Tuesday, October 5, 2010

Impian empat roda Massi


Mudah jatuh cinta dengan sukan lasak.


UMI Masitah Mohd. Sharip secara zahirnya seperti gadis lain. Cuma semangat dalamannya sahaja yang berbeza kerana dia gemar sesuatu yang lasak dan mencabar naluri keperempuanan sedia ada.

Banyak juga aktiviti mencabar yang pernah disertai sebelum ini. Bagaimanapun, minat wanita yang mesra dipanggil Massi ini berkaitan sukan go-kart semakin memuncak sejak menyertainya setahun lalu.

Itu pun setelah beberapa tahun anak kelahiran Johor Bharu, Johor itu ingin mencuba permainan tersebut tetapi atas sebab tuntutan kerja tidak menentu waktu dan pelbagai halangan lain, hasrat tersebut terpaksa dipendamkan.

‘‘Saya benar-benar obses dengan go-kart dan sanggup turun ke trek selama tiga hari seminggu berlatih cara mengawal stereng kereta berukuran kecil terutama semasa membuat selekoh,’’ ujarnya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu juga tidak pernah berkira dengan wang ringgit sama ada untuk membeli peralatan atau belanja sewa semasa menggunakan kereta itu di Litar Go-Kart Shah Alam, Selangor.

Bagi mempermudahkan urusan minatnya itu, pemegang Diploma Perbankan, Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis itu menyertai Kelab My-Kart.Org untuk mendapatkan pendedahan lebih mendalam tentang sukan bermotor tersebut.

Meskipun belum mampu untuk menggaji jurulatih disebabkan masalah kewangan tetapi Massi tidak pernah putus asa untuk mendapatkan khidmat nasihat serta berguru daripada orang yang lebih berpengalaman daripadanya.

Impiannya hanya satu, mahu menjadi pelumba wanita pertama yang mewakili tanah air dalam sukan Formula Satu (F1) sekali gus mengikut jejak bekas pelumba negara, Alex Yoong.

Dengan menyasarkan tempoh dua tahun lagi untuk memenuhi dada dengan sebarang kemahiran dan ilmu, Massi tidak punya masa yang banyak untuk berlengah.

‘‘Mungkin pada hari ini, ramai yang mentertawakan saya kerana impian ‘bodoh’ itu. Namun, siapa tahu, wanita lasak macam saya ini tiba-tiba berjaya kerana hanya saya yang tahu kemampuan diri sendiri,’’ katanya bersungguh-sungguh.

Peminat penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza itu juga sama sekali tidak kisah dengan keadaan fizikal diri dek terlalu kerap berjemur di tempat panas yang pasti memudarkan kecantikannya.

Alasannya mudah iaitu dia bukan jenis wanita yang takut kelihatan tidak jelita kerana apa yang lebih penting adalah kemolekan dan kejernihan hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: