Saturday, October 9, 2010

Berguru dengan pakar Perancis


Chef Guillaume Lejeune bersama pelbagai jenis pastri yang boleh dipelajari di Academy of Pastry Arts Malaysia.


SENI pembuatan kek dan pastri bukanlah satu cabang seni yang mudah. Ia perlu dipelajari dengan minat dan ketelitian yang amat tinggi.

Justeru ilmu yang dimiliki oleh pakar pastri bukanlah boleh diperturunkan dengan mudah kerana bukan calang-calang orang yang boleh menguasai bidang itu.

Sebab itulah diwujudkan kursus jangka panjang dan pendek untuk mempelajari teknik pembuatan pastri dari pakar. Kursus tersebut ada ditawarkan oleh Academy of Pastry Arts Malaysia yang dikendalikan oleh chef residen dari Perancis serta ramai lagi chef undangan dari seluruh dunia untuk berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing.

Akademi ini terletak di Wisma Thrifty, bertentangan dengan Hotel Hilton, Petaling Jaya dengan keluasan 8,000 kaki persegi. Lengkap dengan bilik coklat, bilik bakeri, dapur pastri, bilik pastri, bilik kek perkahwinan, ruang istirahat chef dan bilik darjah.

Pengarah Kajian Pastri, Academy of Pastry Arts Malaysia, Chef Guillaume Lejeune, berkata, kursus seni pastri dan bakeri yang intensif itu direka untuk melahirkan pakar profesional dalam seni pastri yang bersedia untuk berkhidmat dalam industri berkaitan.

Para pelajar dan peserta akan dilatih dan dibimbing secara peribadi oleh jaguh pastri dan bakeri, di samping memastikan pembelajaran dan latihan secara guna tangan dan pendedahan berulang kepada teknik pastri, peralatan dan ramuan pastri.

"Kami juga mensasarkan para profesional sedia ada dan penggemar pastri melalui kursus-kursus jangka pendek kami. Sambutan setakat ini sangat memberangsangkan," tambah Chef Guillame.

Bagi yang berminat mempelajari cara membuat kek, kursus jangka pendek juga ada disediakan termasuk cara membuat kek keju, coklat, praline, biskut dan sebagainya.

"Dengan visi untuk menjadi salah sebuah sekolah pastri terbaik di Asia Tenggara, Academy of Pastry Arts Malaysia akan beroperasi sebagai satu hab bagi kesemua aktiviti pastri dan bakeri di mana pelajar akan mendapat peluang untuk belajar daripada chef pastri terbaik di dunia," ujarnya.

Bukan calang-calang chef juga yang menjadi tenaga pengajar di akademi ini antaranya ialah:

nChef Guillaume Lejeune: Pengarah Kajian Pastri, Academy of Pastry Arts Malaysia

nMaster Pastry Chef Matthias Schuebel: Cef pastri Pemenang Pingat Emas Olimpik, Ijazah Sarjana dalam Pastri dan Konfeksioneri

nChef Keith Hurdman : Pemenang Dua Pingat Emas Anugerah World Chocolate, London (2007)

nChef Michel Willaume: Juara Dunia Pastri, 2001 yang beliau menangi mewakili Team USA di Coupe du Monde de la Patisserie di Lyon, Perancis

nChef Stéphane Tréand: Meilleur Ouvrier de France (Pakar Pertukangan Terbaik di Perancis), 10 Cef Pastri Terbaik di Amerika Syarikat oleh majalah Pastry Art and Design (2007/2008).

nJean-Marie Auboine: Jurulatih Pastri, World Pastry Forum

"Kami mengharapkan agar pelajar Malaysia belajar di negara ini, terutamanya di Akademi ini. Tujuan kami juga adalah untuk menarik pelajar asing datang untuk belajar dengan kami. Pada dasarnya, kami membawa chef pastri terbaik dalam dunia, untuk mengajar anda, di Malaysia ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: