Kegembiraan melatari wajah Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet ketika berkongsi perkhabaran terbaru tentang rumah tangga dibina bersama Rubytah Abu Bakar @ Che Wan. Kata anggota Senario ini dengan mata bercahaya, dia dan isteri tercinta dinikahinya 20 Ogos tahun lalu kini sedang berdebar-debar menanti kelahiran anak sulung mereka yang akan lahir bila-bila masa sahaja.
“Isteri mengandung, aku mengidam. Macam-macam teringin termasuk mempelam, kedondong. Aku juga mengalami loya-loya dan morning sickness,” cerita Lan yang tidak putus-putus berlawak sepanjang temu bual berlangsung.
Menurut Lan lagi, dia dan isteri sudah merancang mahu memastikan anak mereka diberi pendidikan tahfiz. Oleh itu, awal-awal lagi dia sudah menyuarakan tentangan jika anak mahu memasuki bidang seni apabila dewasa kelak. Katanya, dia dan isteri lebih suka jika anak-anak mereka menjadi ustaz daripada artis.
“Sekarang aku sentiasa rasa gembira dan tak sabar-sabar nak timang anak. Masuk sahaja umur 40 (tahun ni), aku memang tak berlakon untuk diri sendiri lagi dah. Apa yang aku buat semuanya demi anak-anak. Kalaulah aku tau macam ini seronoknya kahwin, umur 10 tahun aku dah nikah,” tutur Pelakon Komedi Terbaik FFM15 ini, disulami ketawa bahagia.
Pada pertemuan dibuat seusai tayangan filem terbaru lakonannya - Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) itu, Lan turut memberitahu nama yang sudah dipilih untuk bakal si kecil tetapi dia meminta jasa baik pihak wartawan agar tidak menyiarkannya sehinggalah ia dilahirkan.
Apa pun kata Lan, nama yang dipilihnya dan isteri mempunyai maksud tertentu dan anak yang dijangka lelaki itu bukan sahaja dinanti-nantikan oleh mereka tetapi juga anak tirinya yang berusia 10 tahun.
Merapu tapi...
Sesiapa sahaja yang berbicara dengan Lan, pasti menangkap sikapnya yang gemar menyelitkan lawak dalam percakapan hingga kadangkala sukar ditelah sama ada dia sedang serius atau sebaliknya.
“Aku memang kuat merapu. Berlakon pun macam tu. Kadang tu masa 'rehearsel' lain, depan kamera jadi lain. Aku main bantai saja tapi kalau tengok dalam JPBC, dalam merapu-rapu tu aku ada juga selitkan mesej. Contohnya menerusi lagu ‘Kalau tak sembahyang...’ yang aku nyanyi sebelum bertukar jadi orang minyak dan teguran pada Asmat (Cat Farish) supaya hormatkan orang tua,” ujar Lan yang membawa watak Punai.
JPBC yang akan mula ditayangkan di pawagam bermula 4 Jun ini turut dibarisi Sam Shaheizy, Lisa Surihani, Azlee (Senario), Zarina AF, Dina dan Mus Muharni. Ia mengisahkan tiga lelaki – Johan, Asmat dan Punai yang datang ke sebuah kampung untuk mewarisi harta yang ditinggalkan datuk mereka, Pak Sudir yang kaya raya hasil saka dipeliharanya.
Mereka bertiga bagaimanapun dikenakan syarat supaya tidur selama tiga malam berturut-turut di rumah peninggalan Pak Sudir dan tidak menyentuh barang-barangnya terutama congkak jika mahu mewarisi harta. Namun kerana sikap tidak acuh, mereka semua terpandang tulisan Sanskrit di belakang congkak yang dikatakan dalam wasiat Pak Sudir. Sejak itu mereka bertiga bertukar menjadi hantu raya, orang minyak dan toyol apabila malam menjelma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: