Tuesday, October 19, 2010

Kak Raja aktif terbit drama


RAJA Alawiyah masih lagi aktif menerbitkan drama menerusi syarikatnya, Bright Network Sdn. Bhd.


MENGENALI karya-karya yang diterbitkan Raja Alawiyah menerusi syarikatnya, Bright Network Sdn. Bhd., memang harus diakui, tidak pernah gagal memikat penonton.

Setiap kali drama terbitannya ditayangkan, ia pasti akan mendapat sambutan hangat sehingga menjadi sebutan para penonton.

Antara drama dan drama bersiri yang masih lagi menjadi perhatian hingga kini adalah seperti Fitrah Khadijah, Usia, Takbir Untuk Abdah, Dari Mata Arisa, Seharum Kenanga, Cantik, Kelas Malam, Lambaian Firdaus dan banyak lagi.

Momen kemuncak kerjaya Raja Alawiyah atau mesra dikenali sebagai Kak Raja sebagai seorang penerbit drama apabila Takbir Untuk Abdah berjaya merangkul enam anugerah pada Anugerah Sri Angkasa 2001 termasuk Drama Televisyen Terbaik serta Penerbitan Televisyen Terbaik.

Dua pelakon utama drama tersebut, Rosyam Nor dan Wan Nor Azlin pula menggondol kategori Pelakon TV Lelaki dan Wanita Terbaik.

Namun, lewat ini, drama terbitannya kelihatan jarang ditayangkan di mana-mana stesen televisyen sehingga ada yang menyangka Raja Alawiyah sudah kurang aktif dalam penerbitan drama.

Bertemu dengan tuan punya badan di majlis rumah terbukanya yang diadakan di Taman Hillview, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini, dia hanya mengukir senyuman saat diajukan soalan itu.

Katanya, bukan Bright Network sudah tidak aktif tetapi slot untuk tayangan drama untuknya sudah semakin berkurangan jika hendak dibandingkan awal pembabitannya dahulu.

"Saya masih aktif menerbitkan drama tetapi sekarang kena betul-betul pilih skrip dan karya terbaik untuk ditayangkan.

"Salah sebuah drama bersiri saya, Cinta Usia Kita kini diulang tayang di RTM manakala sebuah lagi iaitu Fantasi Cinta Teruna akan ditayangkan di TV1 pada bulan Disember ini.

"Walaupun tahun ini saya cuma mendapat dua slot drama bersiri, namun itu pun sudah memadai. Apa yang penting saya meneruskan legasi sebagai penerbit yang menghasilkan drama-drama bermutu," jelasnya bersungguh.

Apabila menyebut nama Raja Alawiyah, memang tidak dapat dinafikan lagi karya terbitan Bright Networks memang cukup sinonim dengan RTM.

Adakah memang dia sudah mengikat janji dengan RTM sehingga tidak mahu menerbitkan drama untuk stesen televisyen lain?

Sambil ketawa, Raja Alawiyah atau nama sebenarnya Raja Alawiyah Raja Lop Idris menyangkal dakwaan yang disifatkan tidak berasas itu.

Sudah pasti, katanya, dia mahu bekerjasama dengan semua stesen televisyen di negara ini untuk meluaskan lagi pengaruh drama-dramanya agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

"Buat masa ini, sudah ada perbincangan antara Bright Network dan beberapa stesen seperti Astro, TV3 dan sebuah stesen baru yang akan beroperasi tidak lama lagi.

"Saya bersyukur kerana syarikat saya masih lagi mendapat kepercayaan stesen televisyen yang mahu kami menerbitkan drama untuk mereka," jelasnya.

Dalam masa yang sama, Raja Alawiyah tidak gentar untuk bersaing dengan penerbit baru yang dilihat kini begitu aktif menerbitkan telemovie dan drama bersiri.

Baginya, ia merupakan satu persaingan yang sihat dan setidak-tidaknya ia berupaya merancak industri penerbitan televisyen tempatan.

Namun, tegasnya, produser dan pengarah perlu menitik beratkan soal bahasa dan budaya dalam setiap karya agar ia memaparkan identiti bangsa Melayu itu sendiri.

"Bukan mahu mendabik dada, tetapi sejak melibatkan diri dalam bidang ini lebih 10 tahun lalu, saya memang memandang tinggi kepada dua elemen itu.

"Ternyata apa yang saya lakukan mendapat perhatian dan diterima dengan baik oleh penonton.

"Kalau penggunaan bahasa itu, biarlah yang betul-betul sesuai dan kena pada senario. Begitu juga dengan penggunaan nama panggilan yang saya lihat ada karya yang seolah-olah ambil ringan tentang aspek itu," jelasnya.

Seperkara yang menjadi tabu buat Raja Alawiyah apabila nama-nama mulia dalam Islam seringkali dilabelkan pada watak jahat yang pada pandangannya tidak sepatutnya terjadi.

"Itu memang sudah menjadi tradisi saya dalam setiap drama dalam mendidik penonton dan masyarakat betapa pentingnya untuk menjaga budaya kita," jelas Raja Alawiyah serius.

Mengenai perkembangan drama terbaru pula, Raja Alawiyah mengumumkan Bright Network akan memulakan penggambaran drama bersiri terbaru, Biar Rindu Berlalu penghujung bulan ini.

Drama yang diadaptasi dari novel terlaris tulisan Sharifah Abu Salem itu menampilkan barisan pelakon hebat dan mantap antaranya Nanu Baharudin, Esma Danial, Mahmud Ali Bashah, Erin Malek, Linda Hashim, Jasmin Hamid dan ramai lagi.

Kolaborasi Raja Alawiyah dan novelis popular itu bukanlah yang pertama kerana mereka pernah bekerjasama dalam menghasilkan beberapa drama bersiri sebelum ini.

Selepas membaca novel yang sudah lima kali diulang cetak itu, Raja Alawiyah memang merasakan ia layak untuk dizahirkan menjadi drama bersiri sebanyak 26 episod.

Dengan jalan ceritanya yang begitu menyentuh perasaan, dia yakin Biar Rindu Berlalu mampu diterima dengan baik.

Sementara itu, Sharifah yang ditemui pula berkata, dia berbesar hati apabila kembali berganding tenaga bersama Raja Alawiyah untuk sekian kalinya.

"Drama ini memang 100 peratus mengikut jalan ceritanya tetapi ada yang diubah sedikit mengikut kesesuaian.

"Itu adalah perkara biasa kerana memang mustahil untuk mengangkat keseluruhan novel menjadi sebuah drama bersiri," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: