Tuesday, October 19, 2010

Kisah duka pesakit paru-paru


(DARI kiri) Vijaya, Norliyana dan Azaryna.


HATI mana yang tidak sayu melihat penderitaan wanita muda yang baru sahaja ingin menggapai cita-citanya. Dulu, dia seorang wanita yang ceria, aktif dan ligat. Segala-galanya berubah apabila dia ditakdirkan menghidap kegagalan fungsi paru-paru. Tidak pernah terlintas di fikiran Azaryna Noh, 26, kehidupannya berubah dalam sekelip mata.

Bekas jurutera itu hanya sempat bekerja seminggu di Ismeca Semiconductor Sdn. Bhd sebelum doktor mengesahkan dia mengalami kegagalan fungsi paru-paru.

Sambil menitiskan air mata, Azaryna merayu: “Saya minta orang ramai cepatlah menderma paru-paru.’’

Ketika mendengar rintihan gadis itu, keadaan menjadi sepi sebentar. Dia ingin segera sembuh agar dapat memenuhi cita-citanya, bekerja dan membantu keluarga.

Hati mana yang tidak remuk apabila hasrat menjalani kehidupan normal dan membalas jasa keluarga selepas mendapat pekerjaan akhirnya ranap. Dia kini terpaksa bergantung hidup dengan alat bantuan pernafasan.

“Pada semester pertama disebuah universiti di New South Wales, Australia, semuanya berkeadaan seperti biasa. Masuk sahaja semester kedua, saya mula berasa semput, cepat penat dan rasa nak pitam. Masa itu, saya masih tidak tahu sehinggalah saya kembali ke Malaysia,” ujar pemegang Sarjana Mikroelektronik dan Mikrosistem itu.

Jika dulu Azaryna bercita-cita menyara keluarga tetapi kini biarpun sudah dewasa, ibu dan ayah terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjaganya yang semakin lemah dari hari ke hari.

Menanti insan mulia

Perasaan yang sama turut dialami ibu muda, Norliyana Mohd. Nor, 26. Wanita ini amat tertekan kerana dia tidak dapat meluangkan banyak masa bersama anaknya yang baru berusia dua tahun.

“Sudah hampir sembilan bulan saya menunggu penderma organ paru-paru. Saya mohon ada pihak yang sudi menderma kerana saya mahu bersama anak saya yang masih kecil,” ungkapnya sambil menitiskan air mata.

Sebagai seorang ibu, tentunya hati Norliyana meronta-ronta agar kesihatan kembali pulih agar dapat meluangkan masa bersama si kecil.

Mengimbas kembali saat dia diagnosis menghidap kegagalan fungsi paru-paru, semuanya berlaku tanpa disangka. Ketika kandungan anaknya berusia lapan bulan, Norliyana sering mengalami sesak nafas dan sempit. Disangkakan simptom ibu mengandung yang biasa, Norliyana dan suami tidak mengambil tindakan serius. Namun, keadaan semakin kritikal apabila dia mengalami sesak nafas yang melampau. Suaminya segera menghantar ke hospital dan ketika itu menyampaikan berita sedih kepadanya.

“Demi anak, saya kuatkan semangat. Saya bersalin secara pembedahan dan saya mahu anak saya sihat. Kini, saya masih menanti agar ramai yang mahu menolong saya. Saya amat perlukan paru-paru baru untuk meneruskan kehidupan,” ujar wanita kelahiran Temerloh, Pahang ini.

Dalam pada itu, Vijaya Ramasamy, 32 turut menanti insan mulia yang sanggup menderma paru-paru.

“Sejak saya disahkan sakit paru-paru dan memerlukan organ yang baru, saya menyeru semua anggota keluarga saya menjadi penderma organ. Saya tidak mahu orang lain menerima nasib seperti saya. Menunggu dan masih menunggu. Saya mahu menjalani kehidupan seperti orang lain,” ujar Vijaya yang ditemani suami, Shankar.

Kegagalan fungsi paru-paru

Sementara itu, Perunding Pakar Bedah Kardiotoraks IJN, Dr. Abdul Rais Sanusi berkata, kegagalan fungsi paru-paru turut menyerang golongan muda iaitu mereka yang berumur 20 hingga 50 tahun. Kumpulan umur itulah yang masih menunggu giliran melakukan pemindahan paru-paru.

“Tiga pesakit ini antara yang perlu melakukan pembedahan segera. Tiada yang mustahil untuk kita melakukan pembedahan kerana kita ada pakar dan kelengkapan. Cuma kita mengharap lebih ramai penderma organ untuk menampung kes-kes yang menanti,” ujarnya.

Tambah Dr. Abdul Rais, pembedahan bertujuan memanjangkan jangka hayat pesakit dan meningkat kualiti hidup mereka.

Mengambil contoh kes Azaryna, beliau memberitahu, gadis itu tidak dapat bekerja disebabkan paru-parunya gagal berfungsi.

“Dalam hal ini, pesakit tidak dapat melakukan apa-apa. Mereka juga nak aktif, berdikari dan hidup seperti orang biasa,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Respiratori IJN, Dr. Ashari Yunus, berkata, sejak 2003 hingga kini sebanyak 55 pesakit dalam senarai menunggu, namun 15 meninggal dunia sewaktu menunggu penderma organ sesuai.

Beliau merayu orang ramai supaya menjadi penderma organ dalam usaha memastikan pesakit tidak lagi menanggung kesakitan dan dapat meningkatkan kualiti hidup mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: