![]() |
| |
SENARIONYA bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Itulah yang berlaku dalam dunia lakonan tempatan apabila muka-muka baru muncul sama ada menerusi drama mahu pun filem lantas mewarnai persada seni tanah air.
Tidak kira lelaki atau pun wanita, pakej yang lengkap dari aspek bakat dan rupa, ia dianggap bonus kepada industri filem tempatan.
Walaupun kemunculan mereka ini semakin ramai dan kemungkinan mengganggu-gugat kedudukan pelakon-pelakon senior, ia sedikit pun tidak menenggelamkan populariti tiga aktor hebat ini yang terlalu matang dalam industri filem Malaysia.
Tiga aktor yang dimaksudkan itu ialah Afdlin Shauki, Rusdi Ramli dan Zamarul Hisham.
Kehebatan bakat lakonan mereka bertiga tidak mungkin boleh dipersoalkan kerana mereka berjaya membuktikannya dalam setiap drama mahu pun filem yang dibintangi mereka.
Faktanya, mereka juga telah berjaya menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM).
Contohnya, aktor bertubuh montel, Afdlin pernah menggenggam anugerah tersebut sebanyak tiga kali menerusi filem Soal Hati (FFM15) pada tahun 2001 dan juga menerusi dua buah filem arahannya sendiri, Buli Balik (FFM19 / 2006) serta Papadom (FFM22 / 2009).
Bagi Zamarul pula, walaupun hanya berpeluang sekali sahaja dinobatkan menerusi filem Di Ambang Misteri (FFM18 / 2005), ia cukup membuktikan kredibilitinya sebagai pelakon yang disegani.
Begitu juga dengan anak Seniwati Norlia Ghani, Rusdi Ramli, kemenangannya menerusi filem Waris Jari Hantu (FFM20 / 2007) berjaya menjulang namanya sebagai salah seorang pelakon terhebat Malaysia abad ini.
Berjumpa dengan mereka di Bangsar Shopping Centre sempena penajaan pakaian oleh Lord’s Tailor untuk FFM23 baru-baru ini, Hits menggunakan kesempatan itu untuk merungkai rahsia ketahanan mereka di samping munculnya muka-muka baru.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: