Friday, October 8, 2010

Merendah diri, sentiasa tambah ilmu

IBARAT sang pelukis yang bebas bermain warna pada kanvas untuk melakarkan lukisan indah, kreativiti jurusolek juga tiada batasan untuk menzahirkan gaya yang diidamkan.

BERBAKAT...(dari kiri) Surya, Camiellia, Irene dan Shahidah menjadi kebanggaan jenama masing masing.
BERBAKAT...(dari kiri) Surya, Camiellia, Irene dan Shahidah menjadi kebanggaan jenama masing masing.

CAMIELLIA...gembira dapat membantu wanita tampil lebih menawan. SURYA...jurusolek perlu sentiasa berani mencuba pelbagai idea dan teknik baru. SHAHIDAH...berpeluang menyolek kumpulan Pussy Cat Dolls. IRENE...bahagikan masa sebaiknya antara keluarga dan kerjaya. JOYCE...jurusolek yang bagus perlu mendengar apa yang dimahukan pelanggan.


CAMIELLIA...gembira dapat membantu wanita tampil lebih menawan.
Dengan kemahiran yang dimiliki serta penggunaan produk jenama berkualiti tinggi, ternyata hampir tiada apa yang mustahil untuk mereka hasilkan.

Luah apa saja gaya yang dimahukan dan mereka pastinya berusaha sedaya upaya untuk merealisasikannya.

Solekan sama ada gaya semula jadi, ringkas, futuristik mahupun anggun menawan memang mampu dijelmakan semuanya hasil kemahiran serta sentuhan kreatif mereka.

Menariknya, kerjaya sebagai jurusolek mempunyai kedudukan tersendiri dalam masyarakat kerana merekalah yang bertanggungjawab menyempurnakan solekan serta penampilan pelbagai golongan sama ada golongan atasan, selebriti dan orang awam.

Sinonim dengan watak penting di belakang pentas, personaliti minggu ini menampilkan jurusolek wanita berpengalaman yang disegani di negara ini.Jurusolek kebanggaan Mac Malaysia, Shahidah Abdul Rahman, 32, berkata, minatnya terhadap dunia kecantikan sebenarnya bercambah ketika dia berkecimpung dalam bidang peragaan secara separuh masa sekitar 1997.


Dia sering membantu menyolekkan model lain ketika pertunjukan dan dari situ, minat terhadap solekan mula timbul.“Sejak itu, saya menyedari minat sebenarnya pada solekan dan bukannya bidang peragaan.

“Tanpa membuang masa, saya mengikuti pengajian solekan di peringkat diploma untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan serta kemahiran sebelum menyertai bidang kecantikan sepenuh masa tidak lama selepas itu.

“Diam tak diam, tahun ini genap 10 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini,” kata wanita yang menjadikan Pengarah Solekan Mac, Gordon Espinet sebagai idola kerjayanya.

Shahidah yang baru saja dinaikkan pangkat kepada eksekutif jualan berkata, meskipun kini menggalas tanggungjawab menjaga bahagian jualan korporat serta kumpulan jurusolek profesional, dia tetap turun padang melakukan solekan sekiranya ada permintaan.

Sepanjang 10 tahun dalam bidang ini, dia berpeluang menyolek kumpulan Pussy Cat Dolls sewaktu Anugerah MTV Asia, dua tahun lalu.

“Selain itu, saya juga terbabit untuk menyiapkan solekan pelakon teater Puteri Gunung Ledang dan Cuci the Musical.

“Lebih manis, saya juga berpeluang menjayakan banyak minggu fesyen antarabangsa di China, Australia, New Zealand dan Cape Town.

“Pengalaman bekerja dengan barisan peragawati serta jurusolek terkenal di acara antarabangsa memang mahal harganya dan tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit,” katanya yang pernah mengikuti kursus perakaunan.

Cinta mendalam terhadap seni warna membawa Joyce Lee berada pada kedudukan yang diidamkan ramai seperti sekarang.

Menurut Ketua Artis Solekan Estee Lauder Malaysia ini, dia menyertai jenama terkenal itu tujuh tahun lalu dan sepanjang tempoh itu pernah terbabit dalam pelbagai bengkel dan kursus solekan di seluruh dunia.

Dia juga mengetuai pasukan jurusolek jenama berkenaan sepanjang empat tahun pencarian model jenama itu, selain turut membantu menyiapkan lebih 11,000 wajah sejak ia bermula.

Terkini, Joyce terbang ke bumi Perancis untuk mendalami ilmu bersama Pengarah Kreatif Solekan, Tom Pecheux di samping berpeluang bertukar idea bersama kumpulan jurusolek antarabangsa.

Joyce berkata, solekan adalah mengenai peluang untuk menerokai kepelbagaian gaya.

“Saya menjadikan pengasas jenama iaitu Estee Lauder sebagai idola kerana beliau berjaya menukar gaya pelanggan dengan sentuhan tersendiri.

“Selain itu, Estee juga mendengar kemahuan pelanggan dan saya berpendapat itulah antara kunci untuk menjadi seorang jurusolek berjaya,” katanya.

Joyce mengakui hingga kini dia masih bekerjasama dengan beberapa pelanggan setia sejak tujuh tahun lalu. Dia gembira dengan apa yang dilakukan sekarang dan bersyukur kerana kemahirannya dihargai pelanggan.

“Tanggungjawab sebagai jurusolek bukan saja untuk membantu pelanggan kelihatan cantik menawan tetapi lebih daripada itu, kami turut berkongsi maklumat mengenai penjagaan kecantikan terutama di sekitar wajah.

“Dengan sentuhan solekan, penampilan seseorang itu boleh berubah dan apa yang lebih penting, ia juga membantu menyerlahkan kejelitaan dalaman yang dimiliki,” katanya yang pernah bekerjasama dengan ramai selebriti terkenal tempatan seperti Daphne Iking, Yasmin Yussof, Amber Chia, Chelsea Ng, Linda Jasmine dan Jojo Struys.

Dalam pada itu, Camiellia Choo, 27, percaya setiap jurusolek mempunyai gaya solekan sendiri dan bagi dirinya, dia lebih menggemari gaya solekan yang elegan, sentiasa diminati serta campuran fusion iaitu gabungan gaya Perancis dan Jepun.

Dia yang sudah sembilan tahun berkecimpung dalam bidang itu berkata, idolanya ialah Michelle Phan yang juga jurusolek video Lancome pertama.

“Walaupun baru berusia 22 tahun, video Michelle mampu membangkitkan kesedaran dalam bidang solekan terhadap golongan muda menerusi YouTube.

“Dia juga sangat kreatif dan mempunyai gaya tersendiri,” katanya yang juga salah seorang anggota kumpulan jurusolek elit, Lancome Colour Design Artists, yang diketuai Artis Mekap Kebangsaan Malaysia untuk Lancome, Zamri Zainol.

Camiellia mengakui, dia gembira dengan kerjaya berkenaan kerana dapat membantu wanita tampil cantik di depan khalayak.

“Kerjaya ini adalah minat dan impian saya sejak kecil lagi. Jadi, jika perlu berada di luar negara sekali pun, saya sanggup bagi memastikan tanggungjawab yang diberikan terlaksana,” katanya.

Ibu kepada sepasang anak berusia lima dan tiga tahun, Irene Khoo, 27, pula berkata, dengan tunjuk ajar mentor, Zamri serta rakan seperjuangan, dia berjaya menyertai kumpulan elit LCDA.

Kata Irene, jurusolek adalah kerjaya pertamanya dan dia kini ditugaskan di kaunter jenama itu di pusat beli-belah Subang Parade, Selangor.

Jadual kerja jurusolek fleksibel kerana semuanya sudah mengikut jadual yang disediakan.

“Keutamaan saya kepada kerjaya dan keluarga. Memandangkan anak masih kecil, saya perlu membahagikan masa sebaik mungkin antara kerjaya dan rumah tangga.

“Pernah ketika berada di luar daerah untuk satu tugasan, anak saya jatuh sakit dan menyebabkan saya begitu risau hingga hampir menangis.

“Mujurlah ibu ada untuk membantu menjaga mereka dan amat menghargai sokongan keluarga terhadap kerjaya saya ini,” katanya yang menganggap sifat rendah diri perlu ada dalam diri setiap jurusolek meskipun sudah menceburi bidang itu bertahun-tahun lamanya.

Sementara itu, pengalaman Surya Zainol, 34, dalam bidang solekan selama lebih 15 tahun pula diiktiraf jenama antarabangsa, Shu Uemura.

Kreativiti dan kemahiran yang dimiliki jurusolek bebas ini melayakkannya diundang jenama itu untuk menyertai barisan jurusolek unggul, Black Book Artist.

Menurut Surya, pahit maung sepanjang bergelar jurusolek sedikit sebanyak mematangkan dirinya dalam usaha menjadi jurusolek terbaik suatu hari nanti.

Katanya, antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan hingga kini ialah peluang menyolek Raja Permaisuri Agong tidak lama dulu.

Selain itu, dia turut berdepan dengan saat sukar apabila pelanggan menipu selepas khidmatnya tidak dibayar biarpun sudah melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

“Itu semua antara cabaran yang dihadapi apabila kita bekerja dengan orang ramai.

“Suka atau tidak, kita perlu hadapinya dengan profesional kerana apa yang penting, tugas yang diamanahkan perlu dilakukan dengan sebaik mungkin,” katanya yang turut menerima berus edisi khas daripada jenama berkenaan sebagai tanda pengiktirafan kemahirannya.

Ditanya mengenai kewujudan jurang kreativiti antara jurusolek lelaki dan wanita, Surya berkata, dia tidak nampak sebarang perbezaan besar kerana semuanya bergantung kepada kreativiti dan usaha jurusolek itu sendiri.

Kehadiran ramai jurusolek tidak kira lelaki atau wanita di dalam industri kecantikan negara memang sentiasa dialu-alukan kerana ia mendorong persaingan sihat antara mereka.

Katanya, pelanggan hari ini sudah bijak dan untuk itu, jurusolek sepertinya harus bekerja keras dan sentiasa berani mencuba pelbagai idea baru bagi memenuhi aliran gaya semasa.

“Saya bermula sebagai pembantu abang (yang juga jurusolek terkenal) 15 tahun lalu dan dari situ, saya pelajari sedikit demi sedikit gaya serta teknik solekan.

“Memang tidak dapat dinafikan, bukan mudah untuk berada di tempat sekarang dan saya akui hanya minat mendalam yang membantu saya di tahap hari ini.

“Jadi, kepada yang bercita-cita untuk menjadi jurusolek, anda perlu kuatkan semangat serta tekad dan jangan putus asa untuk belajar kerana bidang ini amat luas dan sentiasa ada benda baru untuk dipelajari setiap hari,” kata penggemar gaya solekan jurusolek terkenal, Sofea Bee ini lagi sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: