Friday, October 8, 2010

Jasmine Soraya Belajar Dari Kesilapan

Pernah menggemparkan industri dengan kontroversi gambar terlampau yang tersebar melalui internet. Itulah harga yang harus dibayar apabila mula menjadi perhatian melalui pencarian Gadis Melayu musim kedua. Namun Syarifah Jasmine Soraya tekad melupakannya dan belajar daripada kesilapan.


"Alhamdulillah kontroversi itu tak mengganggu karier dan kehidupan saya. Saya sudah move on. Itu adalah Jasmine yang dulu.

"Sekarang saya lebih berhati-hati dengan setiap langkah yang diambil. Kalau orang nak bangkitkan kembali gambar lama itu, saya tak akan layan kerana sekadar membuang masa.

"Apa yang penting saya tahu apa yang saya buat dan syukur keluarga banyak bagi sokongan ketika saya dihimpit isu penyebaran gambar tersebut. Saya juga tak akan berhenti daripada karier seni semata-mata kerana perkara remeh begitu," ujarnya.

Hos AUTO

Biarpun tidak berjaya meraih sebarang tempat dalam Gadis Melayu 2, namun rezeki masih berpihak kepadanya. Ditawarkan sebagai pengacara bagi program baru TV3, Auto, Jasmine nyata terharu dengan sokongan yang diberikan kepadanya meskipun pernah dipalit kisah hitam.

"Saya sendiri terkejut apabila ditawarkan menjadi hos walaupun ramai yang datang masa audition.

"Auto memerlukan saya tahu secara terperinci setiap ciri dan bahagian automotif. Memang kekok rasanya sebab selalunya hal berkaitan kereta dan motor akan dikendalikan orang lelaki. Namun saya banyak buat kajian untuk pastikan saya benar-benar tahu apa yang ingin disampaikan kepada penonton.

"Saya masih belajar dan setiap kritikan akan saya perbetulkan," katanya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa dan Pengurusan Media di Kolej Universiti Taylor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: