Tuesday, October 19, 2010

Tidak pernah lupa mati


MARIANI bersama anak-anak (berdiri dari kiri) Melissa Saila, Rozita Rohaizad dan Shasha berserta cucu-cucunya.


USIA primadona ini sudah menjangkau 77 tahun. Pada usia emas itu, dia masih aktif berlakon drama dan filem. Jika mahu dihitung tempoh penglibatannya sebagai anak wayang, aktres veteran Mariani mencatat rekod peribadi yang barangkali tidak dapat disamai oleh bintang filem lain.

Sama ada peminat tegarnya sedar atau tidak, seniwati ini sudah 57 tahun bergelar anak wayang. Penglibatannya sebagai pelakon bermula pada usianya 20 tahun selepas tiga tahun bergelar Ratu Cantik pada tahun 1951.

Dan sehingga hari ini, Mariani merupakan satu-satunya aktres yang bakatnya bercambah di Jalan Ampas, Singapura di era kegemilangan filem Melayu yang masih aktif.

Segelintir teman sebaya yang pernah sama-sama menempa kemasyhuran di gelanggang perfileman dengannya sudah tidak punya kudrat untuk aktif berlakon kerana keuzuran. Sebilangan besarnya pula sudah terlebih dahulu dipanggil oleh Allah.

"Setiap kali menerima berita kematian teman-teman khususnya aktres Jalan Ampas, saya akan berasa hiba. Kehilangan teman-teman membuatkan saya juga sentiasa mengingati mati. Sebagai umat Islam, saya sentiasa ingat tentang kematian.

"Kerana itu setiap kali dalam doa saya sentiasa meminta pada Allah semoga berkatilah kehidupan saya. Saya sedar ada orang tanya kenapa sudah tua tapi masih berlakon. Saya katakan kepada mereka, berlakon adalah darah daging saya dan saya lakukan dengan niat dan matlamat yang sangat jujur iaitu berkongsi bakat yang Allah berikan dan sekali gus mencari rezeki," luah seniwati veteran itu kepada penulis pada satu pertemuan di kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ingatan beliau pada orang-orang tersayang yang pernah hadir dalam hidupnya seperti Allahyarham adiknya, Puan Sri Saloma dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee paling utama tidak pernah walau sehari hilang dari fikirannya.

Begitu juga dengan mereka yang pernah sama-sama melalui detik-detik sukar dan gembira semasa menjadi anak wayang seperti Normadiah, Siti Tanjung Perak, Sharifah Hanim, Mahmud June dan lain-lain yang terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi, sesekali hadir dalam hidupnya.

Tidak ketinggalan, rakan-rakan seangkatan yang tidak lagi aktif seperti Sarimah Ahmad, Hashimah Yon, Neng Yatimah, Maria Menado, Zation dan ramai lagi sering ditanya khabar mereka.

Mariani yang saya temui tempoh hari memberi peluang kepada saya mengenalinya dengan lebih dekat, lebih-lebih kecintaan dan kasih sayangnya pada bidang seni yang terlalu kental.

Katalah apa saja mengenai anak wayang, dia tidak pernah ambil peduli. Bukan sedikit nista dan kata-kata keji yang pernah sampai ke telinganya, semua itu tidak menjadi kudis baginya.

Bahkan, dakwaan yang mengatakan anak wayang di eranya banyak dihimpit oleh kontroversi, skandal dan sebagainya juga tidak langsung mencuit emosinya.

"Orang yang bercakap pasal hal-hal itu tidak tahu senario sebenar. Apa pula nak buat skandal kalau kehidupan kami dikawal oleh pengurus studio. Tinggal di kuarters yang disediakan majikan, kalau nak keluar malam pun payah. Sudahnya kebanyakan daripada kami bertemu jodoh dengan orang seni yang satu tempat kerja. Jadi, tidak timbul isu-isu sebegitu," ujar Mariani yang masih mempunyai ingatan yang kuat terhadap momen- momen silam di Jalan Ampas yang masih tersimpan rapi di kotak fikirannya.

Sebagai rekod, antara filem-filem lakonan Mariani yang terus segar di ingatan sebilangan besar daripada kita ialah Hang Tuah (1956), Labu Labi (1962), Nasib Labu Labi (1963), Tiga Abdul (1964), Masam-Masam Manis (1965), Ahmad Albab (1968) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1983).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: