![]() |
| NOH Omar diberi penerangan mengenai produk durian dingin beku oleh Mohd. Sharif Abdul Aziz (kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd. Mokhtar Ismail (dua dari kanan) dan Sohaimi Shahadan (kanan) di China. |
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar meminta Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mempercepatkan usaha mengeksport pisang dan durian ke China.
Katanya, langkah itu perlu disegerakan memandang jumlah penduduk yang ramai dan sekali gus membuka peluang kepada usahawan Malaysia mengeksport buah-buahan.
''Hingga kini durian hanya dapat dieksport ke China dalam bentuk produk akhir yang didinginbekukan dalam bungkusan, walaupun terdapat banyak permintaan durian segar oleh rakyat China,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Noh yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohd. Sharif Abdul Aziz, Pengerusi Biro Ekonomi Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan dan Ahli Lembaga Pengarah Marditech Corporation kini dalam lawatan tiga hari ke China.
Lawatan itu bertujuan bagi mempromosikan acara Dwitahunan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang dekat sini dari 26 November hingga 5 Disember ini.
MAHA 2010 dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Noh, dalam lawatan ke Ekspo Dunia di Shanghai, beliau telah mengadakan perbincangan dan rundingan bagi usaha mengeksport durian dan pisang ke China.
''Saya juga telah mengadakan dialog perniagaan dengan 25 ahli perniagaan dari Shanghai dan mengundang mereka menyertai pameran MAHA International 2010i,'' katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: