Friday, October 8, 2010

Rumah mendap

GOMBAK: “Sejak hakisan ini berlaku, kami tidak dapat tidur lena dan ketakutan terutama apabila hujan lebat untuk jangka masa panjang,” kata Robiah Mohd Ali, 50, mengenai masalah hakisan tebing sungai berhampiran rumahnya di Batu 8, di sini.

BERBAHAYA...Robiah menunjukkan hakisan di belakang rumahnya.
BERBAHAYA...Robiah menunjukkan hakisan di belakang rumahnya.
RETAK...Robiah menunjukkan rumahnya yang retak akibat hakisan tanah di belakang rumahnya.
RETAK...Robiah menunjukkan rumahnya yang retak akibat hakisan tanah di belakang rumahnya.
Menurutnya, masalah itu berlaku sejak tiga bulan lalu berikutan kerja timbunan tanah di situ dilakukan tanpa penghadang kukuh. “Mereka (pemaju) hanya meletakkan guni pasir, tetapi di sebelah dalam sekadar timbunan pasir yang semakin lama mula terhakis akibat banjir setiap kali hujan.


“Pada mulanya saya tidak menyedari perkara ini, tetapi apabila adik ipar memberitahu dan melihat sendiri hakisan itu mula runtuh sedikit demi sedikit serta semakin menghampiri rumah, saya mula risau,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.


Robiah yang menetap di situ sejak 52 tahun lalu, mengakui pelbagai masalah berlaku di situ termasuk hakisan tanah, pembuangan sampah ke dalam sungai dan berharap pihak bertanggungjawab segera melakukan sesuatu.


“Kami sudah mengadukan perkara ini kepada Ketua Penghulu di sini serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor. Mereka datang beberapa kali membuat pemantauan, namun masih tiada tindakan berkesan yang diambil,” katanya ketika ditemui.


Seorang lagi penduduk, Rosnita Mohd Ali, 41, berkata tiga rumah yang paling terjejas dengan hakisan terbabit termasuk rumahnya.


“Sebelum ini, kedudukan rumah saya sama tinggi dengan jalan, bagaimanapun akibat hakisan dan banjir yang sering berlaku menyebabkan rumah semakin lama semakin mendap,” katanya.


Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih serius.


Sementara itu, jurucakap JPS Gombak, ketika dihubungi berkata, pihaknya dalam proses membersihkan sungai berkenaan bersama beberapa kontraktor yang dilantik.


“Selepas menerima aduan penduduk, kami segera ke tempat kejadian dan kerja pembersihan sungai giat dilakukan di samping membuang rumpun buluh yang tumbang pada hari kejadian.


“Punca utama banjir dipercayai sikap segelintir penduduk yang sesuka hati membuang sampah di sungai ini,” katanya.Menurutnya, berikutan masalah itu apabila hujan lebat sungai tidak dapat mengalir dengan baik yang menyebabkan air naik dan berlakunya hakisan tanah di tebing sungai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: