Tuesday, October 26, 2010

Gayat di pucuk tualang




MOHD. SHUKRI ABDUL RAHMAN hanyalah seorang pemuda kampung yang berasal dari Kampung Baru Hilir, Gua Musang, Kelantan.

Sebaik menamatkan persekolahan, anak sulung daripada lima beradik itu tekun mencari rezeki bagi meringankan beban keluarganya.

Antara yang pernah dilakukannya ialah bekerja di kedai makan, menoreh getah, membuat kerja-kerja kampung dan memandu lori sayur.

Bermula dari pukul 12 malam, dia akan berulang-alik sejauh 400 kilometer (km) dari Gua Musang ke Kota Bharu, Kelantan untuk menghantar sayur-sayuran. Sebaik sahaja pulang ke rumah sekitar pukul 7 pagi, dia akan bergegas ke kebun bapanya untuk menoreh getah.

"Itulah kehidupan saya setiap hari, ibarat kais pagi makan pagi, pendapatan pun tidak seberapa," cerita lelaki berusia 32 tahun itu.

Bagaimanapun, tawaran bekerja sebagai kakitangan Aremas Sdn. Bhd. yang terlibat dalam pembinaan Laluan Kanopi di Taman Negara, Kuala Koh, Kelantan beberapa tahun lalu mengubah kehidupannya.

Dia mula mula belajar kaedah memanjat pokok dengan menggunakan pelbagai peralatan moden seperti harnes (abah-abah), connector, carabiners, pullery sling, topi dan kasut keselamatan seperti yang sering digunakan para pendaki.

Bukan sembarangan orang boleh melakukan tugas itu, walaupun sudah biasa mendaki batu kapur bersama rakan-rakannya di sekitar Taman Etnabotani, Gua Musang, namun cabaran di atas pokok nyata berbeza.

"Saya mengambil masa sebulan untuk sebelum benar-benar mahir menggunakan peralatan keselamatan.

"Bayangkan, semua kerja dilakukan dalam keadaan tergantung di paras 45 hingga 50 meter dari atas tanah. Nyawa kami semua hanya bergantung pada beberapa utas tali keselamatan yang dipasang," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.


JAMBATAN gantung sepanjang 530 meter di Taman Negara ini merupakan yang terpanjang di Malaysia.


Sejak September lalu, kira-kira 18 kakitangan syarikat itu telah berkampung di kawasan Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang, bagi melakukan kerja-kerja baik pulih dan membina laluan kanopi sepanjang 200 meter. Ia menghubungkan antara pokok-pokok sebagai laluan ke kawasan hutan bagi tujuan penyelidikan dan tarikan pelancongan.

Laluan kanopi mula diperkenalkan di Taman Negara pada tahun 1992. Ia merupakan laluan terpanjang di negara ini merangkumi laluan sepanjang 530 meter pada aras ketinggian 45 hingga 70 meter.

Setiap hari, Mohd. Shukri bersama kakitangan yang lain bertungkus-lumus memasang kabel, membina platform, trek dan menara yang dijangka siap sebelum penghujung tahun nanti.

"Kami akan berada dua atau tiga jam di atas pokok sebelum turun ke bawah untuk makan dan melepaskan lelah. Jika terlalu sibuk, semuanya dilakukan di atas pokok sahaja termasuk 'urusan peribadi'," selorohnya.

Orang kepercayaan

Dia yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang itu memberitahu, pada peringkat awal, pembabitannya ditentang keras oleh keluarga.

"Saya terpaksa membawa mereka ke tempat kerja dan melihat sendiri bagaimana kerja-kerja dilakukan. Akhirnya mereka merestui, biarpun agak berbahaya tetapi inilah risiko yang terpaksa ditanggung dalam kerjaya ini," ujarnya.

Selain menjalankan tugas-tugas yang diberikan, dia juga sering diberi kepercayaan menjadi individu pertama memanjat, mengukur dan melihat kesesuaian pokok yang telah dikenal pasti.

"Saya akan melakukan pemeriksaan sehingga ke bahagian pucuknya bagi memastikan ia selamat, tidak reput serta mempunyai halangan yang boleh mengganggu pembinaan laluan kanopi.

"Kemudian, barulah saya akan mengambil ukur lilit dan menentukan kedudukan platform dan trek sebelum memasang beberapa tali keselamatan untuk kemudahan kakitangan lain," katanya yang memberitahu pokok tertinggi yang pernah dipanjat setakat ini ialah pokok tualang setinggi 100 meter.


KETEKUNAN dan kemahiran penting ketika membuat kerja-kerja dan mengikat pokok balak untuk dijadikan platform kanopi tanpa menggunakan paku.


Individu yang banyak mengajar Mohd. Shukri ialah pengurus projeknya, Azmi Abdul Aziz, 46.

Selaku kakitangan paling senior, Azmi bertanggungjawab memastikan keselamatan pekerja dan memantau perjalanan projek dari awal hingga akhir mengikut mengikut tempoh yang ditetapkan.

Pengalaman selama tiga tahun melibatkan diri dalam sukan lasak dan mendaki batu kapur sebelum ini digunakan untuk mengajar kakitangan tentang penggunaan peralatan keselamatan, teknik memanjat serta bagaimana berhadapan dengan situasi kecemasan di aras tinggi.

"Ia bergantung kepada kecekalan dan keberanian individu itu sendiri, belajar teori mudah, namun mempraktikkannya agak sukar, sedikit kecuaian sahaja boleh membawa padah," katanya yang menetap di Baling, Kedah.

Sudah menjadi kelaziman, setiap kali mahu memulakan tugas dia akan memberikan taklimat ringkas bagi memastikan tahap kesihatan kakitangan dan peralatan berada dalam keadaan terbaik.

Spesies pokok

Azmi memberitahu, pada peringkat awal projek satu kajian akan dilakukan bagi menilai keadaan tanah dan bentuk muka bumi di samping mengenal pasti kesesuaian dan jenis pokok.

Spesies pokok yang sering menjadi pilihan ialah tualang, meranti, resak, keranji, kemuning, mersawa dan medang menjadi kerana lebih stabil dan ukur lilit dan diameter yang besar.

Katanya, laluan kanopi dibina dengan kabel besi yang mampu menahan berat sehingga 10 tan manakala tali yang mengikatnya berkeupayaan menahan berat sehingga lima tan dan tahan sehingga 10 hingga 15 tahun.

"Kabel besi dan tali diikat kemas pada 'kayu rak' tanpa menggunakan sebarang paku. Ini akan memastikan pokok tidak rosak dan cedera," katanya.

Azmi menjelaskan, perbincangan dan perancangan awal penting bagi mengelakkan kesilapan semasa memasang struktur binaan.


PARA pekerja menyusuri sungai Taman Negara untuk sampai ke tempat kerja membuat kanopi.


Jika rakan-rakan sebayanya bekerja di bandar, Mohd. Anas Osman, 22, lebih selesa berdamping dengan kehijauan dan alam semula jadi.

Kebetulan, jiwa anak kelahiran Kepala Batas, Kedah ini sukakan sesuatu yang lasak dan mencabar berbanding pekerjaan tukang kimpal yang dilakukannya sebelum ini.

"Tipulah, kalau kata saya tidak takut dan gayat. Kali pertama mencubanya, lutut masih terketar-ketar walaupun kaki dah jejak tanah.

"Lama-kelamaan, perasaan itu hilang dengan sendirinya, kini rasa seronok pula terutama dapat melihat kepelbagaian flora dan fauna di atasnya," katanya.

Ditanya mengenai cabaran kerjaya itu, dia memberitahu selain aspek keselamatan, terdapat juga faktor semula jadi seperti hujan, petir dan angin kencang yang menyebabkan kebanyakan aktiviti terpaksa dihentikan sementara waktu.

Katanya, pengalaman berpaut pada batang pokok ketika sedang menyiapkan laluan kanopi di Taman negara Kuala Koh, tiga tahun dahulu paling sukar dilupakannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: