Saturday, October 9, 2010

Tastefully Chic untuk kaki makan


Wong Chui Ling dan Chan Kien Ming (kiri) melancarkan buku Tastefully Chic.


MALAYSIA memang benar-benar syurga makanan antarabangsa dengan pelbagai sajian lazat," ujar penulis buku Tastefully Chic, Wong Chui Ling.

Mengaku bahawa dirinya seorang 'kaki makan', mendorongnya menghasilkan sebuah buku panduan tentang tempat makan yang menarik di sekitar ibu kota.

Chui Ling yang juga penerbit, pengacara televisyen, pelakon, penyampai radio dan juga penulis ruangan di sebuah majalah berkata, dia sebenarnya sudah lama mengidamkan untuk menulis buku panduan tentang tempat makan istimewa.

"Saya sudah lama teringin untuk menonjolkan beberapa tempat menjamu selera popular yang bukan lagi menjadi 'rahsia' di kalangan peminat makanan. Daya tarikan kita termasuk beberapa restoran kelas satu yang pasti mempunyai pelanggannya yang tersendiri," jelasnya.

Memanfaatkan kecanggihan teknologi perhubungan menerusi iPhone dan iPad, aplikasi tentang panduan tempat makan ini boleh diakses dengan sentuhan.

"Anda hanya perlu memuat turun aplikasi ini pada gajet anda dan terus boleh gunakannya. Untuk iPhone aplikasinya akan boleh digunakan pada pertengahan Oktober ini manakala pengguna iPad sudah boleh menggunakan aplikasi ini.

"Lebih menarik, dalam aplikasi ini bukan sahaja memaparkan panduan tempat makan, malah terdapat juga panduan memasak, iklan berkaitan dan info-info menarik," jelas Chui Ling pada majlis pelancaran bukunya bertempat di Menara Hap Seng, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelancaran buku panduan Tastefully Chic itu adalah bersempena pengenalan minyak masak terbaru di pasaran, Family Choice. Jenama minyak masak jagung dari Australia ini juga adalah penaja utama buku panduan itu.

Dengan adanya buku itu, para pelancong dan juga warga kota kini tidak lagi perlu pening kepala memikirkan tempat menarik mana untuk menikmati juadah lazat.

Buku tersebut juga memaparkan komen-komen Chui Ling tentang restoran disinggahinya dan juadah-juadah yang dicadangkan oleh chef restoran masing-masing. Ia juga dilengkapi foto-foto menarik yang pasti mengecurkan air liur anda selain foto pemandangan dalam restoran yang boleh dinikmati menerusi lensa kamera.

Pembaca juga boleh mendapatkan maklumat seperti alamat, nombor telefon untuk dihubungi.

"Pemilihan restoran dan tempat makan ini saya buat dengan teliti dan berdasarkan pengalaman sendiri. Saya menilai dari segi kesedapan masakan, persembahan dan suasana tempat makan secara keseluruhan.

"Bagi saya pencarian makanan yang baik dan sajian yang menyelerakan adalah pengalaman yang manis untuk dikongsi dan dirasai semua," ujar Chui Ling.

Sementara itu, Pengurus Besar Wintercorn Australia Pty. Ltd., Chan Kien Ming, berkata, sempena pengenalan jenama itu ke Malaysia, empat produk telah diperkenalkan iaitu minyak kanola, minyak jagung, minyak biji bunga mata hari dan minyak kacang soya.

Rangkaian minyak sayuran tulen jenama ini dihasilkan oleh pengeluar yang mempunyai pensijilan ISO22000 2005 dan Korsortium Peruncit British (BRC).

"Jenama Family Choice mempunyai ramai pengikut setia dari kalangan pengguna Australia. Ia berkualiti tinggi, diperbuat dari bahan semula jadi dan mempunyai piawaian keselamatan makanan yang tinggi.

"Inilah juga nilai-nilai yang diperlihatkan oleh restoran-restoran yang dipilih oleh Chui Ling untuk Tastefully Chic," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: