Friday, October 8, 2010

Kronologi Eksklusif Siasatan (KES)

Jenayah tidak mengenal mangsa. Di Malaysia, kes jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan berlaku saban tahun dan pastinya mendapat liputan meluas media. Lazimnya, jenayah yang berlaku di luar batas pemikiran manusia biasa. Laporan media ditunggu setiap hari untuk mendapatkan perkembangan lanjut kes yang berlaku.

Yang terbaru, pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya mendatangkan panik moral kepada masyarakat. Apa yang berlaku sukar diterima akal biasa. Atas kesedaran inilah, Kronologi Eksklusif Siasatan (KES) diwujudkan untuk memberi pengajaran dan maklumat berguna yang dapat dijadikan panduan.

KES adalah sebuah program yang membuka kembali lembaran hitam yang pernah berlaku di Malaysia suatu ketika dulu. Antaranya kisah Botak Chin, Mat Komando, P. Kalimuthu (Bentong Kali), Al-Maunah, Nur Suzaili Mokhtar, Nurul Huda dan Canny Ong yang pernah menggemparkan seluruh negara.

Menurut Penerbit Eksekutif KES, Mohd. Said Abdullah Thani, program ini bukanlah untuk menambah lagi luka parah insan yang pernah terlibat, namun sekadar memberi pedoman dan iktibar kepada masyarakat keseluruhannya.

"KES bukan nak ungkit semula kisah silam. Saya cuma berharap penonton dapat melihatnya daripada sudut yang positif. Cara penyampaian kami juga berbeza daripada program yang pernah ada sebelum ini kerana ianya melibatkan kes berprofil tinggi.

"Kami juga telah mendapatkan keizinan daripada anggota keluarga yang terlibat untuk menjaga sensitiviti. Apa yang dipaparkan adalah kes yang telah selesai dan penjenayah telahpun mendapat hukuman.

"Kami juga bercadang untuk menyiasat kes terbaru pembunuhan Datuk Sosilawati, namun kes tersebut masih lagi dalam perbicaraan dan akan mengganggu proses perbicaraan,"katanya.

KES mula bersiaran pada 6 Oktober, setiap Rabu pada jam 9.00 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: