|
|
MASA dah suntuk, wayar mana nak dipotong? Saya perlu buat keputusan secepat mungkin sebelum ia meletup!” Sesudah meneliti petikan dialog di atas, pastinya pembaca membayangkan sesuatu insiden atau adegan cemas berkaitan bom masa yang akan meledak sebaik tiba masanya.
Penulis percaya ramai pernah menonton babak sedemikian dalam drama atau tayangan filem, namun sejauh mana benarkah insiden sebegini berlaku dalam realiti?
Kemusykilan mengenai bagaimana seseorang individu berdepan situasi cemas dan kaedah mematikan bom telah mendorong Gaya Polis mengaturkan temu bual bersama Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi berkongsi bersama pembaca.
Baru-baru ini, Gaya Polis menemui dua pegawai kanan UPB yang cukup berpengalaman dan berstatus pakar bom, untuk mendapatkan gambaran sebenar tugas hakiki mereka.
Mereka ialah Pegawai Turus Jabatan Logistik (Persenjataan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Zainal Abidin Atan dan timbalannya, Hamsah Sakur.
Pasangan mantap tersebut telah berkhidmat bersama UPB hampir dua dekad.
Gandingan Zainal Abidin, 54, dari Johor Bahru dan Hamsah, 52, anak kelahiran Kuala Selangor, diberi kepercayaan untuk mengemudi sepasukan 26 pegawai dan anggota di Cawangan Persenjataan IPK Kuala Lumpur yang beroperasi di Balai Polis Pudu.
Memulakan perbualan, lantas penulis terus mengajukan soalan kepada Zainal Abidin.
“Adakah tuan pernah berdepan situasi di mana bom jangka ditemui dan kena potong wayar untuk mengelak ia meletup?”
Zainal Abidin sambil tersenyum menjawab: “Tidak, kami tidak pernah melakukan kaedah sedemikian, tidak di Malaysia dan juga tidak di mana-mana negara lain. Bagaimanapun, kami memang ada dilatih untuk tujuan itu.”
Jelasnya, adalah menjadi prinsip UPB untuk mengelak daripada risiko kehilangan nyawa dan oleh itu khidmat kenderaan robotik akan digunakan dalam setiap operasi menangani ancaman bom jenis Jerangkap Letupan Rekaan (EOD).
Katanya, kenderaan robotik berkeupayaan untuk membuat pemeriksaan dan mematikan EOD tanpa perlu membahayakan nyawa manusia.
“EOD adalah jenis bom buatan sendiri yang kita tidak pasti bagaimana ia direka bentuk, jadi untuk menangani bom jenis itu, kita akan menggerakkan kenderaan robotik untuk membuat pemantauan terlebih dahulu.
“Kita mengawal robot dalam satu jarak selamat untuk memeriksa objek disyaki bom menerusi visual dirakam daripada kamera yang dilengkapi pada robot terbabit.
“Sebarang tindakan lanjut akan dilakukan dengan menggunakan robot. Robot berkenaan mampu menembak pancutan air pada tekanan yang amat kuat sehingga boleh meleraikan komponen elektronik dalam sesuatu EOD, jadi bom dimatikan serta merta,” jelas Zainal Abidin.
Ujar beliau, hanya dalam keadaan tertentu, anggota UPB diperlukan namun itu pun dilakukan dengan dilindungi pakaian khas.
Hamsah pula menceritakan bagaimana UPB mengendalikan bom jenis Unexploded Ordnance (UXO), iaitu bom seperti bom mortar dan bom tangan peninggalan perang yang tidak mendatangkan sebarang ancaman, tetapi perlu diletup sebagai langkah keselamatan.
Untuk tujuan itu, menurut Hamsah, khidmat robot tidak diperlukan dan ia boleh diletup secara manual namun memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kerosakan minimum terhadap harta benda awam.
“Sekiranya berlaku di tempat awam yang mempunyai ramai penduduk, perancangan perlu dibuat bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi agensi lain berkaitan. Pengosongan mungkin perlu dilakukan.
“Sebarang bom yang ditemui tidak akan diangkut ke mana-mana dan akan diletup di situ juga. Kita tidak tahu kalau sebarang pergerakan akan menyebabkannya meletup.
“Lubang akan dikorek dan benteng kukuh akan dibina untuk meminimum impak letupan,” tambah Hamsah.
Ditanya pandangan Zainal Abidin dan Hamsah mengenai kriteria penting untuk menjadi seorang anggota UPB, kedua-duanya bersetuju bahawa seseorang itu perlu mempunyai minat dan ilmu pengetahuan tinggi.
“Seseorang anggota yang baru diserap masuk akan ditapis dulu sebelum dibenarkan menganggotai UPB kerana ia melibatkan persenjataan. Kita tidak tahu apa niat seseorang itu,” kata Hamsah.
Zainal Abidin pula memberitahu, mereka yang merupakan anggota UPB biasanya tidak ditukarkan kerana mereka adalah aset dilatih dengan kos tinggi dan memakan masa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: