Thursday, May 28, 2009

Evolusi mesin pemusnah manusia




TAHUN 1984 merupakan permulaan kepada pengenalan istilah Terminator. Ditulis dan diarahkan oleh James Cameron, ada sebabnya mengapa The Terminator berjaya mencipta fenomena di seluruh dunia. Berdasarkan konsep, ideologi, teknologi, aksi dan penceritaannya, ramai yang terpukau.

Pada ketika itu, tiada filem lain seumpama Terminator, yang menggabungkan pertarungan antara manusia dan mesin, pergerakan manusia merentasi masa depan dan lampau, kesan khas berkualiti, aksi ekstrem serta kehebatan teknologi komputer.

Maka, tidak hairan apabila edisi pertamanya yang dibintangi Arnold Schwarzenegger (menerusi karakter Terminator), Linda Hamilton (Sarah Connor) dan Michael Biehn (Kyle Reese) dan dengan bajet hanya AS$6.5 juta (RM22.6 juta) itu berjaya mengaut keuntungan berlipat kali ganda mencecah AS$78.4 juta (RM273.6 juta).


MAMPUKAH Christian Bale mengembalikan kegemilangan filem Terminator sebagaimana yang dilakukannya terhadap filem Batman?



TERMINATOR T-800 model 101 diperkenalkan semula dalam Terminator Salvation.


Sebagai Terminator Schwarzenegger merupakan cyborg pembunuh, iaitu mesin berfizikal manusia yang telah dihantar ke tahun 1984 dari tahun 2029 oleh komputer yang dikawal oleh mesin induk, Skynet dengan tujuan untuk menghapuskan manusia.

Misi Terminator adalah untuk membunuh Sarah Connor kerana anaknya, John bakal menjadi teraju masa depan akan mengetuai pasukan Tech-Com bagi menentang Skynet serta membebaskan manusia dari penjajahan mesin.

Bagi melindungi Sarah, seorang askar dari tahun 2029, Reese telah dihantar merentasi waktu oleh John sendiri untuk memastikan dirinya selamat dilahirkan.

Cameron pada mulanya ingin mencipta Terminator sebagai manusia mesin bersaiz dan biasa supaya dapat disesuaikan dengan lebih mudah. Maka, pemilihan pertamanya untuk watak itu ialah aktor Lance Henriksen. Namun, Cameron tidak fikir Henriksen boleh menjadi pembunuh kejam di layar perak.

"Schwarzenegger sebenarnya ditawarkan watak Reese. Namun, kami sedar dia lebih sesuai dengan imej Terminator. Itu yang menjadikan Terminator kemudian bertukar menjadi bersaiz besar dan maskulin," jelas Cameron mengenai karya yang dinamakan sebagai filem ke-72 terbaik sepanjang masa oleh majalah Total Film pada tahun 2005.


TERMINATOR 2 JUDGMENT DAY meraih empat anugerah Oscar.



BALE menggantikan Schwarzenegger sebagai teraju utama francais Terminator.


Cameron juga memberitahu, apa yang membuatkan dia meraih inspirasi untuk menghasilkan Terminator adalah selepas dia menonton dua episod siri TV yang diterbitkan pada tahun 1960-an, The Outer Limits. Kedua-dua episod itu, Soldier dan Demon With the Glass Hand ditulis oleh penulis sains fiksyen, Harlan Ellison.

Terminator 2: Judgment Day atau lebih dikenali sebagai T2 diterbitkan pada tahun 1991 dan masih dibintangi Schwarzenegger dan Hamilton dengan penglibatan Edward Furlong dan Robert Patrick. Turut diarahkan oleh Cameron, ceritanya bermula selepas 11 tahun Sarah memusnahkan Terminator asal yang diprogram untuk membunuhnya.


LINDA HAMILTON dijadualkan muncul kembali dalam edisi kelima Terminator.



TERMINATOR SALVATION menelan kos mencecah RM698 juta.


Dua Terminator telah tiba di Los Angeles dan salah satu daripadanya, T-1000 telah dihantar untuk membunuh John yang berusia 10 tahun ketika itu.

Sarah, John dan seorang Terminator pelindung (kali ini dilakonkan pula oleh Scwarzenegger) perlu menyekat Judgment Day, iaitu tarikh mesin akan memusnahkan manusia sama sekali.

T2 berjaya memberikan impak kepada budaya pop serta kepada filem genre aksi dan sains fiksyen lain.

"Kesan khas dengan efek komputer telah menyuntik sesuatu yang baru kepada industri perfileman di Hollywood. Filem itu juga telah memenangi empat anugerah Academy untuk kategori solekan, pengadunan bunyi, suntingan bunyi dan kesan khas," kata satu sumber.


DARI ATAS IUT ARAH JAM: EDISI pertama Terminator dihasilkan dengan kos rendah tetapi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
KOS penghasilan Terminator 2: Judgment Day mencecah RM349 juta.
T3 tidak menerima sentuhan kreativiti pengarah James Cameron.
SERBA baru. Termination Salvation kini menggegar pawagam seluruh dunia.


Senapang yang digunakan oleh Schwarzenegger di sepanjang filem itu adalah dari jenis Winchester Model 1887 yang telah diubahsuai supaya menyenangkannya untuk mempelbagaikan pergerakan.

Walaupun filem pertamanya hanya menggunakan bajet rendah, T2 sebaliknya mencatat sejarah sebagai filem paling mahal ketika itu dengan belanja AS$100 juta (RM349 juta). Namun, ia berjaya mengaut pulangan sebanyak AS$204.8 juta (RM712 juta) di pasaran Amerika Syarikat (AS) sahaja.

Kejayaan itu mencatat peningkatan sebanyak 434 peratus berbanding The Terminator. Kutipan T2 bagi pasaran dunia pula mencecah AS$519.9 juta (RM1.8 bilion).

Pada tahun 2003, Institut Filem Amerika telah mengeluarkan senarai 100 karakter hero dan penjahat terhebat sepanjang masa. Terminator berada di tangga 48 untuk kategori hero menerusi filem T2 dan juga nombor 22 bagi kategori penjahat menerusi filem The Terminator.

Kegagalan T3

Terminator 3: Rise of the Machines yang turut dikenali sebagai T3 pula muncul pada tahun 2003 mencatatkan penukaran pengarah kepada Jonathan Mostow. Dibintangi Schwarzenegger, Nick Stahl, Claire Danes dan Kristanna Loken, ia bermula dengan kegagalan Skynet membunuh Sarah sebelum anaknya dilahirkan.

Mereka juga gagal membunuh John semasa kecil dan telah menghantar satu lagi Terminator, T-X sebagai percubaan terakhir sebelum Judgment Day untuk membunuh isteri John, Kate.

Dalam edisi ketiga, T-X telah dicipta Skynet sebagai Terminatrix. Ia mampu menyimpan semua senjata di dalam badannya serta boleh mengawal hampir kesemua mesin. T-X lebih merbahaya berbanding mana-mana Terminator yang pernah dihantar oleh Skynet.

Pihak studio sebenarnya sudah lama menantikan edisi ketiga Terminator tetapi kemudian tidak begitu pasti sama ada Schwarzenegger akan turut berlakon. Ini kerana Schwarzenegger pada mulanya enggan berlakon dalam T3 apabila pencipta watak serta pengarah dua filem sebelumnya, Cameron tidak akan menjadi pengarah T3.

"Schwarzenegger cuba untuk memujuk Cameron untuk bertindak sebagai penerbit T3, namun Cameron menolak kerana merasakan ideanya tentang Terminator sudah habis diluahkan menerusi T2.

"Namun, dia menasihatkan Schwarzenegger supaya berlakon dalam T3 memandangkan Terminator sudah sebati dengan dirinya. Maka, Schwarzenegger telah meminta bayaran sebanyak AS$29.25 juta (RM102 juta) serta 20 peratus daripada keuntungan filem itu," ujar satu sumber.

Bajet filem itu menelan AS$187.3 juta (RM652 juta) dan menjadi filem paling mahal yang diterbitkan secara indipenden dalam sejarah perfileman. Sudah bersedia berkempen untuk jawatan Gabenor California, watak Schwarzenegger dilihat lebih 'bersih' tanpa banyak kekejaman dalam edisi ketiga itu.

"Hebat," kata Cameron yang merupakan pencipta francais Terminator tetapi tidak terlibat langsung dalam T3. Tetapi menurut berita Yahoo!, Cameron sebenarnya tidak begitu gembira dengan hasilnya.

Berjaya mengutip AS$150 juta (RM523 juta) di AS, filem ini meraih AS$433 juta (RM1.5 bilion) di seluruh dunia. Walaupun ia berjaya dari segi kewangan tetapi masih gagal menangani populariti T2.

"Bukan sahaja 'gagal' dari segi kewangan, T3 juga tidak berjaya mencipta fenomena seperti The Terminator dan T2. Ditambah dengan T2 yang membawa pulang empat anugerah Academy, T3 tidak mendapat sebarang pencalonan untuk majlis sama," tambah sumber itu.

Terminator tanpa Schwarzenegger

Diarahkan oleh McG, edisi keempat Terminator, iaitu Terminator Salvation dihasilkan tanpa langsung membabitkan Schwarzenegger.

Dua tenaga Terminator Salvation, aktor Christian Bale serta penulis skrip filem itu, Jonathan Nolan telah menandatangani projek untuk dua filem sekuel Terminator akan datang.

Menerima respons positif walaupun hanya menonton sebahagian kecil daripada filem itu, syarikat Halcyon Company telah membuat keputusan untuk meneruskan sekuel kelima pada Disember 2008 yang dijangka akan ditayangkan pada 2011.

"Peralatan mesin akan diganti dan Terminator T-1000 akan diperkenalkan semula dalam filem kelima Terminator itu. Saya sukakan idea dan perspektif filem itu. Ceritanya mengisahkan tentang John yang mengembara ke tahun 2011 untuk melindungi dunia daripada ancaman Skynet. Dia juga berkemungkinan besar akan menemui ibunya dan saya yakin Linda Hamilton akan kembali menerusi edisi kelima itu," jelas McG.

Sementara Terminator Salvation yang turut menampilkan lakonan Sam Worthington, Anton Yelchin, Moon Bloodgood dan Bryce Dallas Howard memperkenalkan semula Terminator T-800 Model 101. Menelan kos sebanyak AS2000 juta (RM698 juta), ia berlatar belakang tahun 2018.

McG telah bersetuju untuk mengarahkan edisi keempat Terminator kerana dia menyukai edisi pertama dan keduanya. Maka, pengarah itu telah menggunakan latar belakang pasca kiamat bagi melakukan transformasi yang berlainan daripada edisi-edisi sebelumnya.

Ketika skrip Terminator Salvation mula-mula dihasilkan, karakter John Connor sekadar digambarkan sebagai watak sekunder. Satu watak baru yang dipengaruhi oleh John akan dicipta. Namun, selepas skrip itu tersebar di Internet, Warner Bros. telah membuat keputusan untuk mengubah skrip itu sama sekali. Malah, judulnya sebelum ini sebenarnya ialah Terminator Salvation: The Future Begins.

"Apa yang saya boleh beritahu adalah Terminator Salvation adalah mengenai sempadan dan batasan antara mesin dan manusia." ujar McG.

Pelbagai pengalaman pahit telah dialami krew sepanjang penggambaran Terminator Salvation. Bale cedera di bahagian tangan, Worthington pula di bahagian belakang dan juruteknik kesan khas, Mike Menardis hampir kehilangan kakinya semasa merakam babak letupan.

"Saya ingin katakan dengan penuh perasaan hormat bahawa saya tidak mahukan pengalaman seperti dalam filem Star Wars yang dirakamkan berlatar belakang skrin biru.

"Kami membina set dan kuasa letupan yang asli. Maka, dengan set sebegitu, jika tersilap langkah, akan berlaku kemalangan, sebab itu ia lebih bersifat realiti," tegas McG.

Majoriti mesin atau robot dalam Terminator Salvation dicipta oleh Martin Laing. Antara inovasi terbaru ciptaannya adalah Aerostats, Transporters dan Hydrobot. Terminator Salvation bakal menjadi salah sebuah karya terakhir Winston yang telah bekerja sebagai penasihat kesan khas untuk ketiga-tiga filem sebelumnya.

"Winston meninggal dunia pada 15 Jun 2008 dan tempatnya telah diganti oleh John Rosengrant dan Charlie Gibson. Mereka perlu menghasilkan benda-benda yang tidak pernah dilakukan sebelum itu," ujarnya.

Tambah McG: "Rosengrant dan Gibson menghasilkan visual kerosakan muka Terminator Marcus dan mesin setinggi 20 kaki digunakan untuk meletupkan bangunan setinggi 30 tingkat."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: