Friday, October 8, 2010

Jong-un, Jeneral Bintang Pagi




BERMATA sepet dan bertubuh gempal, lelaki itu langsung tidak tersenyum. Wajah serius itu seakan-akan membayangkan tanggungjawab besar yang perlu dipikulnya pada usia sebegitu muda.

Dikelilingi oleh lelaki dan wanita yang berusia sekitar 70 tahun, dia nampak tidak canggung. Apa tidaknya, dia kini menjadi antara individu paling berkuasa di negara berfahaman Stalin yang tidak disukai ramai, Korea Utara.

Dianggarkan berusia antara 27 atau 28 tahun, pelantikan Kim Jong-un selaku jeneral bintang empat pada persidangan terbesar Parti Pekerja Korea Utara dalam tempoh 30 tahun lewat Oktober lalu menjadi petanda jelas bahawa peralihan kuasa sedang berlaku di sana.

Ia dilakukan secara cukup berahsia, sehinggakan hanya ahli keluarga terdekat pemimpin sahaja yang tahu mengenainya. Dilantik oleh ayahnya yang juga pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-il, perkembangan tersebut dipantau rapi oleh semua seterunya di seluruh dunia.

“Ini sememangnya berita paling besar yang kita dengar dari Korea Utara sejak kematian pengasasnya, Kim Il-sung. Pada saya, ia jelas menunjukkan komitmen Jong-il untuk mengekalkan kuasa dalam tangan ahli keluarganya,” jelas seorang Felo Penyelidikan Lembaga Hubungan Antarabangsa-Hitachi, Universiti Keio, Peter Beck.

Menamakan pewaris

Peralihan kuasa yang bakal berlaku itu berkait rapat dengan kondisi kesihatan Jong-il yang tidak menentu. Pada tahun 2008, Jong-il, 68, diserang angin ahmar sebelum didiagnos menghidap kanser pankreas. Itu belum dicampur dengan masalah diabetes yang dihidapinya sejak sekian lama.


JONG-UN (depan tengah) kini menduduki ranking kedua tertinggi dalam Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan Korea Utara sekali gus menguatkan spekulasi bahawa dia bakal menjadi pewaris Dinasti Kim.


Proses menamakan pewaris dilihat amat penting bagi mengelakkan krisis perebutan kuasa dan kekacauan. Jong-il sendiri mengambil kuasa secara terancang pada tahun 1994 apabila bapanya, Kim Il-sung meninggal dunia ketika berusia 82 tahun. Sejak itu, dia memerintah negara yang berpopulasi mencecah 24 juta orang secara kuku besi.

Editor Diplomatik agensi berita The Guardian, Julian Borger menyatakan peralihan kuasa diktator menerusi tiga generasi merupakan yang pertama kali berlaku dalam sejarah moden.

“Kami percaya Kim Jong-il telah memilih anaknya, Kim Jong-un. Jong-il juga dikhabarkan sudah memberi arahan kepada Parti Pekerja dan Jabatan Urusetia sekitar Januari lalu,” lapor agensi berita Yonhap.

Jong-un yang didakwa menguasai beberapa bahasa seperti Inggeris, Jerman dan Perancis itu bagaimanapun dilihat masih mentah untuk berdepan dengan tekanan politik dunia. Apatah lagi ketika masyarakat dunia semakin lantang mahu mengenakan sekatan ke atas Korea Utara berikutan polisi senjata nuklear yang diamalkannya.

Kerana itu, walaupun bertindak sebagai orang nombor dua dalam Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan bagi Parti Pekerja, Jong-un nampaknya akan dibimbing oleh pakciknya iaitu Jang Song-taek. Song-taek merupakan orang kanan dalam Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan.

Bahkan menariknya, walaupun Jong-un ialah anak bongsu dalam empat beradik, namun begitu dia menjadi pilihan untuk meneruskan legasi komunis Asia itu kerana dikatakan lebih kuat dan bijak berbanding dua orang abangnya.

Anak pertama Jong-il, Kim Kong-nam terlepas peluang selepas memalukan bapanya apabila terpaksa dihantar pulang dari Jepun. Jong-nam memasuki Jepun secara haram menggunakan pasport palsu untuk berhibur di Disneyland, Tokyo. Anak kedua diktator tersebut, Kim Jong-chul pula dikhabarkan cenderung mempunyai sifat lelaki lembut.

Karakter kepimpinan, bertenaga dan gemar bersaing membuatkan Jung-on menjadi anak kesayangan Jong-il. Ketika ibunya, Ko Young-hee yang juga bekas seorang penari masih hidup, bakal pemimpin itu digelar sebagai Jeneral Bintang Pagi. Selepas dipilih selaku pewaris, dia dipanggil Kapten Kim.

Bekas chef peribadi Jong-il, Kenji Fujimoto dalam bukunya menyatakan bahawa fizikal Jung-on juga sangat mirip dengan bapanya. Berketinggian sederhana dan gemuk, malah mengalami masalah kesihatan yang serupa iaitu diabetes.

Bagi negara yang berdepan dengan masalah kebuluran dan kemunduran ekonomi, keadaan fizikal Jong-un dan adik-beradiknya mengundang kritikan keras di Internet.


KOREA Utara berdepan dengan krisis ekonomi berikutan tekanan dan sekatan daripada kuasa besar dunia.


“Babi gemuk Pyongyang,” selar satu komen yang boleh membuatkan penulisnya dihukum mati jika dia tinggal di Korea Utara. “Penduduknya semuanya mati kebuluran. Tetapi apa yang mereka makan sehingga menjadi begitu gemuk?” soal satu komen lain.

Jong-un mendapat pendidikan menengah di Sekolah Antarabangsa Berne di Berne Switzerland sehingga tahun 1998 dengan menggunakan nama samaran. Sebuah majalah Switzerland, L’Hebdo tahun lalu melaporkan bahawa Jong-un meninggalkan sekolah terbabit pada usia belasan tahun tanpa sempat menghabiskan pengajiannya di peringkat diploma.

Rakan sekelasnya mengingati Jong-un sebagai seorang yang pendiam, pemalu dan kurang gemar bersosial. Suka bermain ski dan bola keranjang, dia amat meminati bintang bola keranjang Amerika Syarikat (AS), Michael Jordan dan bintang filem aksi, Jean-Claude Van Damme.

Jong-un kemudian meneruskan pengajian dalam jurusan sains ketenteraan di Kolej Peperangan Kebangsaan Kim Il Sung sehingga tahun 2007. Menjadi institusi khusus buat pegawai-pegawai tentera, Jong-un diajar secara perseorangan di Jabatan Artileri selama dua tahun. Para pensyarahnya dikatakan terpaksa mengajar mengadap dinding bagi mengelakkan mereka melihat wajah Jong-un.

“Dia sangat mahir dalam aspek doktrin Juche (ideologi Korea Utara diasaskan Kim Il-sung) dan sains ketenteraan, selain berpengetahuan luas dalam bidang sejarah, ekonomi dan budaya,” lapor media negara itu, The Daily NK.

Menyanjung Jong-un

Harus diketahui bahawa sebelum dipilih secara rasmi, proses ‘pemberitahuan’ boleh dilihat dengan jelas di Korea Utara. Sejak tahun 2006, lencana yang tertera wajahnya diedarkan dalam kalangan pegawai kanan negara tersebut.

Setahun kemudian, media Korea Selatan melaporkan bahawa Jong-un bertugas di sebuah jabatan yang bertanggungjawab memantau ahli parti dan tentera.

Sebuah lagu yang secara langsung menyebut tentang Jong-un mula dikeluarkan pada November 2008 dan material propaganda diedarkan pada masa yang sama.

Jong-un juga mula menemani Jong-il melakukan lawatan pemeriksaan di kilang-kilang pada tahun 2009. Dalam bulan April 2009, murid-murid sekolah rendah diajar menyanyikan lagu bertajuk Footsteps yang memuji Jong-un. Sementara material pembelajaran yang ‘memuja’ Jong-un semakin banyak diedarkan pada bulan Oktober.

Awal tahun ini, Korea Utara mewartakan tarikh 8 Januari sebagai cuti umum sempena hari lahir Jong-un.

Sementara itu, rancangan untuk mengeluarkan cop rasmi bakal pemimpin itu dilaporkan sudah dibincangkan pada sejak Mei lalu. Biar apa pun perkembangannya, penganalisis politik masih skeptikal tentang sebarang perubahan dalam pendekatan polisi luar Korea Utara.

“Walaupun mempunyai pemimpin baru, Korea Utara tidak mungkin melupakan cita-cita nuklearnya. Namun begitu, ia kini berdepan dilema. Mahu mengekalkan kuasa dalam kalangan ahli keluarga dan pada masa yang sama perlu mencari jalan menangani krisis ekonomi.


KEDEGILAN Korea Utara untuk terus membangunkan senjata nuklearnya mendapat tentangan banyak negara dunia terutama Amerika Syarikat.


“Korea Utara tidak ada banyak pilihan. Ia terpaksa bergantung kepada bantuan luar dan mungkin menggunakan senjata nuklear sebagai pengaruh sewaktu proses rundingan,” kata Profesor Anh Yinhay dari Universiti Korea.

Seorang pakar politik Korea Utara dari Institut Sejong di Seoul, Korea Selatan, Cheong Seong-chang berpendapat, gambar Jong-un bersama pegawai kanan parti pemerintah menjadi petunjuk kepada perubahan signifikan tentang bagaimana regim itu akan dikendalikan.

“Kini, Jong-un akan menguruskan segala urusan domestik. Jong-il pula akan mengendalikan isu-isu lebih besar, selain memberi bimbingan kepada anaknya itu. Mulai sekarang, kita akan melihat dan mendengar lebih banyak tentang Jong-un berbanding Jong-il,” kata Seong-chang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: