Pelajar Kolej Shahputra pamer bakat


Pelajar SMK Paya Besar mewarna dinding Terminal Makmur di bawah pemantauan pelajar Kolej Shahputra jurusan Komunikasi dan Media di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 5 Okt. - Setelah tiga hari melukis dan mewarna, akhirnya seramai 10 pelajar Kolej Shahputra berjaya mengubah pemandangan hentian bas Terminal Makmur di sini menjadi menarik dan tidak lagi kusam.

Sebelum ini, tiada siapa merasakan Terminal Makmur sebagai tempat yang menarik.

Namun kini, semua tanggapan itu boleh dipadamkan apabila terminal itu yang menjadi tempat mengambil dan menurunkan penumpang bertukar wajah menjadi ceria dan mampu menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong asing.

Mereka yang bertanggungjawab menceriakan hentian bas berkenaan ialah para pelajar semester akhir jurusan Diploma Komunikasi dan Media Kolej Shahputra di sini.

Usaha murni para pelajar tersebut turut dibantu oleh pelajar jurusan Seni Reka Kolej Shahputra dan pelajar dari tiga sekolah menengah di sini.

Bagi menjayakan projek mural itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Chempedak menghantar 34 pelajar, 25 orang dari SMK Paya Besar dan 25 orang dari SMK Air Putih.

Kesemua pelajar sekolah berkenaan adalah pelajar tingkatan empat yang mengambil mata pelajaran seni.

Pengarah projek, Mohd. Haikal Abd. Aziz, 21, yang berasal dari Johor Bahru berkata, idea bagi melaksanakan projek tersebut tercetus menerusi satu perbincangan bersama ahli kumpulannya.

''Saya berbincang tentang idea tersebut bersama ahli kumpulan dan kemudian sebulat suara memilih lokasi Terminal Makmur bagi projek ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mohd. Haikal memberitahu, pihaknya mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan kertas kerja dan berurusan dengan pihak yang berkaitan bagi memastikan projek lukisan mural itu berjalan lancar.

''Semua lukisan mural yang dilukis di dinding Terminal Makmur ini menggambarkan destinasi pelancongan di Pahang.

''Ia memaparkan semua tempat menarik yang terdapat di Pahang seperti Pantai Teluk Chempedak dan Taman Gelora di sini," jelasnya.

Menurut Mohd. Haikal, lukisan tersebut juga melambangkan semangat 1Malaysia iaitu masyarakat Melayu, Cina, India dan etnik lain.

''Objektif utama projek ini adalah untuk menyemai semangat 1Malaysia di kalangan rakyat negeri ini dan salah satu cara ialah dengan menjemput pelajar sekolah menengah yang terdiri daripada pelbagai kaum.

''Tanpa bantuan mereka kami mungkin tidak dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual," katanya.

Menurutnya, semua pelajar sekolah berkenaan diberi kebebasan untuk mewarna mengikut kreativiti masing-masing tetapi dipantau dan dibantu oleh pelajar jurusan Komunikasi dan Media Kolej Shahputra supaya lukisan tersebut menjadi lebih cantik.

Seorang pelajar jurusan Komunikasi dan Media Kolej Shahputra, Mohd. Redzuan Muharam, 21, berkata, tema 1Malaysia itu mewakili kebudayaan negeri ini.

''Kami memilih komunikasi seni mural ini kerana daripada gambar tersebut terdapat mesej yang ingin disampaikan kepada orang ramai.

''Melalui lukisan ada penceritaannya dan untuk lukisan ini ia lebih berbentuk santai dan menunjukkan kehidupan masyarakat Kuantan," ujarnya.

Mohd. Redzuan menambah, mereka memilih Terminal Makmur sebagai lokasi bagi projek akhir kerana terminal tersebut merupakan tempat tumpuan orang ramai.

Guru Seni Grafik SMK Paya Besar, Siti Azrulnaim Hadi berkata, pelajar yang dipilih bagi projek seni mural itu adalah daripada kalangan mereka yang mengambil mata pelajaran seni dan mempunyai asas dalam seni grafik.

''Projek seperti ini dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran mewarna dan harus diteruskan kerana bukan sahaja dapat memantapkan kemahiran malah mereka seronok melakukan aktiviti yang mereka minati," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: