![]() |
| NOR Rahan Mokhtar bersama suami dan anak-anak di samping ciptaannya Lessfly yang memenangi Pertandingan Inovasi Karnival MI2010 di Batu Pahat, Johor, baru-baru ini. |
Biarpun hanya bergelar seorang suri rumah, namun ia tidak menghalang seseorang itu meluahkan daya kreativiti dalam mereka cipta sesuatu yang amat berguna.
Malah siapa menyangka rekaan yang pada peringkat awalnya hanya untuk kegunaan sendiri mampu memberi keuntungan serta membawa tuah.
Berbekalkan rekaan papan pengalas boleh laras untuk memotong atau menyiang bahan mentah seperti daging, ikan, buah-buahan dan sayur yang mampu menghalang lalat, Nor Rahan Mokhtar, 45, berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000.
Ia ekoran dia telah dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Inovasi Karnival Malaysia Inovatif (MI 2010) Zon Selatan bagi Kategori Wanita di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor baru-baru ini.
Nor Rahan yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata, sebelum ini dia tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan.
Malah katanya, rekaan tersebut pada asalnya bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja seharian di dapur.
Jelas Nor Rahan yang menetap di Pontian, ciptaan itu dihasilkan setelah tidak tahan dihurung lalat ketika memotong atau menyiang ikan dan daging di dapur.
"Saya selalu berada di rumah dan sering dihurung oleh lalat ketika menyiang bahan mentah maka saya reka Lessfly ini bagi mengatasi masalah tersebut.
"Siapa sangka rekaan semudah ini mampu memasuki pertandingan sekali gus menang," ujarnya.
Lessfly direka berdasarkan gabungan papan pemotong bahan mentah bersama meja pertukangan yang boleh dilaras.
Bagi mengelakkan sisa dan bahan mentah terdedah di atas papan pemotong dia menambah dua bekas bagi mengisi sisa dan bahan mentah yang telah disiang.
Dua bekas tersebut diletakkan di kiri dan kanan meja manakala papan pemotong yang boleh dilaras tersebut bertindak sebagai penutup kedua-dua bekas itu.
Menurutnya, bekas simpanan yang sentiasa tertutup itu tidak memberi ruang kepada kehadiran lalat.
Ketika ditanya adakah dia akan mengkomersialkan ciptaannya, Nor Rahan mengharapkan ada pihak yang berminat untuk tujuan tersebut memandangkan dia tidak bekerja dan tidak mempunyai modal.
Beliau juga harap rekaannya itu dapat dijual dengan harga yang berpatutan supaya dapat dimanfaatkan oleh suri rumah lain sepertinya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: