Friday, October 8, 2010

Kafe sihat buat famili




SETIAP kali golongan ibu bapa menjamu selera bersama anak- anak di restoran, mereka pasti sukar untuk mendapatkan menu khas buat si kecil masing-masing, terutamanya yang belum mencecah usia setahun.

Kesukaran itu juga menyebabkan ibu bapa tiada pilihan dan terpaksa akur dengan pilihan anak-anak kecil mereka yang lebih tertarik dengan menu-menu restoran makanan segera yang tinggi kandungan pengawet dan monosodium glutamat (MSG).

Ketika di rumah pula, ibu bapa lebih gemar memberi makanan bayi seperti yang didapatkan di pasar raya. Pilihan itu menjadi makanan pertama buat si kecil yang berusia enam bulan lantaran penyediaan makanan sendiri untuk bayi memerlukan masa yang lama dan leceh.

Menyedari ketiadaan makanan bayi penyediaan sendiri di pasaran, ibu kepada tiga orang anak, Heidi Shamsuddin, 37, tampil dengan idea mengeluarkan produk makanan sejuk beku khusus untuk bayi.

Semuanya bermula ketika wanita lulusan undang-undang dari Universiti Nottingham, United Kingdom (UK) itu memperoleh ilham ketika menetap selama 17 tahun di London.

"Di UK, saya melihat banyak makanan bayi yang dijual secara sejuk beku. Ia khusus untuk keperluan ibu berkerjaya yang tidak berkesempatan menyediakan makanan berkhasiat buat bayi mereka.

"Di sana, mereka amat menitikberatkan aspek kesihatan dan tidak mahu menyentuh makanan segera yang tidak baik untuk kesihatan.


BUKAN sahaja menjadi pusat persinggahan dewasa dan kanak-kanak untuk mengalas perut, Kafe Dish Deli juga menyediakan pek makanan sejuk beku jenama tersebut dan juga rangkaian produk jenama Gourmet Goo yang khusus untuk bayi.


"Makanan sejuk bekunya pula sama seperti masakan di rumah," kata bekas peguam maritim itu yang membawa idea tersebut ke Malaysia empat tahun lalu.

Lanjutan daripada kesungguhan mencuba biarpun dia bukan berlatarbelakangkan jurusan biologi pemakanan, diet dan nutrisi mahupun kulinari, Heidi telah berjaya menemui formula penyediaannya.

Kejayaan itu lantas disusuli dengan pembukaan kafe Dish Deli yang berkonsepkan pusat sehenti keluarga setahun kemudiannya.

Menurutnya, cara penyediaan makanan bayi sejuk beku ini sama seperti apa yang dimasak di rumah. Diberi jenama Gourmet Goo, hasil ciptaannya itu tidak mengandungi MSG, garam dan gula kerana ia mengekalkan rasa semula jadi.

"Tidak sukar untuk memulakan perniagaan ini kerana saya menyediakan sendiri makanan untuk tiga cahaya mata saya sejak lapan tahun lalu," ujarnya yang melimpahkan kasih buat dua orang anak yang kini berusia antara 17 bulan dan lapan tahun.

Resipi sendiri

"Resipi yang digunakan untuk menghasilkan produk makanan bayi sejuk beku adalah resipi saya sendiri. Chef akan masak mengikut resipi standard yang diberikan dan dilarang sama sekali untuk menokok tambah resipi sedia ada.

"Untuk menyediakan makanan bayi, persekitaran yang bersih amat penting selain menggunakan bekas yang disteril terlebih dahulu. Setelah makanan dimasak dan dibungkus, ia dimasukkan ke dalam penyejuk beku bagas (blast free- zer) untuk tempoh satu ke dua jam," ujarnya ketika ditemui di Kafe Dish Deli, Solaris Mon't Kiara baru-baru ini.

'Kelahiran' Gourmet Goo, produk makanan bayi sejuk beku pertama di Malaysia hanya memulakan operasinya di rumah dan menerima tempahan melalui dalam talian. Ketika itu, strategi pemasaran hanyalah sekadar di laman web dan juga khabar yang disampaikan dari mulut ke mulut.


PRODUK sejuk beku Dish Deli sudah semakin popular di kalangan warga Lembah Klang.


Sebelum memulakan perniagaan makanan bayi sejuk beku, Heidi bersama rakan kongsinya, Annette Isaac, 37, terlebih dahulu melakukan sedikit penyelidikan mengenai kaedah membekukan makanan bayi.

Proses itu perlu dilakukan tanpa bahan pengawet dan MSG, selain tidak boleh mengubah tekstur, bentuk dan rasa.

"Sejak ia mula diperkenalkan, sambutan terhadap makanan bayi ini sangat menggalakkan, walaupun kami menyediakan barisan menu yang sedia ada, kami juga mengikut permintaan pelanggan jika mereka mahukan kelainan.

"Pelanggan kami bukan terdiri daripada ibu yang berkerjaya sahaja. Golongan suri rumah tangga juga mahu memberikan makanan berkhasiat untuk anak kecil mereka namun menghadapi kekangan waktu untuk menyediakannya," katanya yang memasang impian untuk membuka restoran dengan rakan karibnya itu sejak di bangku sekolah.

Gourmet Goo kini mengeluarkan produk makanan bayi bermula pada usia enam bulan sehingga setahun setengah.

Dimakan segera

Penyediaannya sangat mudah - hanya perlu membuka penutup kedap udaranya dan terus memanaskan makanan tersebut di dalam ketuhar gelombang mikro tetapi ia perlu dimakan dalam tempoh 24 jam sebaik sahaja dibuka.

Pelanggan bukan sahaja boleh membuat tempahan secara dalam talian malah boleh beli secara terus di Kafe Dish Deli dengan harga yang berpatutan iaitu antara RM4.50 hingga RM9.50 untuk makanan bayi.

"Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran di sekitar Lembah Kelang sahaja dan hari penghantaran dilakukan pada setiap hari Rabu dan Sabtu.

"Selain makanan bayi, kami turut menjual makanan sejuk beku untuk kanak-kanak dan orang dewasa seperti ayam panggang, kaserol ayam, spageti bolognese, lasagna, Fisherman's pie, stu daging dan sebagainya," katanya.

Menariknya, Dish Deli menyediakan penghantaran percuma jika pelanggan membuat pembelian melebihi RM100 manakala caj RM10 dikenakan bagi pembelian di bawah RM100.

Oleh kerana sambutan yang amat menggalakkan, Heidi turut menerima banyak permintaan dari luar Kuala Lumpur. Namun, buat masa ini, permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi kerana kos penghantaran yang tinggi.

"Banyak perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan ini supaya konsep dan pasaran makanan bayi sejuk beku dapat diperluaskan.


KAFE Dish Deli kini menjadi pusat sehenti untuk keluarga menikmati hidangan secara santai dan selesa.


"Kami mahu lihat apa yang diusahakan kami dari A hingga Z ini berjaya. Tanpa bantuan serta sokongan daripada rakan-rakan dan keluarga, mustahil bagi kami untuk realisasikan perniagaan ini," jelas Annette.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Ida Farini Othman, 37, tertarik dengan produk keluaran Dish Deli kerana ia selamat untuk bayi dan disediakan tanpa menggunakan bahan pengawet.

"Selain makanan berkhasiat untuk bayi anda, makanan sejuk beku yang lain juga lazat. Ia seperti masakan di rumah.

"Tidak seperti di restoran-restoran yang lain, Dish Deli juga menyediakan kemudahan WiFi serta ruang santai khas untuk kanak-kanak bermain sementara ibu dan bapa mereka menjamu selera," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: