|
|
MENGURUSKAN wang tunai RM100,000 yang dimenangi selepas muncul juara pertandingan akhir program realiti, My Starz LG musim kedua di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Februari lalu, bukan mudah dan persoalan rumit bagi Noriezuana Syed Shafudin atau Wana, 23. |
Meskipun sudah bergelar artis dan kini menjadi tumpuan pelbagai pihak, Wana yang berasal dari Larkin, Johor, mahu keluarga menjadi penentu utama dalam perancangan untuk menggunakan hadiah umpama ‘durian runtuh’ itu.
Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui, walaupun kemenangan wang tunai itu menyeronokkan dan dianggap sebagai detik manis dalam kehidupannya, secara tidak langsung ia kemungkinan menjadi ujian Allah bagi memperlihatkan sejauh mana dia bijak mengagihkannya demi masa depan.
“Saya seperti tidak percaya apabila diumumkan sebagai pemenang program realiti itu, apatah lagi menerima kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia, TV LCD 42 inci tajaan LG dan wang tunai begitu lumayan yang tidak pernah saya lihat atau impikan sebelum ini.
“Perasan saya bercampur-baur, gembira dan rasa berdebar pula timbul kerana memikirkan wang itu terlalu banyak untuk diuruskan bagi seseorang remaja seperti saya,” katanya.
Bagaimanapun, Wana berpegang kepada pesanan ibunya, Siti Rafiah Abu, 44, dan ahli keluarganya yang lain supaya tidak boros berbelanja dan tidak mudah lupa diri selepas bergelar artis.
Hanya satu perkara saja yang terlintas di fikirannya pada masa ini iaitu menggunakan sebahagian wang berkenaan untuk membeli kediaman lebih selesa bagi seisi keluarganya selain sebagai pelaburan jangka panjang.
“Kemenangan itu saya anggap sebagai berkat doa ibu yang bersusah-payah membesarkan saya dengan bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura selepas bercerai dengan bapa yang berasal dari Pakistan.
“Oleh itu, saya menganggap satu kewajipan untuk menghadiahkan kediaman selesa kepada insan tersayang dengan menggunakan wang hadiah itu dan kami sekeluarga masih membuat pertimbangan sama ada ingin membeli rumah di Johor atau di Kuala Lumpur,” katanya.
Tambahan pula, bagi Wana, rumah yang bakal dibeli itu adalah cara membalas jasa ibunya yang dianggap pendorong utama kejayaannya sejak peringkat awal.
Ini berikutan, dia tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan hanya menamatkan tingkatan enam sebelum bekerja di sebuah pejabat guaman di bandar raya Johor Bahru.
“Namun ibu memberi keyakinan supaya merebut peluang yang ada kerana sejak kecil lagi dia melihat Wana gemar menyanyi.
“Kemudian saya mula bekerja sebagai penyanyi sambilan di syarikat Alpha Star Entertainment dan pengalaman berkenaan amat membantu ketika menyertai My Starz LG.
“Apa yang penting selepas ini, impian saya adalah berjuang dalam karier nyanyian dan mempertingkatkan diri dalam mendalami bidang muzik,” katanya yang bercadang untuk menyimpan sebahagian wang hadiah berkenaan sebelum menceburi dunia perniagaan seperti membuka pusat kecantikan, pada masa depan.
Gadis berkulit hitam manis itu turut menganjurkan majlis kesyukuran terutamanya berkongsi kemenangannya bersama peminat selain warga kurang bernasib baik daripada beberapa rumah kebajikan di sekitar Johor Bahru.
Majlis kesyukuran yang diadakan seiring dengan ulang tahun hari jadi ke-23 di Dewan Datuk Jaafar di Jalan Datin Halimah, Johor Bahru, Sabtu lalu, menerima kunjungan seramai 1,000 tetamu termasuk peminat dari seluruh negara yang tidak melepaskan peluang untuk bertemu dengan artis berkenaan dan mengucapkan tahniah di atas kemenangannya itu.
Lebih manis, majlis berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis termasuk juri My Star LG, Hattan selain pemenang tempat kedua, Nashrin dan pemenang tempat keempat, Hairi.
“Majlis kesyukuran berkenaan memberi kepuasan bagi Wana kerana tidak melupakan warga kurang bernasib baik bagi meraikan dan berkongsi kemenangan saya.
“Begitu juga pada hari ini, kami bersama-sama meraikan hari jadi kakak dan abang ipar Wana yang turut lahir pada Mei,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: