Friday, October 8, 2010

Parti bertema Australia


TETAMU yang hadir berpeluang mendekati kehidupan luar bandar Australia termasuk haiwan ternakan seperti lembu susu.


SUASANA luar bandar Australia bagaikan dihidupkan di depan mata. Orang ramai di sekitar Lembah Kelang berpeluang menikmati budaya dan keunikan gaya hidup Orang Asli dari negara tersebut.

Begitulah pengalaman menyeronokkan bagi 255 orang penggemar susu Farmhouse. Tanpa perlu meninggalkan Malaysia, majlis eksklusif Farmhouse Milky Bash yang berlangsung di 1Utama Central Park baru-baru ini cukup menyeronokkan umpama sebuah percutian.

F&N Dairies (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tourism Australia menganjurkan program istimewa itu sebagai tanda terima kasih syarikat terhadap sokongan para penggemar Farmhouse selama ini. Acara itu juga memberi kesempatan kepada mereka merasai sendiri keunikan dan keseronokan kehidupan di bumi kanggaru itu.

"Kami ingin menunjukkan penghargaan kami kepada pelanggan setia dan salah satu caranya ialah dengan mengadakan sebuah parti berlatarkan elemen Australia.

"Ia merupakan satu platform terbaik untuk para pengguna berinteraksi, bukan saja sesama mereka tetapi juga bersama wakil daripada Farmhouse," kata Chan Soo Mei, Pengurus Jenama Kanan, F&N Dairies Sdn. Bhd.

Selain itu katanya, mereka berpeluang mengajukan sebarang pertanyaan dan mendapat pelbagai maklumat tentang faedah dan kebaikan produk-produk susu segar Farmhouse.


AKTIVITI memanjat dinding juga diadakan sempena majlis yang penuh meriah itu.


Produk-produk Farmhouse yang diimport secara langsung dari Australia kaya dengan nutrien asli dan sehingga ke hari ini ia merupakan satu-satunya susu segar import yang terdapat di Malaysia.

Ia bukan sahaja segar dan berkualiti malah tinggi kandungan kalsium dalam setiap gelas yang diambil.

Mengulas mengenai kepentingan susu, Soo Mei mendedahkan bahawa diet orang-orang Asia kebiasaannya kurang kandungan kalsium.

"Dengan aktiviti Farmhouse Milky Bash ini, syarikat berharap dapat mengubah pemikiran rakyat Malaysia. Kita sebenarntya memerlukan jumlah kalsium yang mencukupi setiap hari untuk menguatkan tulang serta menjauhkan kita daripada menghidap penyakit-penyakit kronik," ujarnya.

Selain itu, para tetamu dapat mencuba pelbagai permainan dan aktiviti yang terdapat di pelbagai kawasan di Australia.

Antara permainannya ialah permainan Orang Asli diberi nama Juluhnya iaitu permainan kegemaran masa lapang di Queensland. Tidak ketinggalan permainan Koolchee Koolchee yang banyak dimainkan di selatan Australia dan Yulunga yang popular di New South Wales.

Penyertaan dalam setiap permainan tersebut membolehkan para peserta mengumpul mata dan kemudian menebusnya untuk mendapatkan produk-produk bertemakan Australia.

Pengunjung juga turut berseronok mengikuti aktiviti-aktiviti lain seperti menunggang kuda, memanjat dinding dan memerah susu lembu.


HADIRIN berpeluang merasai pengalaman memerah susu lembu dengan menggunakan tangan.


Memerah susu lembu bukannya semudah yang disangkakan. Ramai yang mencuba pengalaman itu mengakui bahawa ia sungguh menyeronokkan.

Perasaan itu membuatkan mereka teruja, lebih-lebih lagi apabila dapat melihat dan mempraktikkan sendiri teknik memerah susu menggunakan tangan.

Lebih mengejutkan, ada juga yang tidak pernah melihat lembu secara dekat!

Dalam pada itu, Farmhouse Milky Bash turut menyediakan pelbagai cenderamata untuk para tetamu selain disajikan dengan pelbagai jenis makanan Australia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: